Mahathir Rancang Perintah Malaysia Selama 1 atau 2 Tahun

Hadi Azmi & Lex Radz
2018.05.15
Kuala Lumpur, Malaysia
180515-MY-Mahathir1000.jpeg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad melambai kepada para jurugambar selepas bertemu dengan pemimpin Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Putrajaya, selatan Kuala Lumpur, 14 Mei 2018.
[AP]

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Selasa berkata, beliau berhasrat untuk kekal sebagai pemimpin negara selama "satu atau dua tahun" selepas menerajui pakatan pembangkang memperoleh kemenangan pilihan raya yang menakjubkan pada minggu lalu.

Mahathir membuat kenyataan itu dalam satu wawancara, beberapa jam sebelum Lembaga Pengampunan Diraja dijangka mengadakan mesyuarat pada Rabu berhubung penggantinya, Anwar Ibrahim, yang menjalani hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat yang para penyokongnya dakwa dirancang oleh Perdana Menteri Najib Razak.

Beliau juga mengumumkan bahawa Laporan Audit 1MDB, yang telah dibekukan oleh Najib, kini dibuka kepada umum.

"Pada peringkat awalnya, dalam satu atau dua tahun, saya akan menjadi perdana menteri dan saya akan menerajui negara," kata Mahathir, menurut transkrip persidangan video dengan penulis Wall Street Journal (WSJ) di Tokyo.

Mahathir telah berjanji semasa kempen pilihan raya bahawa beliau akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, tetapi buat pertama kalinya, beliau memberikan garis masa yang kukuh berhubung jawatan yang disandangnya itu.

"Orang ramai menyokong kami kerana mereka mempunyai kepercayaan terhadap kepimpinan pembangkang untuk menyelesaikan beberapa masalah dan ini, sebahagiannya, bergantung kepada pengalaman entiti pembangkang. Ini termasuklah saya, sudah semestinya, saya adalah ketua pembangkang, "kata Mahathir kepada WSJ.

"Orang ramai menunjukkan bahawa mereka mahu saya memimpin untuk beberapa waktu sehingga beberapa masalah diselesaikan, tetapi saya sendiri berumur 93 tahun. ... saya akan melepaskan jawatan, tetapi memainkan peranan di balik tabir, "kata Mahathir yang berusia 93 tahun pada Julai. "Buat masa ini, saya akan menerajui negara."

Sebelum ini, penganalisis berkata, tiadanya jadual tetap bagi peralihan kuasa boleh menjadi ujian mudah bagi ketahanan gabungan musuh politiknya. Minggu lalu, ketika ditanya mengenai penyerahan kuasa kepada Anwar, Mahathir memberitahu bahawa proses itu boleh mengambil masa yang lama.

"Mungkin ada kesepakatan awal secara muhibah di antara pasangan itu, memandangkan hasil pilihan raya yang mencatatkan sejarah,” kata Hugo Brennan, penganalisis kanan Asia di firma perundingan risiko Verisk Maplecroft yang berpejabat di Jakarta kepada Bloomberg News. "Persoalannya adalah sejauh mana ini dapat dikekalkan dalam jangka panjang."

Empat parti Pakatan Harapan (PH) telah menumbangkan gabungan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Rabu lepas setelah Mahathir bersetuju untuk menjadi kuasa penggerak pembangkang.

WSJ berkata bahawa ia mendapat kenyataan audio daripada Anwar pada awal Selasa dan memetik ahli politik yang dipenjarakan itu sebagai berkata bahawa Mahathir harus diberikan masa untuk mencapai matlamatnya.

"Ia mungkin mengambil masa satu tahun atau lebih, terpulang kepadanya," kata Anwar, menurut WSJ. "Saya bukannya terburu-buru."

Menjawab kenyataan Mahathir, Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail bersetuju bahawa suaminya, Anwar, tidak akan segera mengambil alih jawatan itu daripada Mahathir.

Beliau berkata, pakatan pembangkang mahu kerajaan Mahathir ditadbir dengan lancar.

"Kami telah membincangkan hal ini bersama-sama dan kami berharap bahawa semuanya akan ditangani dengan lancar di bawah kepimpinan Dr Mahathir," katanya kepada pemberita di Hospital Rehabilitasi Cheras, di mana Anwar, 70, sedang menjalani rawatan.

Mahathir, yang mentadbir Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Islam selama 22 tahun bermula pada 1981, telah memecat Anwar sebagai timbalannya pada September 1998. Selepas  dipecat, Anwar ditangkap, disabitkan dan dipenjarakan atas pertuduhan rasuah dan liwat. Beliau secara konsistennya menafikan pertuduhan itu.

Sabitan pertuduhan liwat pertama beliau dibatalkan pada 2004 tetapi sabitan rasuahnya kekal, dan selepas itu, beliau dipenjarakan bagi sabitan liwat kedua dan memerlukan pengampunan diraja untuk mengelak larangan lima tahun sebelum boleh kembali semula ke pentas politik.

'Beliau tidak sesuai untuk menggantikan saya'

Dalam bukunya "A Doctor in the House," yang diterbitkan pada  2011, Mahathir mengimbau bagaimana beliau mengubah Malaysia daripada negara berasaskan pertanian menjadi negara perindustrian hingga menjadi negara perdagangan ke-17 terbesar di dunia. Tetapi, beliau juga mempertahankan keputusannya untuk memecat Anwar.

"Beliau tidak sesuai untuk terus berkhidmat dalam kerajaan dan beliau tidak sesuai untuk menggantikan saya sebagai perdana menteri," katanya dalam catatan itu. "Saya mungkin telah membuat banyak kesilapan, tetapi memecat Anwar bukanlah satu daripadanya."

Minggu lepas, Mahathir memberitahu pemberita bahawa Anwar perlu menjadi ahli parlimen terlebih dahulu sebelum boleh menjadi perdana menteri.

"Sama ada beliau akan segera menyertai kabinet atau tidak, ia akan diputuskan bila tiba masanya," kata Mahathir.

Laporan Audit 1MDB diubah status

Pada Selasa, Mahathir memanggil pegawai-pegawai kanan kerajaan Ketua Audit Negara ke Putrajaya, pusat pentadbiran negara, empat hari selepas beliau mengarahkan polis untuk menarik balik sekatan yang dikenakan terhadap Laporan Audit 1MDB.

Pada 2016, kerajaan Najib menjadikan ia satu kesalahan undang-undang untuk membocorkan mana-mana bahagian dalam laporan itu dengan mengklasifikasikannya di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Malaysia melakukan klasifikasi itu kerana Amerika Syarikat sedang menyiasat dakwaan berhubung rasuah berbilion dolar yang melibatkan para pegawai dalam dana negara itu yang dibelenggui skandal.

Menurut ringkasan eksekutif laporan itu yang diperoleh oleh BeritaBenar, pegawai-pegawai kanan 1MDB "tidak mematuhi sepenuhnya keputusan yang dibuat oleh lembaga" dan menyembunyikan maklumat daripada lembaganya.

"Dalam beberapa keadaan, pengurusan 1MDB telah menyampaikan maklumat yang tidak lengkap dan tidak tepat kepada lembaga 1MDB sebelum keputusan penting dibuat," kata laporan itu.

Pada Disember 2017, Peguam Negara A.S. Jeff Sessions menyifatkan dakwaan rasuah itu sebagai "kleptokrasi paling buruk" dan Jabatan Kehakiman A.S. berkata, kira-kira $700 juta telah diselewengkan daripada 1MDB dan dimasukkan ke akaun bank Najib.

Najib menafikan dakwaan salah laku dan berkata, wang itu adalah sumbangan politik dari keluarga diraja Arab Saudi.

Mahathir, dalam wawancara video dengan WSJ, berjanji bahawa tiada rundingan akan dilakukan dengan Najib mengenai siasatan 1MDB itu. Beliau berkata, ramai pegawai kanan semasa pentadbiran Najib telah mengemukakan dokumen demi dokumen.

"Saya kini berdepan masalah untuk cuba mempercayai orang yang menjalankan penyiasatan terhadapnya kerana sesetengah orang ini berpihak kepadanya dan kita tidak tahu siapa yang akan setia kepada kerajaan baru ini," kata Mahathir. "Kami semakin hampir untuk mencapai dasar kepada masalah ini."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.