Ahli Lembaga Pengarah Ditahan Untuk Bantu Siasatan 1MDB

Oleh Hata Wahari
2015.07.21
150721-MY-1MDB160 Seorang wanita Malaysia berjalan melepasi tapak pembinaan projek milik 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kuala Lumpur. 3 Julai, 2015.
AFP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin menahan seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat pembinaan bagi membantu siasatan berkaitan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

SPRM dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik sebelum berlepas ke Taiwan.

Beliau dipercayai ditahan oleh Jabatan Imigresen sebelum diserahkan kepada SPRM untuk ditahan mengikut Akta SPRM 2009. Beliau dipercayai boleh membantu siasatan mengenai dakwaan menerima rasuah bernilai RM5 juta yang membabitkan SRC International Sdn. Bhd.

SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat tenaga yang asalnya dikuasai oleh 1MDB, kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan sejak Februari 2012.

Sementara itu, Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif, The Edge Media Group, Hay Kay Tat, telah membuat kenyataan dan menyerahkan berpuluh-puluh dokumen kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Isnin.

Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat pada 2 Julai lepas melaporkan tentang penyiasatan ke atas 1MDB yang didakwa telah menyalurkan hampir AS$700 juta (RM2.64 bilion)  ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak. Syarikat SRC merupakan salah sebuah anak syarikat 1MDB yang telah mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun tersebut.

Menurut kenyataan SPRM, lelaki (ahli lembaga pengarah) itu ditahan berhubung siasatan terhadap 1MDB yang sedang dijalankan oleh pasukan Petugas Khas yang terdiri daripada SPRM, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara .

“Perintah tahan reman telah dikeluarkan oleh Majistret Eric Lau di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM," menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan yang sama, peguam kepada ahli lembaga pengarah yang ditahan, Muhammad Shafee Abdullah berkata, pasukan Petugas Khas telah memohon tempoh tahan reman selama tujuh hari. Bagaimanapun, Majistret hanya membenarkan selama empat hari.

Kepentingan negara

“Saya bagaimanapun tidak tahu atas sebab apa anak guam saya ditahan tetapi permohonan yang dibuat oleh pasukan Petugas Khas itu adalah atas kepentingan negara,” katanya pada Selasa .

Beliau berkata anak guamnya ditahan reman mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM kerana menerima atau cuba memperolehi rasuah sebagai dorongan atau ganjaran.

Pada 5 Julai lepas, Peguam Negara Gani Patail berkata, pasukan Petugas Khas telah memulakan siasatan terhadap 1MDB.

Gani turut mengesahkan bahawa pasukan petugas itu telah menyerbu pejabat SRC Internasional Sdn. Bhd., Gadingan Mentari Sdn. Bhd. dan Ihsan Perdana Sdn. Bhd. bagi menperolehi pelbagai dokumen berkaitan siasatan dakwaan penyaluran dana berjumlah beratus juta dolar Amerika ke dalam akaun bank perdana menteri.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan 1MDB yang mengulas mengenai penahanan ahli lembaga pengarah syarikat pembinaan oleh SPRM itu berkata, tiada kakitangannya yang dikenakan tahanan reman.

"1MDB mengulangi komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa yang ketika ini menyiasat 1MDB," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Hay, penerbit akhbar The Edge pada Selasa memberitahu, beliau telah menyerahkan dokumen yang sama kepada Bank Negara Malaysia.

“Pada hari Isnin, kami menyerahkan dokumen, e-mel yang dicetak dan sebuah cakera padat kepada Bank Negara Malaysia. Hari ini (Selasa), set yang sama diberikan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis, dan turut memberi kenyataan kepada polis,

“Kami berasa lega apabila pelbagai pihak menjalankan siasatan - Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Bank Negara, SPRM, Polis dan Peguam Negara telah memberikan komitmen mereka untuk mendedahkan kebenaran tanpa rasa takut atau pilih kasih,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Hay memberitahu, memang menjadi tanggungjawab dan kewajipan mereka kepada rakyat Malaysia untuk meneruskan pendedahan berita berkaitan isu 1MDB.

The Edge telah melaporkan dengan meluas mengenai 1MDB sejak dua tahun lepas, ketika entiti milik kerajaan itu dilihat mula berdepan dengan masalah kewangan.

Pada Isnin, akhbar itu menerbitkan artikel empat halaman mendakwa bahawa 1MDB dan rakan usaha samanya, PetroSaudi International, telah menipu Malaysia berbilion ringgit.

Selidik cari kebenaran

Hay berkata, wartawan The Edge telah menemui pelbagai kenalan dan menyelidik apa sahaja maklumat yang ada dalam usaha mencari kebenaran.

"Sesungguhnya, tanggungjawab dan tugas mereka kepada rakyat Malaysia semata-mata untuk melakukan itu. Sebagaimana tugas kami ialah untuk mencari berita,

“Sebagai sebuah kumpulan media, kami percaya kami perlu memenuhi tanggungjawab awam, tidak kira betapa sukar dan bahayanya terhadap kami. Kami tidak terlibat dalam pencurian, kami tidak membayar sesiapa, dan kami tidak mengubahsuai sebarang emel dan dokumen yang diberi kepada kami,

“Malah, kami melindungi data yang ada supaya tiada siapa boleh mengubahnya. Ini boleh disahkan secara bebas oleh pihak berkuasa,” tambah beliau dalam kenyataan itu.

Hay berkata “Kami tidak ada agenda politik atau konspirasi dalam apa yang kami lakukan. Malah, kami terlibat dengan pelbagai ahli politik dan pegawai kerajaan yang meminta bantuan kami bagi memahami dengan lebih baik apa yang terjadi dan bagaimana keadaan 1MDB hari ini,”

Dalam respons segera, 1MDB dalam satu kenyataan menyelar The Edge Financial Daily itu berhubung laporan dengan mengatakan bahawa ia "sudah lapuk, tidak berasas dan dikitar semula."

"Kami terkejut dengan dakwaan tidak berasas ini, dikitar semula sekali lagi, sedangkan pelbagai rupa siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa yang rasmi mengenai isu-isu yang ditimbulkan berkaitan urusan 1MDB."

Kementerian Dalam Negeri pada 1 Jun mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Edge berhubung laporan-laporannya itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.