Malaysia, Indonesia Beri Perlindungan Sementara Kepada Pendatang

Oleh staf Berita Benar
2015.05.20
150520-MY-DIPLOMAT620 Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi (kiri) dan Menteri Luar Malaysia Anifah Aman mengadakan sidang media bersama mengenai isu pendatang di Putrajaya, 20 Mei 2015.
AFP

Malaysia dan Indonesia pada Rabu bersetuju membenarkan kira-kira 7,000 pendatang yang terkandas di laut, untuk mendarat di pantai negara masing-masing, sambil menyatakan  akan memberi mereka perlindungan bersyarat  selama setahun.

Langkah mengejutkan itu datang selepas kedua-dua negara dan Thailand menolak untuk menerima bot sarat dengan pendatang dari Bangladesh dan warga Rohingya di perairan negara masing-masing.

Malaysia dan Indonesia membuat mengumuman itu, beberapa jam selepas nelayan di barat Indonesia menyelamat seramai 433 pendatang dari sebuah bot kayu yang hanyut enam hari di Selat Melaka.

Bot pendatang itu ditolak berulang kali oleh tentera laut Malaysia dan Thailand.

Kemudian, Amerika Syarkat dan Gambia menawarkan bantuan untuk menempatkan semula orang Islam Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar.

"AS bersedia untuk membantu negara-negara di rantau ini menanggung beban dan menyelamatkan nyawa hari ini," kata Marie Harf, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, pada taklimat di Washington.

Gambia, negara Afrika Barat, mengumumkan bahawa ia bersedia menerima  semua pelarian Rohingya, menurut Agence France-Presse.

"Kerajaan Gambia mengambil perhatian serius tentang keadaan tidak berperikemanusiaan yang dialami rakyat Rohingya Myanmar - terutamanya mereka yang digelar sebagai 'orang hanyut' – yang kini  hanyut di  perairan Malaysia dan Indonesia," kata kerajaan Gambia dalam satu kenyataan.

"Sebagai manusia, lebih-lebih lagi sebagai umat Islam, adalah menjadi tugas suci dan murni untuk membantu meringankan kesusahan dan penderitaan yang tidak terperikemanusiaan itu.”

Sehari sebelum ini, Filipina  berkata ia bersedia membantu pendatang Rohingya dan Bangladesh yang terkandas di laut akibat perbuatan penyeludup, sejak Thailand melancarkan tindakan keras terhadap pemerdagangan manusia awal bulan ini.

Perubahan Dasar

Malaysia dan Indonesia mengumumkan perubahan dasar berikutan mesyuarat di  pusat pemerintahan Malaysia pada Rabu.

Selepas kira-kira 2,300 pendatang mendarat di pantai negara masing-masing awal bulan ini, kedua-dua negara itu menolak kemasukan bot-bot yang sarat pendatang pada minggu lepas yang mencetuskan kritikan meluas dari dalam dan luar negara.

“Indonesia dan Malaysia bersetuju untuk terus memberikan bantuan kemanusiaan kepada 7,000 pendatang yang masih berada di laut," kata Menteri Luar Malaysia Anifah Aman selepas mesyuarat itu,  dengan membaca  satu kenyataan bersama.

"Kami juga bersetuju untuk menawarkan mereka perlindungan sementara dengan syarat proses penempatan dan penghantaran pulang dilakukan dalam masa setahun oleh masyarakat antarabangsa," katanya.

Tetapi Thailand, yang turut menghadiri sidang kemuncak itu - tidak bersetuju untuk mengambil seorang pun daripada beribu-ribu pendatang Bangladesh dan etnik Rohingya itu yang masih hanyut di perairan serantau.

Di Bangkok, pegawai Thailand menafikan tentera lautnya akan terus menolak kemasukan bot-bot yang sarat dengan pendatang, namun  kerajaannya juga tidak menyatakan sama ada ia akan membenarkan mereka mendarat.

"Thailand menganggap amat penting bantuan kemanusiaan dan [tidak akan] menolak pendatang yang terkandas di perairan Thailand," kata Kementerian Luar Negeri Thailand dalam satu kenyataan.

Awal minggu ini, kerajaan Thailand berkata negara itu akan menempatkan 313 pendatang yang ditahan di selatan Thailand sejak 1 Mei lepas, di tempat perlindungan sementara.

"Merujuk kepada masalah Rohingya, Thailand adalah negara yang berada di tengah dan bukannya negara destinasi mereka," kata Timbalan Menteri Pertahanan dan Ketua Tentera Jeneral Udomdesh Sitabutr kepada pemberita pada Rabu.

"Jika mana-mana negara bersimpati dengan mereka, ambillah sebahagian daripada mereka."

Myanmar akan hadiri sidang kemuncak

Dalam satu lagi kejayaan diplomatik pada Rabu, Myanmar berkata wakilnya akan menghadiri sidang kemuncak mengenai pemerdagangan manusia dan krisis migran serantau di Bangkok pada 29 Mei ini.

Minggu lepas, Myanmar tidak pasti sama ada akan menghantar delegasinya ke sidang kemuncak itu dan  menolak dakwaan antarabangsa bahawa wilayahnya adalah punca asal penghijrahan Rohingya.

"Kita semua perlu berbincang dan mempertimbangkan bagaimana menangani masalah ini bersama-sama," kata Timbalan Menteri Luar Myanmar Thant Kyaw di Bangkok, menurut Associated Press.

Sementara itu, awal Rabu, nelayan Aceh di  barat Indonesia menyelamatkan 433 migran lagi dari sebuah bot di Selat Melaka.

Lelaki Rohingya, Muhammad Salim, 23, berkata pada 14 Mei, selepas bot itu memasuki perairan Thailand berhampiran Pulau Koh Lipe di wilayah Satun, mereka diberi bekalan sebelum diiringi semula ke laut.

Bot itu kemudian ditemui oleh Tentera Laut Malaysia, yang turut mengarahkannya berpatah balik.

"Mereka berkata jika anda tidak pergi dalam masa 10 minit, kami akan tembak anda," kata Salim.

Nurdin Hasan di Aceh dan Pimuk Rakkanam di Bangkok menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.