Mogok Lapar Bantah Cadangan Pindaan Akta Hasutan Pusingan Kedua, Jun ini


2015.03.27
150327-MY-LAPAR-620 Pelajar dari Universiti Malaya memegang pelekat semasa perhimpunan minta kerajaan memansuhkan Akta Hasutan di kampus utama universiti tu, di Kuala Lumpur pada 10 September 2014.
AFP

Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Pujut, sebuah kawasan di negeri Sarawak, Fong Pau Tech berkata mereka menamatkan mogok itu, selepas mendapati cadangan pindaan akta berkenaan tidak dibawa ke Parlimen pada sidang kali ini yang akan tamat pada 9 April depan.

“Jika cadangan pindaan akta berkenaan akan dibentangkan di Parlimen, Jun ini, iaitu penggal kedua persidangan, maka kita akan sekali lagi ‘terbang’ ke Kuala Lumpur untuk melancarkan pusingan kedua mogok,” kata beliau kepada BenarNews, semasa dihubungi daripada Washington DC di sini hari ini.

Cadangan pindaan itu, bakal menghukum mereka yang membangkitkan isu membawa Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.
Kumpulan Prihatin yang terdiri rakyat Sarawak itu, bimbang pindaan akta berkenaan bakal mengatasi Perlembagaan Persekutuan dan melupuskan hak kebebasan untuk bersuara.


Mogok Tamat Selepas Tiga Hari

Pau Tech berkata, selama tiga hari mereka tidak menjamah makanan sebaliknya minum air dan berada di bawah pengawasan seorang pegawai perubatan.

Mogok itu bertemakan : Sampai bila kerajaan mahu meneruskan undang-undang penjajah (Akta Hasutan 1948), dakah ini bermakna mereka mahu meneruskan penjajahan?

Sabah dan Sarawak terletak di kepulauan Borneo, yang berjiran dengan Indonesia dan Brunei, dan Laut China Selatan memisahkan kedua-dua negeri itu, dengan Semenanjung. Kedua-dua negeri itu, menyertai Semenanjung Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963.

Terdapat pihak perundangan di Sarawak dan Sabah yang berpendapat cadangan pindaan itu bakal mendatangkan kesan kepada hak kedua-dua negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan ia boleh dicabar di mahkamah.

Mereka berpendapat setelah cadangan itu dikuatkuasakan, ia akan menghalang rakyat Sarawak dan Sabah daripada menyuarakan hak mereka sejajar dengan perjanjian itu atau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Profesor Madya Undang-Undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom adalah antara mereka yang disiasat serta didakwa dan disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Kes terbaru ialah Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, yang juga Ahli Parlimen Pandan, ditangkap mengikut akta itu, di pusat khidmatnya di Pandan, berhubung kenyataan yang dikeluarkan mengenai perhimpunan #KitaLawan esok.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.