Pejabat PM Arah Kabinet Elak Buat Kenyataan
2015.07.27
Pejabat Perdana Menteri pada Isnin mengeluarkan arahan kepada anggota kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan persepsi rakyat terhadap kepimpinan negara serta kerajaan berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga hasil siasatan ke atas syarikat berkenaan selesai dijalankan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Arahan itu dikeluarkan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat itu pada Isnin, iaitu sehari selepas Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno (parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu), lantang bersuara mengenai isu 1MDB.
"Siasatan sedang berjalan dan kita perlu memberi ruang kepada pihak yang terbabit untuk menjalankan tugas mereka. Oleh itu, semua pihak lebih-lebih lagi anggota pentadbiran (jemaah menteri) termasuk Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, hendaklah menunggu hasil siasatan tersebut," kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
Muhyiddin semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad lantang bersuara mengenai isu 1MDB dalam ucapannya pada majlis itu.
Beliau sebelum ini telah beberapa kali bersuara mengenai 1MDB yang kini sedang hangat diperkatakan kerana syarikat pelaburan strategik Malaysia itu dipercayai menanggung hutang sebanyak AS$12bilion (RM42 bilion).
Pada 2 Julai lepas, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) yang beribu pejabat di Amerika Syarikat telah melaporkan tentang penyiasatan ke atas 1MDB yang didakwa telah menyalurkan hampir AS$700 juta (RM2.64 bilion) ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
Pelbagai dakwaan dan spekulasi dilontarkan oleh banyak pihak bahawa AS$7.8 bilion (RM27 bilion) daripada sejumlah AS$122 bilion telah 'hilang' atau 'lesap'.
Kerajaan Najib, bagaimanapun, menafikannya dan menyifatkan dakwaan dalam laporan itu sebagai "tuduhan palsu," dan "sebahagian daripada kempen bersepadu sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik."
Umno berdepan krisis
Muhyiddin semasa berucap pada majlis itu, turut memberi amaran bahawa Umno akan berdepan dengan krisis kepercayaan ekoran kontroversi 1MDB dan menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan permasalahan ekoran skandal 1MDB itu.
“Jika tidak, isu itu akan menjadi beban kepada Umno sebagai parti yang mendukung kerajaan,” kata beliau.
Muhyiddin menegaskan bahawa Perdana Menteri, harus bertanggungjawab menjelaskan kepada umum isu yang melanda 1MDB dan jika tidak ditangani dengan berkesan akan menyebabkan kekalahan dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata tiada seorang pun yang boleh memberikan penjelasan sebenar tentang isu 1MDB termasuk yang mereka berada di dalam kabinet.
Kenyataan pejabat Perdana Menteri dalam respon terhadap Muhiyiddin, memaklumkan bahawa kerajaan telah pun mengambil tindakan untuk menangani tuduhan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak mengenai isu 1MDB itu.
“Ia termasuk arahan kabinet, dalam siasatan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara(PAC) selain dokumen berhubung 1MDB, diedarkan kepada semua anggota jemaah menteri,
“Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan WSJ itu serta pendedahan bekas eksekutif kanan PetroSaudi International, Xavier Andre Justo, bahawa beliau telah menjual dokumen yang dicuri kepada pihak tertentu yang dipercayai berkomplot untuk menggulingkan kepimpinan negara dan kerajaan Malaysia,” tambah kenyataan itu.
Polis Thailand pada 22 Jun lepas, telah menahan bekas Eksekutif PetroSaudi International Ltd., Justo, 49, setelah firma itu membuat laporan mendakwa lelaki berkenaan telah memeras ugut syarikat yang menjadi rakan usahasama 1MDB itu.
Semasa dalam tahanan Polis Thailand, lelaki dengan kerakyatan Switzerland itu mendakwa pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Malaysia yang membeli maklumat daripada beliau bagi memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.
Tenang dan Bersatu
Kenyataan pejabat Perdana Menteri itu turut menegaskan, "Jika kita tenang dan terus bersatu padu kita akan dapat menangani cabaran ini dan mempertahankan sokongan rakyat kepada kerajaan dan parti. Sokongan rakyat terhadap kerajaan dan parti akan terhakis jika kita berbalah sesama sendiri,"
Kenyataan itu percaya, tindakan bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad yang membuat pelbagai tuduhan termasuk kehilangan RM42 bilion kepunyaan 1MDB, turut menyumbang kepada terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan parti.
Najib dalam satu kenyataan pada 3 Julai lepas, menuduh Mahathir mencetuskan dakwaan rasuah terbaru itu.
Mahathir, yang pernah menjadi penaung politik bagi Najib, sebelum ini menggesa perdana menteri itu supaya berundur berikutan skandal 1MDB.
"Saya tidak setuju dengan 1MDB dan akan terus mengkritiknya serta apa saja yang saya rasa membahayakan urus tadbir negara ini," tulis Mahathir, pemimpin veteran Malaysia itu, di dalam blognya Februari lepas.
Kenyataan pejabat Perdana Menteri itu berkata, "Kerajaan berharap semua pihak sabar menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan dalam menentukan kesahihan pelbagai dakwaan yang wujud dan mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh menganggu-gugat kestabilan dan perpaduan negara,"
Berikutan isu 1MDB itu, Malaysia telah menggantung permit penerbitan akhbar kewangan harian dan mingguan The Edge Financial Daily dan The Edge Weekly kerana membuat pendedahan mengenai skandal dan salah urus kewangan syarikat pelaburan negara 1MDB yang melibatkan Perdana Menteri Najib.
Putrajaya juga mengambil tindakan menyekat laman web portal berita penyiasatan yang berpangkalan di United Kingdom, The Sarawak Report, kerana dikatakan menggangu-gugat kestabilan negara.
Kedua-dua tindakan itu diambil oleh kerajaan Malaysia dalam tempoh seminggu, selepas organisasi media yang terlibat mengkritik dan mendedahkan pendakwaan salah laku dalam urusan kewangan berkaitan 1MDB.
Selain itu, beberapa orang termasuk pengarah urusan syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan 1MDB, telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia.