Follow us

1MDB: Malaysia Terima Bayaran Pertama Sebanyak $57 juta Dari AS

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-05-07
E-mel
Komen
Share
Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas bercakap kepada pemberita di luar pejabatnya di Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan, 6 Jun, 2018.
Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas bercakap kepada pemberita di luar pejabatnya di Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan, 6 Jun, 2018.
[AP]

Malaysia pada Selasa mengesahkan bahawa negara itu sudah mula menerima sebahagian daripada wang berjumlah AS$196 juta (813.3 million juta ringgit) yang dikaitkan dengan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diperolehi melalui Inisiatif Pemulihan Aset Kerajaan Amerika Syarikat.

Peguam Negaranya, Tommy Thomas dalam satu kenyataan media memberitahu jumlah pertama diterima adalah sebanyak AS$57,036,688.68 (233,701,605.23 juta ringgit) yang telah dikreditkan dalam akaun pemulihan aset 1MDB, iaitu sebuah akaun amanah yang dibuka kerajaan.

“Jumlah ini disita daripada Red Granite Pictures, syarikat pembikinan filem berpangkalan di Amerika Syarikat [AS] yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak dan anak tirinya Riza Aziz dan lanjutan daripada penyelesaian sebanyak AS$60 juta [294 juta ringgit] yang direkodkan di Mahkamah California,” kata.

Red Granite diasaskan oleh Riza dan rakannya Joel McFarland telah membayar jumlah tersebut kepada kerajaan AS sebagai penyelesaian terhadap tuntutan pelucutan hak sivil tanpa mengakui sebarang liabiliti atau salah laku ke atas filem The Wolf of Wall Street.

Filem itu dibintangi oleh pelakon antarabangsa Leonardo De Caprio, didakwa diterbitkan menggunakan wang yang diseleweng daripada 1MDB.

Dari jumlah itu, sebanyak AS$3 juta [12.45 juta ringgit] telah ditolak untuk membayar semula kos yang telah dibelanjakan oleh Jabatan Kehakiman AS dan Biro Penyiasatan Persekutuan [FBI] dalam siasatan, rampasan, kos perundangan dalam mencari penyelesaian dari Red Granite.

“Nilai yang ditolak itu termasuk membayar semula kos yang ditanggung oleh DOJ dan FBI dalam menyiasat, menyita dan menyelia kapal layar mewah Equanimity semasa kapal tersebut ditahan di perairan Indonesia sebelum dibawa balik ke peraiaran Malaysia,” kata Thomas.

Kapal Equanimity dibeli oleh pembiaya kewangan dalam buruan Low Taek Jho yang dikenalpasti sebagai kawan rapat kepada Najib, didakwa menggunakan dana 1MDB pada harga AS$250 juta [1 bilion ringgit].

Thomas bulan lepas juga mengumumkan bahawa Malaysia telah melelong kapal itu pada harga AS$126 juta [514 juta ringgit] – kira-kira separuh daripada harga belian. Kapal berkenaan diserahkan kepada pentadbiran Putrajaya selepas ianya disita diluar pantai Bali, dalam satu operasi bersama antara pihak berkuasa Indonesia dan FBI.

Pada Selasa, Thomas turut memberitahu bahawa DOJ juga dalam proses untuk memulangkan sebanyak AS$139 juta [577 juta ringgit], hasil dari penjualan hartanah milik Low, - Hotel Park Lane - di Manhattan, New York.

Secara keseluruhanya, Thomas berkata Malaysia sudahpun berjaya mendapatkan semula sekitar AS$322 juta (RM1.3 bilion) hasil daripada pelbagai siasatan yang dijalankan ke atas 1MDB sejak Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas.

Komitmen AS, Duta

Sementara itu, Kamala Shirin Lahkdhir, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia dalam kenyataan beliau pada Selasa berkata kerajaan pimpinan Donald Trump sangat gembira bahawa bahagian pertama wang dari 1MDB sudah dipindahkan ke Malaysia.

Menurut Kamala ia menunjukkan komitmen negara itu dalam memulangkan aset-aset tersebut bagi kepentingan rakyat Malaysia.

“Ini merupakan simbol penting kerjasama antara dua negara- kerjasama yang menunjukkan komitmen bersama kepada tadbir urus yang baik, mengatasi korupsi dan memastikan keadilan dicapai,” kata Kamala.

Kamala dan Timbalan Kanan Peguam Negara AS, John P. Cronan telah mengadakan perjumpaan dengan Thomas dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk mengesahkan proses mengembalikan semula wang berjumlah AS$196 juta (813.3 juta ringgit) kepada Malaysia.

Malaysia turut menunggu pemulangan SGD$50 juta (152.5 juta ringgit) dana yang mempunyai kaitan dengan 1MDB dari kerajaan Singapura.

“Jumlah lain sebanyak SGD50 juta yang turut dikesan dari dana 1MDB sudah diarahkan dipulangkan oleh mahkamah Singapura.

“Sebanyak SGD15 juta [45.75 juta ringgit] sudah dikreditkan dalam akaun pemulihan aset 1MDB di antara September tahun lepas sehingga Mac tahun ini. Jumlah selebihnya SGD 35 juta [106.75 juta ringgit] pula akan dikreditkan tidak lama lagi,” kata Thomas.

Skandal 1MDB didedahkan oleh Wall Street Journal dan Sarawak Report sehingga mencetuskan siasatan di enam buah negara.

Najib yang mengasas dana berkenaan semasa beliau menjadi Perdana Menteri selama 10 tahun telah dikalahkan oleh gabungan pembangkang Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei tahun lepas.

Najib merupakan bekas perdana menteri pertama dalam sejarah Malaysia berdepan dengan perbicaraan pertuduhan jenayah selepas mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan berhubung pemindahan wang sebanyak AS$10.3 juta [42 juta ringgit] daripada SRC International, anak syarikat 1MDB yang ditubuhkannya pada 2009.

Thomas berkata, DOJ baru-baru ini turut mengumumkan daripada AS$4.5 bilion [18.67 bilion ringgit] yang ditipu dan dipindahkan secara salah dari 1MDB di negara itu, jabatan berkenaan juga sedang berusaha untuk menyita aset yang dianggarkan bernilai AS$1.7 bilion [7 bilion ringgit] melalui pelbagai tindakan sivil yang difailkan sejak tahun 2016 sehingga 2019.

“Pemulihan aset ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa bantuan dan kerjasama baik pihak berkuasa Malaysia dengan rakan sejawat di AS serta Singapura.

“Kami menyatakan terima kasih kepada mereka. Usaha mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan dan Malaysia yakin lebih banyak wang bakal diperolehi semula pada bulan mendatang,” tambah Peguam Negara itu.

Lihat Laman Penuh