Malaysia dan Singapura Mahu Buka Lebih Banyak Sempadan Darat, Udara

Kedua-dua negara bagaimanapun mengenakan sekatan perjalanan ke atas beberapa negara susulan kemunculan varian baharu COVID-19 iaitu Omicron.
Ray Sherman dan Noah Lee
2021.11.29
Kuala Lumpur
Malaysia dan Singapura Mahu Buka Lebih Banyak Sempadan Darat, Udara Penumpang pesawat Singapore Airlines SQ108 dari Singapura yang mengambil bahagian dalam Program Laluan Perjalanan Vaksinasi Udara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada 29 Nov 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Rabu menyeberangi Tambak Johor yang menghubungkan negara itu dengan Singapura sebagai simbolik perasmian pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara yang ditutup hampir dua tahun susulan pandemik COVID-19.

Ketibaan Ismail Sabri ke Singapura disambut sendiri oleh Lee di Woodlands Checkpoint.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam satu sidang media bersama-sama Ismail Sabri berkata Malaysia dan Singapura tetap mengekalkan matlamat untuk membuka lebih banyak sempadan antara kedua-dua negara walaupun pada masa yang sama, pihak berkuasa kesihatan dan pelancongan masing-masing menegaskan mereka akan terus mengenakan sekatan perjalanan ke atas beberapa negara susulan kemunculan varian koronavirus baharu iaitu Omicron yang didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi.

“Kami menyedari bahawa pembukaan semula sempadan adalah penting untuk menghidupkan semula aktiviti sosial dan ekonomi rentas sempadan yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

"Kami berharap dengan kemudahan ini, ia akan memberikan peluang kepada lebih ramai orang di kedua-dua belah tambak, yang telah sekian lama terpisah daripada keluarga mereka disebabkan pandemik COVID-19, untuk bertemu semula dengan orang tersayang dan ini adalah sesuatu yang kami tahu telah dinantikan oleh ramai orang di Malaysia dan Singapura."

Ismail Sabri juga berkata beliau dan Lee juga telah berbincang mengenai kemungkinan untuk membuka semula perjalanan melalui udara di antara Singapura dengan destinasi lain di Malaysia termasuk negeri Pulau Pinang, Kuching di Sarawak, Pulau Langkawi di Kedah dan Kota Kinabalu di Sabah.

Terdahulu, pemimpin Malaysia itu turut memuji skim Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) yang disifatkan beliau sebagai satu penanda aras yang signifikan dalam kerjasama antara kedua-dua negara jiran.

Skim VTL membolehkan rakyat serta penduduk tetap Malaysia dan Singapura yang telah lengkap vaksinasi menyeberang sempadan kedua-dua negara tanpa perlu dikuarantin. Bagaimanapun, mereka yang ingin berbuat demikian masih perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum bertolak.

Di bawah program VTL Darat, pengembara hanya dibenar menggunakan bas dari terminal tertentu manakala bagi VTL Udara, penerbangan disediakan untuk perjalanan di antara Lapangan Terbang Changi, Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Menurut Ismail, kemudahan pengangkutan VTL Darat akan diperluas pada masa akan datang.

Sebelum mengadakan pertemuan dengan Lee, Ismail melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob.

Malaysia mula melonggarkan peraturan sempadannya sejak pertengahan November dengan membuka kemudahan gelembung perjalanan untuk pelancong asing bagi menghidupkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

Pada Ogos 2020, Malaysia dan Singapura menjalin kerjasama untuk membenarkan rentas sempadan bersyarat antara kedua-dua negara dengan membuka pintu sempadan laluan darat selepas ditutup lebih enam bulan.

Pembukaan pintu sempadan melalui dua skim iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dibuat dengan prosedur standard operasi (SOP) ketat untuk memberi ruang kepada ekonomi kedua-dua negara kembali rancak.

Singapura bagaimanapun telah menggantung kemudahan RGL bermula Februari tahun ini susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di seluruh dunia.

Malaysia kini berbincang dengan Indonesia mengenai kemungkinan membuka sempadan kedua-dua negara untuk kemudahan serupa seperti program VTL dengan Singapura.

Lee pula berkata republik itu gembira untuk menyambung semula perjalanan di antara Singapura dengan Malaysia kerana kedua-duanya mempunyai sejarah bersama.

Beliau berkata VTL Darat dan Udara akan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi Singapura-Malaysia serta kembali mengeratkan perhubungan rakyat kedua-dua negara.

"Kita akan memulakan VTL dengan jumlah yang bersesuian dan ia akan mengambil sedikit masa sebelum kita dapat pergi kepada tahap perjalanan sepertimana yang kita dapat buat sebelum COVID-19. Akan tetapi kita akan melakukannya selangkah demi selangkah dan terus berusaha," katanya sambil menambah bilangan perjalanan yang dibenarkan dijangka meningkat dari semasa ke semasa mengikut situasi.

Lee berkata beliau juga berbincang dengan Ismail Sabri mengenai langkah menyambung perjalanan melalui laut termasuk kemungkinan kapal persiaran Singapura memasuki perairan Malaysia dan berhenti di pelabuhan negara itu.

Turut dibincang dalam pertemuan empat mata pada Isnin ialah penyambungan semula rancangan projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) yang telah dibatalkan oleh Putrajaya di bawah pemerintahan kerajaan sebelum ini.

Katanya Ismail Sabri mencadangkan supaya perbincangan mengenai projek HSR disambung semula dan beliau memaklumkan Singapura terbuka kepada sebarang cadangan baharu daripada Malaysia.

Sebelum ini, Malaysia terpaksa membayar AS$75.5 juta (RM320 juta) kepada Singapura kerana menamatkan projek itu selepas perjanjian dua hala antara kedua-dua negara tamat pada Disember tahun lepas.

Lee juga berkata kemunculan Omicron tidak akan menghentikan usaha kedua-dua negara membuka lebih banyak pintu sempadan mereka.

"Sudah tentu ini akan membuka ruang untuk COVID-19 dan kita sedang memerhati dengan gusar bagaimana varian Omicron ini akan bertindak. Tetapi walaupun Omicron boleh mengganggu rancangan kami, kami akan tetap membuka lebih banyak pintu sempadan antara Singapura dan Malaysia, saya yakin selepas sedikit masa kita akan dapat melangkah lebih jauh," katanya.

Kedua-dua negara telah bertindak menutup sempadan mereka kepada tujuh negara termasuk Afrika Selatan, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe selepas Omicron dikesan di Botswana.

Varian Omicron pertama kali dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Afrika Selatan pada 24 Nov lepas dan sejak itu, ia telah dikesan di beberapa negara lain seperti Belgium, Hong Kong, Britain, Jerman, Itali dan Israel.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.