Mayat Kedua Mangsa Sindiket Pemerdagangan Manusia Diusung Keluar

Oleh Nani Yusof & Hata Wahari
2015.05.26
150526-MY-MAYAT620 Pasukan forensik polis mengusung mayat yang ditemui di kawasan hutan Bukit Wang Burma, di Perlis. 25 Mei 2015
BenarNews

Polis Malaysia mengeluarkan mayat kedua yang dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia dari satu kubur yang ditemui di hutan puncak Bukit Wang Burma, di Perlis, bersempadan dengan Thailand pada Selasa.

Mayat yang sudah dikapan dengan kain putih, ditemui oleh pasukan forensik polis yang menggali satu daripada 139 kubur yang dijumpai di kawasan berbukit itu, sejak Ahad lepas.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia yang terdapat di antara Kampung Wai di Kuala Perlis sehingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, kira-kira sepanjang 11 kilometer (6.9 batu).

Perlis ialah negeri paling utara semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Thailand.

Mayat pertama yang ditemui dibiarkan reput di atas tanah di kawasan tapak berkenaan telah dibawa keluar pada Isnin.

Pegawai Turus Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Muhammad Bahar Alias berkata pasukan itu menggali satu kubur sedalam 0.4 meter (15.8 inci)  di sebuah tapak yang dijadikan kem seluas kira-kira 50 meter (165 kaki) persegi di kawasan hutan itu.

“Mayat yang ditemui itu tidak dibuka kain kapannya dan terus dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, (iaitu kira-kira 80 km [50 batu] dari tempat ianya ditemui) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar Rizani Che Ismail berkata, polis percaya 37 struktur yang ditemui dalam tapak tersebut adalah kubur dan hanya satu kubur sahaja yang sempat digali.

Tiga minggu untuk gali semua kubur

''Operasi menggali semua kubur akan disambung esok dan dijangka selesai dalam tempoh tiga minggu lagi.

"Kedudukan kem-kem berkenaan di kawasan curam pada ketinggian hampir 500 meter dari aras laut ke puncak bukit yang menjadi garisan pemisah sempadan Malaysia/Thailand menyukarkan operasi dan kerja menurunkan mayat,'' kata Rizani.

Seramai 63 wartawan dan jurugambar tempatan serta asing yang berkumpul di markas itu sejak semalam dibenarkan menyertai operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Forensik untuk mendaki Bukit Wang Burma bagi melihat kem-kem yang ditinggalkan oleh sindiket pemerdagangan manusia itu.

Pendakian mengambil masa lebih dua jam untuk sampai ke kawasan kem itu melalui jalan yang telah dibersihkan oleh pasukan gerak am bagi memudahkan kerja-kerja penyiasatan dijalankan.

Difahamkan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia terpaksa melalui pelbagai kesukaran yang sangat memeritkan dengan melalui kawasan hutan lereng-lereng bukit yang curam untuk sampai ke kawasan kem itu daripada sempadan wilayah Thailand.

Tinjauan media mendapati amat sukar untuk mengesan aktiviti sindiket dan beratus-ratus orang mangsa pemerdagangan dan penyeludupan manusia di kawasan bukit itu kerana keadaan lokasi tapak kem berkenaan begitu sunyi dan terletak jauh di dalam hutan.

Kem yang didirikan dengan pokok-pokok kayu seperti kem tahanan itu, dikelilingi dengan dawai berduri di setiap khemah seperti penjara.

Pakaian mangsa dan pelbagai pekakas makanan bertaburan, selain sisa makanan seperti cili kering serta buah-buahan yang ditinggalkan oleh sindiket itu.

 

Pegawai penguatkuasa perhutanan ditahan

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis telah menahan beberapa pegawai penguatkuasa perhutanan yang dipercayai mempunyai jalinan kerjasama dengan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa susulan penemuan kawasan perkuburan besar di Perlis itu.

Beliau berkata siasatan awal mendedahkan terdapat renjer jabatan perhutanan itu yang bekerjasama bukan sahaja dengan penyeludup warga tempatan tetapi juga antarabangsa termasuk dari Thailand, Bangladesh dan Myanmar.

"Kami syak ada antara mereka terlibat ... tetapi kami bekerjasama dengan jabatan perhutanan dari segi penguatkuasaan kerana mereka sepatutnya menjalankan penguatkuasaan di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Selasa.

Pertemuan kubur di kawasan Bukit Wang Burma merupakan pertemuan yang pertama di Malaysia sejak krisi pemerdagangan dan penyeledupuan manusia bermula.

Awal bulan ini, lebih 30 mayat pendatang ditemui di sempadan di bahagian selatan Thailand, yang menyebabkan negara itu mengambil tindakan tegas terhadap pemerdagangan dan penyeludupan manusia

Polis Thailand percaya kesemua mayat yang ditemui itu, mati akibat dibiarkan kebuluran oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Wilayah selatan Thailand terkenal sebagai pusat transit bagi penyeludupan pendatang haram, termasuk Rohingya, orang Islam minoriti yang melarikan diri dari penganiayaan dan konflik di Myanmar, yang majoriti penduduknya beragama Buddha.

Kem penyeludupan itu, terletak di kawasan hutan pergunungan Padang Besar di daerah Sadao, kawasan  jajahan wilayah Songkhla,  hanya 300 meter (984 kaki) dari sempadan Malaysia

Pemerdagangan manusia merupakan perniagaan besar di selatan Thailand; ribuan ORANG menyeberangi antara sempadan ke Malaysia dan Thailand setiap hari," menurut Glorene Das, pengarah Tenaganita, sebuah kumpulan yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

"Daripada testimoni komuniti migran dan pelarian, khususnya Burma, Rohingya dan masyarakat  Bangladesh, ramai rakyat Malaysia yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Thailand- Malaysia," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang diminta mengulas mengenai pertemuan kubur di selatan Thailand itu, berkata kerajaan Malaysia belum melihat adanya bukti yang mengaitkan rakyat Malaysia dengan kematian 26 orang pendatang tanpa izin, di Songkhla, Thailand.

Kesemua mayat ditemui di kem penyeludupan manusia di Padang Besar, selatan Thailand, iaitu hanya 300 meter (984 kaki) dari sempadan Malaysia.

Sebelas hari selepas penemuan kubur-kubur pendatang Rohingya di negara itu, kerajaan Thailand mengambil tindakan tegas membenteras pemerdagangan dan penyeludupan manusia melalui jalan darat.

Sejak dari itu, telah berlaku peningkatan aliran perjalanan laut di pantai-pantai di Selat Melaka sehingga menyebabkan Malaysia dan Indonesia dilanda krisis kebanjirian lebih 4,000 pendatang yang mendarat di kedua-dua negara itu.

Perkembangan luar pesisir

Dalam perkembangan berkaitan pada Selasa, Thailand berkata negara itu melaksanakan penerbangan tinjauan dalam usaha mengesan bot-bot pendatang yang terkandas di Laut Andaman, lapor Agence France-Presse.

Sehari sebelum ini, kerajaan yang diterajui Tentera Thailand mengumumkan bahawa ia telah menugaskan sebuah helikopter ke perairannya untuk dijadikan hospital dan pusat pemprosesan migran yang ditemui di laut.

"Jika mana-mana bot (mengandungi migran) ditemui, tentera laut akan menundanya ke kapal tentera laut bagi mendapatkan bantuan," AFP memetik Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha sebagai berkata  kepada pemberita.

Beliau berkata Thailand kemudian akan "memudahkan" laluan mereka ke "tempat perlindungan sementara di Malaysia dan Indonesia."

"Jika ada yang cedera atau sakit, mereka boleh dirawat di hospital-hospital di Thailand tetapi akan menghadapi tuduhan memasuki negara ini secara haram - ia terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan," kata Prayuth.

Amerika Syarikat melancarkan penerbangan pengawasan tentera pada hujung minggu lepas untuk mengesan migran yang terkandas, dan  menawarkan maklumat  kepada kerajaan-kerajaan serantau  mengenai  kemungkinan adanya bot-bot migran  di Teluk Bengal dan Laut Andaman,  lapor Associated Press.

Berita dari Teluk Bengal


Di Myanmar pada Selasa,  para pegawai berkata kerajaan dan negara jirannya,  Bangladesh,  telah bersetuju menghantar pulang kira-kira 200 warga Bangladesh yang diselamatkan oleh tentera laut Myanmar dari sebuah bot di perairan negara itu minggu lepas, menurut Reuters.

Terdapat 200 rakyat Bangladesh daripada 208 orang yang ditemui di dalam bot itu, dan selebihnya adalah "Benggali" dari  Rakhine Myanmar,  satu istilah pejoratif yang digunakan pegawai-pegawai Myanmar  untuk menggambarkan etnik Rohingya, yang kediaman asal mereka terletak di Rakhine.

Di Dhaka, sambil menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan penghijrahan haram dan pemerdagangan manusia, Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina mengecam rakyatnya  kerana cuba berhijrah secara haram melalui laut untuk mencari peluang-peluang ekonomi di luar negara.

Orang seperti ini patut dihukum, Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS) memetik  Hasina sebagai berkata pada  Ahad.

"Mereka mencemarkan imej negara  serta membahayakan nyawa mereka," kata beliau.

Rayuan IOM

Di Geneva, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi berkata sebanyak US $26 juta diperlukan untuk membantu sehingga 10,000 orang yang terjejas akibat krisis migran di Asia Tenggara.

Antara lain, wang diperlukan untuk memberi mereka tempat tinggal, makanan, air dan sokongan psikologi, kata IOM.

Menurut anggaran yang dikumpulkan IOM  pada Isnin, seramai 3,200 migran dari 13 bot telah mendarat di Indonesia dan Malaysia,  selain 4,000 migran lagi masih berada di laut.

"Keutamaan nombor satu ialah mencari dan menyelamatkan mereka yang masih berada di laut, selain menjaga mereka yang telah mendarat yang kebanyakannya kekurangan nutrisi dan masih trauma," Jeff Labovitz, ketua misi IOM di Thailand, berkata dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Iyad Ameen Madani, mengarahkan pejabat OIC di Geneva dan New York supaya menyelaraskan kerjasama aktif dengan agensi serta pertubuhan antarabangsa yang berkaitan untuk menyumbang kepada ikhtiar kemanusiaan itu.

Isu itu akan turut menjadi agenda utama mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar OIC di Kuwait pada Rabu, dengan pelan tindakan bersama akan dibincangkan untuk diterima pakai, kata pertubuhan berpusat di Jeddah itu menerusi kenyataan.

OIC kempen bantu Rohingya

Duta Khas OIC ke Myanmar, Syed Hamid Albar juga bergiat aktif di lapangan selain bekerjasama dengan badan bukan kerajaan setempat dan menghubungi pegawai OIC dalam kempen untuk membantu Rohingya, yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai sebuah daripada minoriti paling teruk ditindas di dunia.

OIC turut berhubung dengan rangkaian kemanusiaan NGO untuk mewujudkan pelan tindakan menyeluruh bagi menangani isu itu di samping membuat persediaan untuk melancarkan kempen kesedaran media dan kutipan derma di kesemua 57 negara anggotanya.

OIC menjelaskan bahawa krisis yang berlaku sekarang sebahagian besarnya berpunca daripada situasi dahsyat dihadapi kaum Rohingya, yang mengakibatkan kira-kira 100,000 daripada mereka melarikan diri dari negeri Rakhine dengan menaiki bot ekoran penindasan, ketakutan, penderaan dan pembunuhan sejak 2012.

Pertubuhan itu menegaskan bahawa komuniti antarabangsa mesti mendesak Kerajaan Myanmar supaya berhenti mencabuli hak asasi manusia kaum Rohingya dan mengiktiraf mereka sebagai warganegara sepenuhnya, dalam usaha menyeluruh untuk menangani keadaan yang tidak dapat dipertahankan itu.

Menurut OIC, pertubuhan itu secara aktif menyokong usaha warga Rohignya untuk mendapatkan semula kewarganegaraan yang dibatalkan pada 1982, dan telah membantu dalam mengasaskan Arakan Rohingya Union, sebuah entiti yang mewakili Rohingya di seluruh dunia, bagi mendapatkan sokongan komuniti antarabangsa selain meningkatkan kesedaran terhadap nasib mereka.

OIC turut menghantar misi mencari maklumat ke Myanmar dan mencadangkan kepada kerajaan supaya membuka sebuah pejabat kemanusiaan OIC tetapi telah ditolak oleh pihak berkuasa Myanmar.

Malaysia dan Indonesia bersetuju menyediakan tempat perlindungan sementara bagi 7,000 pelarian Rohingya dan Bangladesh serta pendatang yang hanyut di laut selama setahun.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.