SPRM Serah Kertas Siasatan Kepada Peguam Negara

Staf BeritaBenar
2015.12.31
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
151231-MY-MACC-620 Perdana Menteri Najib Razak berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemucak Pemimpin Asia Timur di Kuala Lumpur, beliau menggunakan mesej Tahun Barunya dengan mendakwa bahawa 1MDB telah melepasi cabaran utama syarikat pelaburan negara itu. 21 November 2015.
AFP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan kertas siasatan kes SRC International dan kes RM2.6 bilion yang didakwa didepositkakan ke dalam akaun Perdana Menteri Najib Razak kepada Peguam Negara pada Khamis, iaitu hari terakhir bagi tahun 2015.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya itu pada Khamis, memaklumkan bahawa agensi itu telah menyelesaikan siasatannya termasuk memanggil lebih 100 saksi di Malaysia.

Selain itu, agensi itu juga telah mendapat bukti dari orang yang mengaku sebagai penderma bagaiamanpun Suruhanjaya itu belum menyelesaikan siasatan yang melibatkan beberapa institusi kewangan antarabangsa, dengan mendakwa bahawa dokumen dan maklumat hanya boleh diperolehi melalui Bantuan Perudangan Bersama MLA dari beberapa negara yang terlibat.

Kenyataan yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Mohd Shukri Abdull turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya itu, telah membuat permohonan MLA kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan dokumen dan keterangan itu.

Mohd Shukri dalam kenyataan itu berkata, SPRM menaruh keyakinan tinggi kepada Peguam Negara Apandi Ali selaku Pendakwa Raya untuk membuat keputusan secara profesional dalam soal berkaitan.

"Pada Rabu, SPRM telah membentangkan syor dan penemuan siasatan terhadap SRC International kepada panel bebas khas terdiri daripada lima ahli yang mewakili badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara," tambah Mohd Shukri.

SPRM turut mengemukakan beberapa cadangan dan tindakan bagi kedua-dua kes berkenaan, yang melibatkan tiga kertas siasatan untuk tindakan Peguam Negara.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 5 Dis, SPRM menyatakan ia telah mengambil keterangan daripada Najib berhubung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion, dalam pertemuan yang  berlangsung selama dua setengah jam.

'Paras hutang berkurangan'

Sementara itu, Najib berkata, paras hutang 1MDB berkurangan sebanyak RM40.4 bilion berikutan pemeteraian beberapa perjanjian oleh syarikat itu setakat ini.

Sehubungan dengan itu, Najib menyuarakan rasa puas hatinya kerana dapat mengotakan janjinya untuk menyelesaikan isu hutang 1MDB  menjelang akhir tahun 2015.

"Pada Jun lepas, saya berkata bahawa cabaran yang dihadapi 1MDB itu dapat diselesaikan menjelang akhir tahun.

"Oleh itu saya ingin mengesahkan yang syarikat itu sudah menandatangani perjanjian yang menyaksikan hutangnya berkurangan sebanyak kira-kira RM40.4 bilion. Angka ini mewakili sebahagian besar daripada hutang 1MDB.

"Apa yang tinggal adalah untuk semua perjanjian itu dimuktamadkan dan langkah akhir bagi pelan rasionalisasi 1MDB itu dapat diselesaikan," katanya dalam perutusan Tahun Baru 2016 di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, laporan  menyatakan paras hutang 1MDB adalah sebanyak RM42 bilion, berdasarkan akaun kewangan yang diaudit setakat 31 Mac, 2014.

Pada awal Khamis, 1MDB telah menandatangani perjanjian dengan konsortium usaha sama Iskandar Waterfront Holdings (60 peratus) dan China Railway Engineering Corp (40 peratus), yang melibatkan penjualan 60 peratus pegangan ekuiti dalam Bandar Malaysia yang dilihat boleh pengurangan hutang sebanyak RM7.1 bilion syarikat pelaburan negara itu.

Selain penjualan Bandar Malaysia, 1MDB juga bersetuju untuk menjual segmen tenaganya, Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corp pada harga RM9.83 bilion pada November lalu.

Ia turut memeterai perjanjian dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) yang menyaksikan syarikat Abu Dhabi itu mengambil alih obligasi bon bernilai US$3.5 bilion.

Dalam pada itu, Presiden/Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata syarikat pelaburan itu telah menyelesaikan pelan rasionalisasinya dalam tempoh enam bulan seperti yang dijanjikan, berikutan penjualan 60 peratus pegangan dalam Bandar Malaysia.

"Kami akhirnya mencapai bahagian akhir iaitu pegangan 1MDB dalam Bandar Malaysia yang membabitkan jumlah pengurangan nilai hutang sehingga RM12.35 bilion," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, Khamis.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada Bandar Malaysia akan dikekalkan sebagai milik 1MDB atau disalurkan kepada Kementerian Kewangan (MoF).

"Tiada sebarang keputusan muktamad mengenainya pada masa ini. Bagaimanapun, ia adalah satu pilihan yang disenaraikan dalam pelan rasionalisasi berkenaan," katanya sambil menjelaskan, sejajar pelan rasionalisasi membabitkan Bandar Malaysia, ada pertimbangan untuk memindahkan pemilikan baki pegangan 40 peratus aset itu kepada MoF.

Selain itu, katanya, sejajar dengan pelan rasionalisasi berkenaan, ada perbincangan bahawa aset lain 1MDB iaitu Tun Razak Exchange dan Edra Global Energy secara mutlaknya menjadi syarikat sendirian.

Pelan itu turut membabitkan dua lagi komponen utama yang disenaraikan -- pertukaran hutang aset dengan syarikat Dubai iaitu International Petroleum Investment Co menerusi lembaran perjanjian pada nilai RM16 bilion dan penjualan Edra bagi ekuiti tunai dan pemindahan hutang bernilai RM17.3 bilion.

Skandal 1MDB terbongkar apabila pada Julai lepas, The Wall Street Journal melaporkan bahawa sebanyak AS$700 juta dolar dari syarikat pelaburan itu telah dimasukkan ke dalam akaun yang didakwa dimiliki oleh Najib, sebelum pilihan raya umum Malaysia yang diadakan pada Mei 2013.

Najib kemudian menyangkal dakwaan itu dan menafikan sebarang salah laku selain menyifatkan ia sebagai cubaan sabotaj politik terhadap dirinya.

Susulan itu, SPRM menjalankan siasatan dan mendapati dana itu adalah sumbangan dari Timur Tengah, tanpa menyatakan siapa penyumbangnya, untuk apa wang itu digunakan, atau mengapa sejumlah besar wang yang memasuki Malaysia tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Media juga melaporkan bahawa dana 1MDB kini menjadi siasatan antarabangsa di Singapura, Hong Kong, Switzerland, Britain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kemudian, The Wall Street Journal melaporkan bahawa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat telah melancarkan satu siasatan terhadap aktiviti pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana 1MDB, namun skop siasatannya tidak diketahui.

Pada 3 Oktober lalu, Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan kononnya FBI Amerika Syarikat telah memulakan siasatan ke atas kes 1MDB dan juga Perdana Menteri.

Wall Street  Journal sekali lagi pada 28 Dis lepas melaporkan Najib kini bertarung nyawa politiknya ekoran skandal sumbangan RM2.6 bilion itu, yang didepositkan dalam akaun peribadinya.

Setelah digesa dan didesak meletakkan jawatan, beliau didakwa telah memanggil sekumpulan pemimpin kanannya untuk menghadiri satu pertemuan pada Julai lalu bagi mengingatkan mereka bahawa  semua pihak berkenaan telah mendapat manfaat daripada wang itu.

Menurut seorang menteri Kabinet yang hadir pada pertemuan itu, Najib dikatakan memberitahu mereka bahawa sumbangan itu bukanlah untuk membawa kekayaan kepada dirinya, tetapi ia telah disalurkan kepada ahli-ahli politik atau ke dalam perbelanjaan projek-projek tertentu bagi membantu Barisan Nasional memenangi pilihan raya pada 2013.

"Saya mengambil wang itu untuk dibelanjakan oleh kita," kata menteri itu yang memetik Najib sebagai berkata.

Suhana Osman turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.