Lembaga Pengarah 1MDB Letak Jawatan Mulai 31 Mei
2016.05.04
Kuala Lumpur

Ahli-ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan meletakkan jawatan masing-masing berkuat kuasa 31 Mei ini, kecuali Presidennya Arul Kanda yang kekal menyandang jawatan itu, demikian menurut kenyataan Kementerian Kewangan Malaysia pada Rabu .
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Kementerian Kewangan Malaysia berkata keputusan peletakan jawatan mereka dibuat selaras dengan perubahan tadbir urus serta pemindahan aset kepada pihak Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
MKD sudah menerima peletakan jawatan ahli-ahli lembaga pengarah 1MDB, dana negara Malaysia yang sarat hutang dan dibelenggui skandal rasuah yang turut melibatkan Perdana Menteri Najib Razak.
"Pelantikan ahli baru lembaga itu akan dibuat kemudian bagi memaparkan profil mengehadkan perniagaan syarikat milik kerajaan itu," kata kenyataan kementerian.
Kenyataan itu, bagaimanapun tidak menyebut mengenai apa akan berlaku kepada hutang yang dikaitkan dengan kesemua aset syarikat dana berkenaan.
Pada 7 April lepas, pihak lembaga pengarah 1MDB secara kolektif telah memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya kepada MKD, berikutan hasil Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
PAC, dalam laporannya bulan lepas, mencadangkan siasatan jenayah dilakukan terhadap pengurusan kanan 1MDB selepas siasatannya mendapati adanya salah laku dalam pengurusan syarikat pelaburan strategik Malaysia itu.
Dalam kenyataan itu, Kementerian Kewangan menyatakan bahawa Arul Kanda akan memegang jawatannya sebagai Presiden 1MDB sehingga notis yang akan dimaklumkan kelak.
"Beliau akan terus memberi tumpuan kepada mandat khususnya bagi pelaksanaan pelan rasionalisasi yang turut melibatkan usaha penyelesaian pertikaian kontrak dengan pihak International Petroleum Investment Corp (IPIC) yang berpejabat di Abu Dhabi, baru-baru ini," kata kementerian.
MKD yang juga pemegang saham 100 peratus dalam 1MDB, sudah bersetuju untuk melaksanakan sepenuhnya cadangan yang disenaraikan dalam Laporan PAC selepas melakukan kajian menyeluruh mengenainya.
Antara cadangan laporan terperinci PAC itu adalah pemindahan pemilikan tanah di Bandar Malaysia Sdn Bhd, TRX City Sdn Bhd, Air Itam land dan Pulau Indah kepada pihak MKD.
Selain itu, PAC mencadangkan pembubaran Lembaga Penasihat 1MDB, memansuh Artikel 117 dan mengubah semua rujukan "Perdana Menteri" kepada "Menteri Kewangan" dalam Memorandum Artikel Syarikat 1MDB.
Minggu lalu, 1MDB telah membuat pengumuman bahawa syarikat dana itu telah lewat membuat pembayaran bagi beberapa bon yang berpunca daripada keengganan pembayaran faedah AS$50 juta di tengah-tengah pertikaiannya dengan syarikat IPIC, iaitu penjamin bersama bon berkenaan.
1MDB dalam satu kenyataan berkata, kelewatan pembayaran itu telah menyebabkan berlakunya kegagalan pembayaran silang bagi hutang dana sebanyak hampir dua bilion, termasuk pinjaman yang dijamin oleh kerajaan Malaysia sambil menambah bahawa kelewatan itu adalah 'terhad'.