Malaysia, Korea Utara Bertemu di Thailand bagi perlawanan Kelayakan Piala Asia

Hata Wahari
2017.10.24
Kuala Lumpur
171024-malayia-football-620.jpg Pemain Malaysia Nazirul Naim (kiri) berebut bola dengan pemain Hong Kong Jorge Tarres Paramo ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Hong Kong, 10 Okt 2017.
AP

Thailand akan menjadi tuan rumah perlawanan kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Korea Utara bulan depan, umum badan pentadbir bola sepak Asia pada Selasa, selepas perlawanan itu ditunda tiga kali susulan pertikaian diplomatik dan kebimbangan keselamatan.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan menyebut ia telah memilih Thailand sebagai venue berkecuali untuk dua aksi kelayakan itu, yang dijadualkan pada 10 dan 13 Nov, namun venue sebenar dan masa perlawanan belum ditetapkan.

“Kami amat bersyukur dengan sokongan berterusan Persatuan Bolasepak Thailand yang bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi dua aksi kelayakan ini,” kata Setiausaha Agung AFC Windsor Paul John dalam satu kenyataan.

Pusingan pertama perlawanan pada asalnya dijadualkan pada 28 Mac di Pyongyang, namun ditunda beberapa kali kerana pertikaian politik antara Malaysia dan Korea Utara susulan pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Un, di kawasan lapangan terbang Kuala Lumpur.

Aksi di Pyongyang ditunda buat kali ketiga pada akhir September selepas Malaysia melarang rakyatnya melakukan perjalanan ke ibu negara Korea Utara itu atas alasan kebimbangan keselamatan di Semenanjung Korea.

Dalam kenyataan pada Selasa, AFC berkata Persatuan Bolasepak Thailand telah mengesahkan kesediaannya untuk menjadi tuan rumah berkecuali kepada Malaysia dan Korea Utara, yang akan berentap untuk beraksi pada kejohanan Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu.

AFC berkata Korea Utara akan menjadi “tuan rumah”pada perlawanan 10 Nov dan “pasukan pelawat” dalam aksi kedua tiga hari selepas itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Hamidin Mohd Amin memaklumkan BeritaBenar pada Selasa bahawa pemilihan Thailand sebagai hos acara itu merupakan keputusan terbaik untuk kedua-dua negara dalam aksi dua kelayakan tersebut.

“Thailand dekat dengan Malaysia dan Korea Utara, tambahan pula cuaca dan keadaan padang hampir sama dengan kedua-dua negara,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.