Malaysia Akan Rekrut 500,000 Pekerja Bangladesh Dalam Tempoh 5 Tahun

Dhaka akan memulakan penghantaran pekerja terbabit bulan ini.
Ahammad Foyez
2022.06.03
Dhaka
Malaysia Akan Rekrut 500,000 Pekerja Bangladesh Dalam Tempoh 5 Tahun Seorang pekerja dari Bangladesh menyediakan makanan dalam kabinnya di sebuah kuarters di Kuala Lumpur, 19 Jun 2011.
[Reuters]

Malaysia telah bersetuju menggaji sejumlah 500,000 pekerja Bangladesh dalam tempoh lima tahun akan datang dan kumpulan pertama yang berdokumen lengkap sejak 2018 dijangka memulakan perjalanan ke negara itu bulan ini, kata seorang menteri di Dhaka pada Khamis.

Empat tahun lepas, usaha serupa telah ditangguhkan susulan dakwaan terdapat salah laku dalam proses pengambilan migran Bangladesh dan kebanyakan mereka diberikan gaji yang rendah namun terpaksa melakukan tugasan teruk di ladang-ladang, tapak pembinaan dan sektor ekonomi lain di Malaysia.

Kali ini, kerajaan Malaysia akan memilih agensi dari Bangladesh yang akan terlibat dalam proses itu, kata Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Imran Ahmed.

“Hari ini kita telah mencapai konsensus berhubung isu itu. Tidak lama lagi dalam bulan Jun, kita akan menghantar pekerja kita ke Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Dhaka selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Malaysia M. Saravanan.

“Malaysia akan menggaji sejumlah 500,000 pekerja dari Bangladesh dalam tempoh lima tahun. Kami berharap dapat menghantar kira-kira 200,000 pekerja pada tahun pertama,” kata Ahmed.

Pada akhir tahun lepas, Malaysia telah menandatangani satu memorandum persefahaman dengan Bangladesh untuk merekrut pekerja bagi mengatasi isu kekurangan buruh di negara itu. Pada 10 Dis 2021, Kabinet Malaysia memutuskan untuk membuka semula pengambilan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor termasuk perladangan, pertanian, pembuatan, perlombongan, pembinaan dan perkhidmatan doomestik.

Pada 2018, Malaysia telah menangguhkan pengambilan pekerja Bangladesh susulan dakwaan terdapat sindiket yang menggunakannya sebagai skim penyeludupan manusia untuk mengeksploit pekerja dari negara itu sehingga menyebabkan pekerja imigran terbabit terpaksa membayar fi yang mahal bagi mendapatkan pekerjaan.

Ahmed berkata Bangladesh telah menyerahkan senarai 1,520 agensi pengambilan pekerja yang berdaftar kepada Malaysia untuk dipilih.

“Ini adalah hak kerajaan Malaysia, mereka akan menggaji pekerja menerusi agensi seperti yang mereka inginkan,” katanya.

Selain itu, Bangladesh akan menyediakan senarai pekerja ke Malaysia dan Malaysia akan memilih pekerja daripada senarai tersebut tertakluk kepada syarat-syarat perjanjian yang telah ditandatangani antara kedua-dua negara pada Disember, kata Ahmed. Di bawah perjanjian itu, pekerja akan menerima gaji minimum RM1,500 ringgit (AS$341.61) sebulan.

Menteri Bangladesh itu berkata kos migrasi bagi pekerja terbabit juga dijangka berkurangan berbanding RM1,795 sebelum ini.

“Menteri Malaysia yang berkenaan memaklumkan kami bahawa kerajaan negara itu sedang mengusahakan kos sifar migrasi pada masa akan datang,” katanya sambil menjelaskan bahawa pekerja terbabit tidak lagi perlu menanggung sebarang kos untuk ke Malaysia pada masa akan datang kerana ia akan ditanggung oleh majikan mereka dan kerajaan Malaysia.

Saravanan pula berkata beliau dan Ahmed telah mengadakan perbincangan mengenai isu berkaitan kebajikan pekerja Bangladesh.

“Malaysia mahupun Bangladesh komited untuk melindungi kepentingan pekerja terbabit berdasarkan kepada standard antarabangsa,” kata Saravanan dalam hantaran di laman Facebook selepas pertemuan itu.

Sementara itu, ketika Ahmed dan Saravanan mengadakan perbincangan, beberapa agensi pengambillan pekerja swasta telah mengadakan sidang akhbar mengenai langkah Malaysia yang dikatakan akan memilih lima agensi pengambilan pekerja.

Muhammad Faruk, Presiden sebuah organisasi yang dikenali sebagai Joint Coordination Front of the Bangladesh Association of International Recruiting Agencies, berkata agensi terbabit seolah-olah satu sindiket dan akan meletakkan inisiatif pengambilan pekerja dalam bahaya seperti yang berlaku pada 2018.

Beliau berkata semua agensi yang berdaftar hendaklah dibenarkan mengambil bahagian dalam program pengambilan pekerja oleh Malaysia.     

Menurut Biro Pekerjaan dan Latihan Tenaga Kerja Bangladesh, Malaysia memaklumkan negara itu pada Januari bahawa ia telah memilih 25 agensi untuk pengambilan pekerja dan isu tersebut telah dipersetujui oleh kedua-dua negara.

Ditanya mengenai perkara itu selepas pertemuan beliau dengan Ahmed, Saravanan hanya berkata “Kabinet kami yang akan membuat keputusan.” Para pegawai dari pejabat Ahmed pula tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai perkara itu.

“Kami telah memaklumkan Bangladesh mengenai isu berkaitan kebajikan dan kesejahteraan pekerja terbabit,” katanya.

Mohammad Ullah, 46, yang pernah bekerja di Malaysia dan ingin kembali ke negara itu, berkata pengambilan semula pekerja oleh negara itu adalah satu berita yang menggembirakan.

“Bukan hanya saya, ramai lagi saudara-mara dan jiran tetangga yang turut menantikan pengambilan semula pekerja oleh Malaysia,” katanya kepada BenarNews.

Bagaimanapun, beliau agak keliru dengan penglibatan agensi pengambilan pekerja dan prosesnya.

“Saya perlu tahu lebih banyak butiran mengenai perkara ini.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.