Inkuiri Kehilangan: Saksi Cerita Perbualan Dengan Hilmy Untuk Bantu Suhakam

Nisha David dan Noah Lee
2020.02.18
Kuala Lumpur
200218-MY-couple-620.jpg Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu hilang pada November 2016. Inkuiri kehilangan pasangan itu bermula pada Selasa di pejabat Suhakam di Kuala Lumpur, Malaysia.
Foto ihsan keluarga Ruth Sitepu

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada Selasa memulakan inkuiri dalam kes kehilangan rakyat Malaysia Joshua Hilmy dan isterinya warga Indonesia, Ruth Sitepu, dengan memanggil rakan pasangan itu yang mendedahkan bahawa Hilmy pernah dicari pihak berkuasa agama Islam sebelum ini susulan tindakannya menganut agama Kristian.

Peter Pormannan, yang pertama kali bertemu Hilmy pada 2012, memaklumkan tiga ahli panel inkuiri itu bahawa dia mengetahui perkara tersebut selepas dimaklumkan sendiri oleh Hilmy kira-kira dua tahun kemudian.

Berdasarkan rekod, Hilmy dilahirkan sebagai seorang Islam sebelum menganut agama Kristian selepas berkahwin dengan Ruth. Pasangan itu dilihat buat kali terakhir pada November 2016.

“Dia beritahu saya pihak berkuasa agama sedang mencarinya selepas dia menganut agama Kristian. Dia juga beritahu saya bahawa dia mahu menukar agamanya sebagaimana yang dinyatakan dalam MyKad daripada Islam kepada Kristian,” kata saksi itu yang merujuk kepada dokumen pengenalan diri Malaysia.

Pormannan, seorang ejen insurans, berkata demikian ketika menjawab soalan pemerhati Suhakam Simon Karunagaram sama ada dia tahu pasangan itu telah disiasat oleh mana-mana agensi selain polis.

Dia berkata Hilmy berkongsi kisah hidupnya dalam satu pertemuan dengan masyarakat selepas menganut agama Kristian dan percaya perkara itu boleh menjadi sebab pihak berkuasa agama mencarinya.

Bagaimanapun, Pormmannan menafikan bahawa Hilmy diancam oleh pihak berkuasa.

“Adakah dia mengatakan dia terancam atau pernah menjelaskan perkara yang dia terancam?” soal Karunagaram.

“Ia hanya siasatan. Saya tidak melihat apa-apa unsur ancaman atau boleh menimbulkan sebarang kecederaan, kata Hilmy ketika menjelaskan tentang ini kepada saya,” kata saksi itu.

Hilmy tidak pernah kembali selepas meninggalkan rumahnya di Petaling Jaya pada Okt 2016.

Pormannan memaklumkan panel itu bahawa dia telah bertemu Hilmy lebih 30 kali sejak mula mengenali antara satu sama lain.

Hilmy dan Sitepu juga pernah tinggal di rumah ibu mertua Pormannan di Kampung Jawa, Klang lebih setahun.

Saksi telah menawarkan pasangan itu untuk tinggal di rumah tersebut selepas ibu mertuanya meninggal dunia kerana Hilmy dan Sitepu tidak mempunyai kediaman tetap.

Pasangan itu kemudian berpindah ke Ipoh atau Pulau Pinang sebelum menetap di Kampung Tunku, Petaling Jaya.

Apabila Hilmy mengetahui dua anak Pormannan belajar di Petaling Jaya, dia menawarkan bilik kepada mereka di mana mereka menetap selama tiga tahun sehingga tamat pengajian pada 2018.

Melalui anak-anaknya, Pormannan mendapat tahu pada awal 2017 bahawa Hilmy telah meninggalkan rumah pada Oktober 2016 dan tidak pernah dilihat lagi selepas itu.

“Anak-anak saya beritahu Hilmy tidak pulang ke rumah. Dia sentiasa kembali selepas bertemu kawan-kawannya, tetapi kali ini dia tidak pulang,” katanya sambil menambah bahawa dia terkejut apabila mengetahui perkara itu dan cuba menghubungi Hilmy melalui telefon bimbitnya tetapi gagal.

Saksi itu berkata dia menunggu seketika sebelum membuat laporan orang hilang pada Mac 2016.

Pormannan berkata dia tidak cuba menghubungi keluarga Hilmy kerana tidak mengenali mereka.

Anak perempuan Pormannan, Grace Thangamalar, 27, yang merupakan saksi kedua, berkata sebelum pasangan itu hilang, Hilmy pernah bergaduh dengan individu tidak dikenali melalui telefon.

Grace berkata dia tahu mengenai perkara itu daripada seorang penyewa sebelum satu keluarga Melayu yang terdiri daripada empat hingga lima orang datang ke rumah itu.

“Keluarga itu datang dengan Proton Preve dan tinggal selama semalam. Mereka datang pada pukul 1 pagi dan keluar dari rumah itu pada pukul 6 pagi,” katanya.

Dia berkata selepas keluarga itu beredar, Sitepu memberitahunya bahawa masalah sudah bermula buat mereka.

Inkuiri bagi menentukan sama ada pasangan itu adalah mangsa kehilangan terancang dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus dengan dibantu oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma.

Prosiding akan berlangsung selama 14 hari mulai Selasa dan berakhir pada 29 April.

Inkuiri Suhakam dalam dua kes lain iaitu kehilangan Paderi Raymond Koh dan Amri Che Mat masing-masing pada 2017 dan 2016, pada 3 April tahun lepas telah merumuskan bahawa mereka adalah mangsa kehilangan terancang.

Panel siasatan, yang dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, mengumumkan bahawa terdapat kebarangkalian pelaku di sebalik kehilangan Koh dan Amri ialah anggota polis Bahagian Cawangan Khas.

Keluarga harap untuk bertemu Ruth semula

“Saya percaya bahawa kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia akan bertindak dengan adil dalam mengesan kakak dan suaminya,” kata Iman Setiawan Sitepu.

Menurut Iman, keluarganya berhubung dengan Ruth buat kali terakhir pada November 2016.

“Kami mendapat tahu daripada sepupu saya bahawa anaknya bekerja di Malaysia. Dia telah menghubungi kami dan menyatakan dia telah gagal mengesan Ruth,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.