Malaysia kecam tindakan Meta turunkan hantaran PM Anwar jumpa pemimpin Hamas

Pengendali platform media sosial itu didakwa menurunkan hantaran tiga media Malaysia mengenai isu Israel-Palestin
Iman Muttaqin Yusof dan Noah Lee
2024.05.15
Kuala Lumpur
Malaysia kecam tindakan Meta turunkan hantaran PM Anwar jumpa pemimpin Hamas Seorang lelaki sedang menggunakan platform media sosial Facebook di Kajang, Selangor, 15 Mei 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kerajaan Malaysia mengecam tindakan syarikat Meta Platforms yang memiliki Facebook pada Rabu susulan tindakan platform media sosial itu menurunkan hantaran media tempatan mengenai pertemuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan pemimpin tertinggi Hamas dan delegasi sayap politik pergerakan pembebasan Palestin itu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata paling dikesalkan ialah sikap syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu yang tidak menghormati kebebasan media untuk menggunakan Facebook kerana Washington dan Meta telah mengklasifikasikan Hamas sebagai organisasi pengganas.

“Saya kecam tindakan pihak Meta menurunkan artikel atau hantaran media. Apatah lagi ini adalah laporan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar dan pertemuan dengan sayap politik sebuah organisasi, bukan sayap militan,” katanya pada sidang media pasca Kabinet di Putrajaya pada Rabu.

Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan, berkata beliau telah menerima aduan daripada dua media tempatan iaitu Malaysiakini dan Sinar Harian bahawa hantaran mereka di Facebook mengenai pertemuan Anwar dengan Ismail Haniyeh di Qatar telah diturunkan oleh Meta.

Malaysia Gazette pula mendapati akaun Facebook miliknya telah dipadamkan selepas ia memuat naik hantaran mengenai konflik Israel-Iran bulan lepas.

Tindakan itu menyebabkan portal berita berkenaan terpaksa membuka akaun Facebook yang baharu.

Bagaimanapun, akaun lamanya telah diaktifkan semula pada lewat Rabu selepas rayuan dibuat kepada Facebook.

Fahmi berkata Meta bertindak menurunkan hantaran terbabit kerana mendakwa ia melanggar piawaian komuniti syarikat itu mengenai ‘individu dan organisi yang berbahaya.’

“Apa yang saya kesalkan ialah tindakan ini diambil sebuah organisasi yang berpangkalan di AS dan ia jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati kebebasan pihak media dalam menggunakan platform mereka.

“Kita akan adakan pertemuan dengan platform media sosial pada Jun nanti. Pada pertemuan itu nanti, saya akan bangkitkan isu ini supaya laporan mengenai tugas atau aktiviti rasmi Perdana Menteri tidak diperlakukan sebegitu rupa,” katanya.

Bantahan

BenarNews telah menghubungi Pengarah Nasional Meta iaitu Nicole Tan serta Ketua Polisi Awam Meta bagi Singapura, Malaysia dan Institusi Antarabangsa Clara Koh. Mereka bagaimanapun tidak memberikan maklum balas segera.

Malaysia ialah sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan penyokong kuat perjuangan rakyat Palestin menentang Israel terutama dalam isu serangan balas rejim zionis itu yang meragut nyawa lebih 34,000 penduduk Gaza susulan operasi Hamas ke atas wilayah yang diduduki itu sehingga mengorbankan lebih 1,100 orang pada 7 Okt lepas.

Anwar sebelum ini pernah menolak desakan diplomatik AS supaya Malaysia melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Pada Oktober tahun lepas, Meta menjadi sasaran kerajaan selepas Fahmi memberi amaran bahawa Malaysia mungkin mengambil tindakan terhadap syarikat itu dan firma media sosial lain yang didakwa menghalang kandungan berunsur pro-Palestin susulan aduan yang dibuat oleh pengguna.

Facebook pernah bertindak menurunkan hantaran mengenai Anwar yang dipetik daripada ucapan beliau semasa himpunan ‘Solidariti bersama Palestin’ di Kuala Lumpur tahun lepas.

Bagaimanapun, hantaran itu dimuat naik semula selepas bantahan oleh kerajaan.

Ketika itu, Meta menyifatkan dakwaan Fahmi sebagai sesuatu yang tidak benar, lapor Reuters.

“Polisi kami adalah untuk memastikan keselamatan pengguna ketika menggunakan aplikasi kami dan pada masa yang sama, memberikan peluang bersuara kepada semua orang,” kata jurucakapnya kepada Reuters.

Menurut polisi Meta mengenai organisasi dan individu berbahaya yang dikemas kini pada Disember lepas, serangan Hamas pada 7 Okt tahun lepas diklasifikasikan sebagai “serangan pengganas” dan syarikat itu telah bertindak menurunkan semua hantaran menunjukkan mangsa yang boleh dikenal pasti ketika serangan berlaku.

Ia turut memperkenal langkah menangani “peningkatan kandungan yang memudaratkan dan berpotensi untuk memudaratkan” daripada menular di platform itu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di Putrajaya, 24 April 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di Putrajaya, 24 April 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Human Rights Watch pada Disember pula menuduh Meta telah mempertingkat tapisan di semua platform miliknya iaitu Instagram dan Facebook yang menghalang suara penyokong Palestin serta hak asasi manusia warga Palestin semasa konflik.

“Antara Oktober dan November 2023, Human Rights Watch merakam lebih 1,050 tindakan menurunkan kandungan dan tindakan lain yang menghalang kandungan dimuat naik oleh warga Palestin dan penyokong mereka di Instagram dan Facebook termasuk mengenai pelanggaran hak asasi manusia.

“Human Rights Watch secara terbuka meminta (laporan dibuat) bagi sebarang kes tapisan dalam talian mengenai apa sahaja pandangan berkenaan isu Israel dan Palestin.

“Daripada 1,050 kes yang diteliti daripada laporan ini, sebanyak 1,049 membabitkan kandungan bersifat aman dalam menyokong Palestin telah ditapis atau dihalang manakala satu kes membabitkan penurunan kandungan yang menyokong Israel.

“Kami melihat penapisan kandungan berkaitan Palestin di Instagram dan Facebook sebagai satu tindakan sistemik dan global,” kata badan hak asasi manusia itu pada Disember.

Tindakan Meta menurunkan hantaran media tempatan menerima banyak reaksi negatif dalam kalangan rakyat Malaysia yang mengecam pengendali Facebook itu.

Beberapa pengguna media sosial turut mencadangkan supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Meta susulan insiden itu.

“Kalau macam tu kita tutup Meta di Malaysia ini,” kata pengguna X bernama Alif Aziz dalam respons terhadap hantaran Fahmi.

“Sudah tiba masanya kita membina platform media sosial kita sendiri,” kata pengguna X @berisman.

                                  

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.