Malaysia utus surat rasmi gesa Indonesia koordinasi usaha selesai masalah jerebu
2023.10.04
Kuala Lumpur
Malaysia telah menghantar surat rasmi menggesa Indonesia mengambil tindakan berhubung isu jerebu rentas sempadan, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negara itu Nik Nazmi Nik Ahmad pada Rabu.
Menurut laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada 3 Okt, sebanyak 246 titik panas telah dikesan di Indonesia iaitu 209 di Kalimantan dan 37 di Sumatra serta tiga di Malaysia iaitu di Sabah dan Sarawak.
“Kalau di peringkat ASEAN, semua negara sudah meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) termasuk Indonesia dan kita telahpun menghantar surat kepada rakan sejawat saya tentang masalah tersebut sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) semalam,” kata Nik Nazmi kepada media di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian ketika mengulas arahan Anwar untuk mengkoordinasi usaha menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan dengan Indonesia pada Selasa.
Anwar pada Selasa mengakui bimbang dengan masalah itu dan Putrajaya memantau perkembangannya setiap hari.
Jakarta sebelum itu menyifatkan aduan Malaysia mengenai isu jerebu rentas sempadan dari Indonesia sebagai tidak tepat.
Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan pihaknya telah memantau keadaan itu dan menegaskan bahawa tiada jerebu rentas sempadan dari negara itu yang sampai ke Malaysia.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Hazland Abang Hipni mempertikai penafian Indonesia.
“Mana boleh menafikan, kita mempunyai statistik iaitu terdapat empat titik panas dikesan di Sarawak dan 2,203 titik panas dikesan di Kalimantan bagi tempoh 20 hingga 28 Sept lalu.
“Ini data daripada ASMC bukan dari Malaysia, jadi macam mana mereka boleh nafikan situasi seperti ini,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Utusan Borneo pada Selasa.
Kerjasama serantau
AATHP telah diformulasi pada tahun 2000 selepas Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN mencapai persetujuan untuk mewujudkan kerjasama serantau bagi mengekang pembakaran terbuka.
Perjanjian itu merangkumi langkah pencegahan dan menangani kesan jerebu, perkongsian maklumat serta kerjasama bantuan sekiranya berlaku darurat jerebu.
Malaysia adalah antara 10 negara ASEAN pertama yang meratifikasi perjanjian itu pada 2002 dalam satu persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur.
Indonesia, walaupun dikenal pasti sebagai negara penyumbang utama masalah jerebu berdasarkan kajian ilmiah dan laporan media, adalah anggota ASEAN terakhir yang meratifikasi perjanjian tersebut iaitu pada 2014.
AATHP antara lain menyatakan bahawa negara anggota ASEAN bersetuju mengambil langkah legislatif dan pentadbiran bagi mencegah serta mengekang sebarang aktiviti berkaitan pembakaran tanah dan hutan yang boleh mencetuskan jerebu rentas sempadan.
Pemantauan berterusan
Pada Rabu, kualiti udara di Malaysia dilihat bertambah baik kerana hanya tiga kawasan di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Sarawak mencatatkan bacaan tidak sihat dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 manakala lokasi lain sederhana serta baik.
Sehari sebelum itu, Nik Nazmi dalam temu bual dengan stesen televisyen tempatan memaklumkan jerebu dijangka berterusan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi dan meminta orang ramai memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Pada 2 Okt, kerajaan Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan operasi pembenihan awan akan dimulakan manakala sekolah ditutup jika kualiti udara di beberapa kawasan merosot.
Dalam pada itu, mantan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah menasihati orang ramai agar mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan sampingan jerebu.
“Kurangkan aktiviti luar, gunakan pelitup muka yang bersesuaian di mana perlu, kekal hidrat dan segera dapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom masalah pernafasan seperti batuk dan selesema.
“Sekiranya anda tidak memakai pelitup muka, anda menyedut asap ke dalam paru-paru, ini sangat membahayakan,” katanya kepada BenarNews.
Moy Foong Ming, Profesor Epidemiologi dan Kesihatan Awam Universiti Malaya, pula memberi amaran berhubung ancaman jerebu kepada mereka yang mempunyai masalah komplikasi jantung dan paru-paru.
“Jerebu boleh memburukkan lagi keadaan mereka yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru. Jerebu boleh mencetuskan serangan asma dan bronkitis akut bagi pesakit paru-paru. Segera dapatkan rawatan sekiranya ini berlaku.
“Kanak-kanak dan golongan berusia lebih sensitif terhadap kesan jerebu. Wanita hamil perlu mengelakkan jerebu bagi mengelakkan kesan sampingan ke atas kandungan,” katanya kepada BenarNews.