Malaysia tolak tawaran penyelesaian kes 1MDB oleh Jho Low

Ahli perniagaan itu menawarkan untuk membayar balik sebanyak AS$337 bilion untuk menyelesaikan kes terhadapnya, menurut laporan media tempatan.
Muzliza Mustafa dan Noah Lee
2022.07.17
Kuala Lumpur
Malaysia tolak tawaran penyelesaian kes 1MDB oleh Jho Low Penunjuk perasaan di Kuala Lumpur mahukan Jho Low yang digambarkan sebagai seorang lanun pada poster, ditangkap kerana didakwa terlibat dalam pencurian berbilion ringgit dari 1Malaysia Development Berhad, 14 April, 2018.
[Sadiq Asyraf/AP]

Jabatan Peguam Negara Malaysia berkata pihaknya telah menolak satu tawaran yang dibuat oleh ahli perniagaan dalam buruan Jho Low untuk menyelesaikan kes jenayah terhadap dirinya yang didakwa terbabit melarikan wang berbilion dolar milik syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Negara Idrus Harun dalam satu kenyataan media pada Sabtu tidak menyatakan sebarang sebab di sebalik keputusan menolak tawaran oleh Jho Low, yang nama sebenarnya ialah Low Taek Jho, melalui orang perantaraan. Idrus juga tidak mendedahkan mengenai jumlah wang yang ditawarkan oleh ahli perniagaan tersebut, tetapi portal berita The Edge Markets melaporkan ia membabitkan pemulangan sebanyak 1.5 bilion ringgit atau AS$337 juta.

1MDB dan tiga anak syarikatnya telah memfailkan saman berjumlah AS$3.78 bilion terhadap Jho Low sebelum ini, menurut laporan media tempatan.

“AGC mengesahkan bahawa Jho Low, melalui wakilnya, telah membuat cubaan untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Malaysia bagi mencapai penyelesaian pada tahun ini,” kata Peguam Negara itu dalam kenyataannya.

“Dalam cubaan ini, wakil Jho Low telah bertemu dengan beberapa agensi kerajaan Malaysia termasuk AGC. Kesemua tawaran penyelesaian yang dibuat oleh wakil Jho Low telah ditolak oleh AGC.”

Bekas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali, yang menjawat jawatan itu ketika era pemerintahan pemimpin UMNO Najib Razak sebagai Perdana Menteri, dalam satu kenyataan berkata bahawa dirinya terbabit dalam mengatur pertemuan antara wakil Jho Low dengan kerajaan Malaysia.

Ali, yang juga adalah seorang ahli UMNO, parti yang mengetuai gabungan kerajaan hari ini, berkata beliau dihubungi firma guaman Kobre & Kim yang berpusat di Washington pada bulan Mei lalu untuk mengatur pertemuan dengan Peguam Negara.

Beliau kemudian bertindak mengaturkan beberapa siri mesyuarat yang dihadiri oleh Idrus dan beberapa orang pegawai AGC, serta seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak dinamakan.

BenarNews telah menghubungi Ali untuk mendapatkan komen daripada beliau. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut dan meminta supaya merujuk kenyataan yang telah dikeluarkannya.

“Saya telah mengeluarkan kenyataan bertulis. Ia sudah mencukupi. Tidak perlu mengulas berkenaan perkara ini dengan lebih panjang,” kata beliau kepada BenarNews melalui mesej teks.

Di dalam kenyataan medianya, bekas peguam negara itu berkata tujuan siri pertemuan diadakan antara AGC dengan firma guaman yang mewakili Jho Low itu adalah untuk membincangkan mengenai pemulangan semula wang yang didakwa telah dilarikan Low daripada 1MDB.

“Semua seperti berjalan lancar ketika mesyuarat dijalankan, sebelum semuanya dibatalkan oleh AGC atas sebab yang hanya diketahui oleh mereka,” kata beliau.

Low, yang dikehendaki pihak berkuasa antarabangsa, menghadapi pertuduhan jenayah di Malaysia dan AS atas penglibatannya dalam skandal penggelapan wang berbilion dolar daripada 1MDB melalui hubungan rapat dengan bekas Perdana Menteri Najib.

Najib telah didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana dari sebuah anak syarikat 1MDB, dan dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun pada 2020. Sabitan bersalah itu bagaimanapun masih dalam proses rayuan terakhir, yang akan didengar Mahkamah Persekutuan bulan depan. Satu lagi perbicaraan jenayah terhadap Najib pula sedang berjalan.

Pendakwaraya Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (18.8 bilion ringgit) telah dicuri daripada 1MDB dalam kes yang disifatkan sebagai “skandal kleptokrasi paling teruk”.

Motif fasilitator dipersoalkan

Sementara itu, pada Ahad, ahli Parlimen parti pembangkang Ramkarpal Singh mempersoalkan motif penglibatan Apandi dalam usaha mencapai penyelesaian oleh Jho Low.

“Ia adalah sesuatu yang pelik apabila individu yang sebelum ini mahu membawa balik Jho Low untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah kini terbabit dalam perbincangan penyelesaian kes dengannya,” kata Singh dalam kenyataan media.

“[Ali] patut memberikan penjelasan secepat mungkin untuk mengelakkan spekulasi yang mungkin timbul daripada perbincangan itu.”

Kata beliau, Ali perlu menjelaskan sama ada penyelesaian yang ingin dicapai Low melibatkan pengguguran kes jenayah terhadapnya.

“Sebarang cubaan untuk menyelesaikan kes jenayah Low sebagai balasan kepada sejumlah wang adalah merupakan satu bentuk rasuah, dan Apandi [Ali] mesti mendedahkan adakah dia telah dimaklumkan oleh wakil Low samada ini adalah apa yang dikehendaki oleh Low,” kata Singh.

Singh menambah bahawa Ali sepatutnya meminta Low menyerah diri dan bukannya mewakili ahli perniagaan itu, kerana beliau merupakan peguam negara yang bertanggungjawab ketika siasatan kes 1MDB menjadi hangat dan beliau juga telah membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan ketika itu.

Sementara itu, satu pasukan juri AS pada April lepas telah mendapati bekas eksekutif bank Goldman Sachs, Roger Ng yang berasal dari Malaysia, bersalah dalam semua dakwaan terhadapnya membabitkan satu skim untuk mencuri berbilion daripada 1MDB. Jabatan Kehakiman AS mendakwa bahawa Ng, bersama seorang lagi bekas eksekutif Goldman Sachs Timothy Leissner, Low dan beberapa individu lain, telah berkonspirasi untuk mencuri lebih AS$2.7 bilion daripada 1MDB.

Leissner telah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan jenayah berkaitan pengubahan wang haram pada 2018, dan bersetuju untuk wang sejumlah AS$43.7 juta dirampas pihak berkuasa. Beliau juga mengaku bersalah merasuah pegawai di Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu bagi mendapatkan perjanjian bon untuk Goldman Sachs.

Pada Oktober 2019, Amerika Syarikat mengumumkan satu perjanjian penyelesaian dengan Low dan keluarganya membabitkan aset bernilai AS$700 juta yang dikatakan telah dibeli menggunakan dana yang diseleweng daripada 1MDB.

Penyelesaian itu, di samping beberapa rampasan yang telah dibuat sebelum itu, menyaksikan sejumlah lebih AS$1 bilion berjaya didapatkan semula dan Washington menyatakan bahawa ia akan memulangkan wang itu kepada Malaysia. Antara aset yang terlibat termasuk sebuah perniagaan yang berkaitan dengan Hotel Park Lane di New York, serta sebuah kapal layar mewah yang dianggarkan bernilai lebih AS$120 juta.

Skandal 1MDB juga dikatakan sebab di sebalik kekalahan UMNO dalam pilihanraya umum Malaysia pada tahun 2018. Ia merupakan kali pertama parti itu tumbang setelah lebih 60 tahun memerintah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.