Kemaskini pada 11:40 a.m. ET - 2016-09-16
Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Khamis berkenan menerima menghadap bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, dalam pertemuan yang jarang sekali berlaku, bagi membincangkan gesaan awam supaya menyingkir Perdana Menteri Najib Razak yang terlibat dalam skandal rasuah, menurut anak lelaki dan pegawai Mahathir.
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan bertemu Mahathir lebih daripada satu jam di istana Seri Paduka di negeri utara Malaysia, Kedah, di mana bekas perdana menteri itu menyerahkan "Deklarasi Rakyat" yang ditandatangani lebih daripada 1 juta rakyat Malaysia yang menggesa supaya Najib meletak jawatan berikutan dakwaan terlibat dalam menyalahgunakan berbilion dolar dana negara, kata Mukhriz Mahathir kepada BeritaBenar.
Najib sekeras-kerasnya menolak tuduhan rasuah itu, yang dikaitkan dengan dana negara dibebani hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan deposit bernilai beratus-ratus juta dollar ke dalam akaun peribadinya.
"Saya boleh mengesahkan bahawa pertemuan itu diadakan pada 4.45 hari ini (Khamis) di istana," kata Mukhriz. "Secara jujurnya, kami menjangka ia hanya pertemuan singkat, mungkin 30 minit, tetapi ia berlangsung selama satu jam 15 minit.
"Kini, kami telah mengemukakan deklarasi itu, sekurang-kurangnya kami boleh memberitahu rakyat yang kami telah menjalankan tugas kami," kata Mukhriz yang juga Menteri Besar negeri Kedah sebelum penyokong setia Najib memaksa beliau meletakkan jawatan awal tahun ini.
"... kami telah menjalankan tugas kami. Rayuan yang dibuat oleh 1.4 juta rakyat Malaysia yang menandatangani deklarasi ini telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, "kata Mukhriz mengenai pertemuan empat mata di antara Mahathir dan Tuanku Abdul Halim, 89, yang merupakan Sultan Kedah paling lama bertakhta.
Sembilan sultan Malaysia bergilir-gilir menjadi Yang di-Pertuan Agong berperlembagaan di negara itu di bawah satu sistem penggiliran unik yang diperkenalkan pada akhir pemerintahan penjajah British pada 1950-an.
Seorang sama seorang
Peranan mereka sebahagian besarnya berkaitan dengan istiadat, dan kuasa untuk mentadbir Malaysia terletak dalam tangan parlimen dan Perdana Menteri. Tetapi, raja-raja tradisional dianggap sebagai pendukung tertinggi tradisi Melayu dan ketua simbolik Islam di Malaysia. Melayu Islam merangkumi kira-kira 60 peratus daripada 26 juta rakyat Malaysia yang pelbagai kaum.
Tahun lepas, dalam ulasan yang jarang sekali dibuat, raja-raja telah memerintahkan supaya siasatan yang pantas dan telus dibuat terhadap 1MDB yang bermasalah, dan bertitah bahawa kegagalan kerajaan untuk memberikan jawapan yang meyakinkan mengenai skandal itu mungkin telah menyebabkan "krisis keyakinan."
Mukhriz berkata, beliau tidak tahu mengenai butir perbincangan di antara Yang di-Pertuan Agong dan Mahathir di Anak Bukit, bandar diraja Kedah.
Sufi Yusuf, pegawai khas Mahathir, dan peguam bekas pemimpin itu, Mohamad Haniff Khatri, turut mengesahkan mengenai pertemuan seorang sama seorang itu.
"Dr. Mahathir menerima perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong petang ini dan menyerahkan Deklarasi Rakyat dan [membincangkan] perkara yang berkaitan dengan deklarasi tersebut," kata kepada BeritaBenar.
“Perkara lain saya tidak dapat dedahkan…beliau [Mahathir] mengadakan pertemuan itu tanpa diiringi sesiapa pun," katanya.
Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong, Syed Unan Mashri Syed Abdullah ketika dihubungi BeritaBenar, tidak dapat mengesahkan pertemuan itu dan berkata, beliau sedang menunaikan ibadah haji di Arab Saudi.
Media arus perdana Malaysia tidak melaporkan mengenai rundingan Mahathir dengan Yang di-Pertuan Agong pada Khamis.

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad menandatangani buku tetamu ketika hadir di Istana Anak Bukit di Alor Setar, Kedah sebelum menemui Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Khamis petang, 15 Sept, 2016 [Gambar ihsan Khairuddin Abu Hassan]
Sambil menolak tuduhan rasuah terhadap dirinya, Najib telah melancarkan tindakan keras terhadap mereka yang menentangnya dan mengambil alih kuasa keselamatan secara menyeluruh, yang sesetengah pengkritik berpendapat boleh mengancam hak-hak asasi manusia dan demokrasi serta boleh digunakan untuk tidak membenarkan protes.
Najib menolak deklarasi
Deklarasi Rakyat telah dikemukakan untuk ditandatangani secara dalam talian dan manual selepas Mahathir dan hampir 60 pemimpin pembangkang yang lain serta para pemimpin masyarakat sivil melancarkannya pada Mac lalu dalam satu majlis perpaduan.
Selain menggesa penyingkiran Najib melalui cara yang mematuhi undang-undang dan tanpa kekerasan, deklarasi itu, yang telah mengumpulkan 1.4 juta tanda tangan pada Julai lalu, turut menuntut pemansuhan undang-undang yang melanggar hak-hak asasi, dan memulihkan institusi yang integritinya dikatakan telah terjejas seperti polis, bank pusat dan badan anti-rasuah Malaysia.
Kerajaan Najib menolak deklarasi itu, dengan berkata langkah yang diambil Mahathir dan sekutunya "menunjukkan betapa dalamnya politik sempit dan terdesak mereka."
"Terdapat satu mekanisme sedia ada untuk menukar kerajaan dan Perdana Menteri. Ia dipanggil pilihan raya umum. Dan ia adalah satu-satunya mekanisme yang halal, demokratik, dan memenuhi kehendak rakyat," kata satu kenyataan kerajaan.
Awal tahun ini, Mahathir keluar daripada parti pemerintah, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), dan berkata beliau tidak lagi boleh menganggotai parti yang terlalu menyokong Najib yang dibelenggui skandal.