1MDB Hadapi Siasatan Baru Berhubung Pemindahan Wang - WSJ

Staf BeritaBenar
2015.12.17
151217-MY-1MDB620 Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda semasa sidang media di Kuala Lumpur. 31 Oktober 2015.
AFP

1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang menghadapi penelitian baru daripada The Wall Street Journal berhubung tiga huruf dalam satu nama dan urus niaga luar pesisir berjumlah AS $850 juta.

1MDB merupakan sebuah dana pelaburan negara  menanggung hutang yang dikaitkan dengan skandal rasuah yang membelenggui Perdana Menteri Malaysia Najib Razak sejak awal Julai.

The Wall Street Journal adalah akhbar yang pertama melaporkan berita itu, dengan laporan bahawa AS $ 700 juta daripada 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank persendirian milik Najib.

Dalam laporan pada Khamis, akhbar itu  melaporkan bahawa 1MDB telah memindahkan AS $ 850 juta kepada sebuah syarikat yang didaftarkan di Kepulauan Virgin British, Aabar Investments PJS Ltd, melalui tiga transaksi.

Syarikat Kepulauan Virgin itu ditubuhkan pada Mac 2012 dan dibubarkan pada Jun lalu, menurut laporan itu.

Siasatan di enam negara adalah termasuk memberi tumpuan kepada US $ 2.4 bilion yang dibayar kepada sebuah unit Abu Dhabi International Petroleum Investment Co. (IPIC) sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk membeli loji kuasa di Malaysia dan di tempat lain, lapor Wall Street.

Anak syarikat IPIC ialah Aabar Investments PJS, menurut akhbar itu.  Eksekutif IPIC dan Aabar  menyatakan bahawa mereka tidak pernah memiliki atau mengawal syarikat Kepulauan Virgin itu yang mempunyai nama yang sama.

1MDB sedang disiasat di Singapura, Switzerland, Hong Kong dan Amerika Syarikat serta di Malaysia dan Abu Dhabi, kata akhbar itu yang berpejabat di AS.

Perdana Menteri Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 untuk menggalakkan pembangunan ekonomi.

Pada Julai, Wall Street melaporkan bahawa beratus-ratus juta dolar daripada dana negara itu didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri menjelang pilihan raya umum Mei 2013, yang membawa kepada siasatan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Sejak pendedahan berita itu, Najib telah berulang kali menafikan sebarang salah laku dan menegaskan bahawa wang itu telah didermakan kepadanya. Beliau mengakui bahawa jumlah wang yang besar itu didepositkan ke dalam bank beliau melalui entiti kerajaan yang berkaitan dengan 1MDB.

Najib terus berdegil dengan memberitahu perhimpunan agung tahunan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajui beliau, pada awal  bulan ini bahawa  "Tidak akan berundur! Tidak akan menyerah kalah!" terhadap desakan supaya beliau meletak jawatan kerana skandal itu.

Berikutan penafian terbaru Najib, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata, wang itu disumbangkan pemimpin negara asing, tetapi tidak mendedahkan negara atau tujuan sumbangan itu.

Dana negara nafikan laporan

1MDB mengeluarkan kenyataan  pedas terhadap laporan terbaru akhbar itu, dengan menyifatkannya sebagai melaporkan "tuduhan lama dan kitar semula yang pada mulanya diterbitkan oleh sebuah blog dalam talian,  dan kini diketahui berkerja bersama-sama dengan kepentingan politik tertentu di Malaysia."

Kenyataan media itu juga menyatakan tentang hubungan perniagaan  kukuh 1MDB dengan syarikat Abu Dhabi itu.

"IPIC telah mengesahkan komitmennya untuk bekerjasama dengan 1MDB melalui satu kenyataan umum yang dikeluarkan pada Oktober," kata 1MDB.

1MDB meminta supaya menunggu siasatan itu  selesai dilakukan. Najib, yang turut menganggotai lembaga pengarah 1MDB, tidak mengulas mengenai laporan terbaru Wall Street itu.

"Daripada melibatkan diri dalam penyebaran skandal terhadap 1MDB, kami meminta unsur-unsur dalaman media dan pembangkang yang seolah-olah mahu menjejaskan proses ini, supaya menunggu keputusan siasatan yang sedang dijalankan oleh pelbagai pihak berkuasa sah dan bebas,  yang  1MDB memberi kerjasama sepenuhnya, "kata kenyataan 1MDB itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.