1MDB: AMMB Holding Setuju Bayar RM2.83 Bilion Kepada Kerajaan Malaysia

AMMB pernah membayar penalti sebanyak RM53.7 juta kepada Bank Negara Malaysia yang berkaitan transaksi 1MDB.
Noah Lee
2021.02.25
Kuala Lumpur
1MDB: AMMB Holding Setuju Bayar RM2.83 Bilion Kepada Kerajaan Malaysia Seorang lelaki yang memakai topeng pelindung muka berjalan melepasi cawangan Ambank, di tengah penularan pandemik COVID-19 di Kuala Lumpur, 9 September 2020.
[Reuters]

Sebuah kumpulan perbankan utama di Malaysia telah bersetuju untuk membayar sejumlah RM2.83 bilion (AS$700 juta) kepada kerajaan sebagai penyelesaian global ke atas semua tuntutan dan tindakan undang-undang yang diambil terhadapnya atas penglibatan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyaksikan kecurian berbilion ringgit, kata Kementerian Kewangan pada Jumaat.

AMMB Holdings Berhad, atau lebih dikenali sebagai AmBank, di mana akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak menerima berjuta-juta dolar dari sumber yang tidak jelas - sebelum ini telah membayar penalti berjumlah RM53.7 juta yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2015, atas kelemahan sistem dan proses pelaporan bank selepas gagal mengemukakan Laporan Transaksi Meragukan ke atas akaun milik Najib.

Menurut Kementerian Kewangan pada Jumaat, penyelesaian yang dipersetujui bank itu adalah kejayaan terkini kerajaan Malaysia dalam usaha mendapatkan kembali duit 1MDB.

Pada Julai tahun lalu, bank pelaburan antarabangsa Goldman Sachs bersetuju untuk membayar kira-kira RM15.8 bilion (AS$3.9 bilion) bagi menyelesaikan segala pertuduhan dan tuntutan Malaysia ke atasnya berkaitan 1MDB.

"Kementerian Kewangan ingin mengumumkan bahawa AMMB Holdings Berhad telah bersetuju untuk membayar RM2.83 bilion dalam satu penyelesaian global ke atas semua tuntutan dan tindakan yang sedang berjalan terhadap pembabitan Ambank Group dalam isu 1MDB.

"Penyelesaian global ini adalah yang terkini dalam usaha berterusan kerajaan Malaysia bagi mendapatkan kembali (wang 1MDB) dengan memburu semua pihak yang terlibat dengan 1MDB serta entiti-entiti berkaitannya, samada secara langsung atau tidak langsung," kata kenyataan media kementerian itu pada Jumaat.

Selain daripada bayaran kepada kerajaan Malaysia, AmBank juga dikehendaki mengambil langkah-langkah pembetulan seperti yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Sekuriti, sebahagian daripada syarat dalam penyelesaian berkenaan.

Ia termasuk mengadakan sistem dan proses yang mengukuhkan lagi kerangka kerja AmBank dalam melaksanakan semak-imbang (due diligence) terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan pihak korporat.

Menurut Kementerian Kewangan, penyelesaian dengan AmBank itu bagaimanapun tidak membebaskan individu dan entiti-entiti lain yang dikehendaki di atas pembabitan mereka di dalam 1MDB dan tidak menjejaskan semua tuntutan kerajaan terhadap indivdu yang terbabit dengan 1MDB seperti ahli perniagaan Low Taek Jho dan bekas penasihat umum 1MDB Jasmine Loo.

"Mereka akan terus diburu melalui sistem keadilan jenayah," tambah kenyataan tersebut.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz di dalam kenyataan yang sama berkata bahawa kejayaan rundingan bagi mencapai penyelesaian dengan AmBank itu lebih menguntungkan rakyat Malaysia, berbanding melalui proses mahkamah yang panjang.

"Penyelesaian yang terkini ini adalah menguntungkan bagi rakyat Malaysia. Menyelesaikan perkara ini melalui sistem kehakiman akan memakan masa, duit dan sumber yang banyak.

“Dengan penyelesaian ini, bayaran kepada kerajaan dapat dipercepatkan jika dibandingkan dengan masa yang diambil untuk perlawanan berpanjangan di mahkamah, dan bayaran ini dapat digunakan bagi menyelesaikan hutang-hutang 1MDB yang tertunggak," kata Tengku Zafrul.

Kumpulan AmBank menjadi tumpuan dalam skandal 1MDB, terutama ketika perbicaraan jenayah dijalankan terhadap bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak bermula pada 2019, berkaitan dengan penyelewengan wang membabitkan 1MDB dan anak syarikatnya SRC International.

Perbicaraan terhadap Najib melihat saksi-saksi memberikan testimoni mengenai akaun-akaun ahli politik itu di AmBank yang didakwa telah digunakan untuk menerima wang yang diselewengkan.

Selain itu, bekas pekerja bank berkenaan juga dipanggil bagi memberi keterangan mengenai pembabitan di dalam menguruskan pemindahan wang antara beberapa akaun tanpa melalui proses yang ditetapkan.

Pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM, Ahmad Farhan Sharifuddin memberitahu mahkamah pada Mei 2019, penalti yang dikenakan terhadap AmBank adalah atas kesalahan gagal membuat laporan kepada bank pusat itu mengikut Seksyen 14 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001, berhubung aktiviti akaun Najib yang meragukan mengikut Akta BNM susulan serbuan terhadap AmBank cawangan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Najib pada Disember 2019 pula menyaman AmBank dan seorang bekas eksekutifnya yang didakwa mendedahkan maklumat perbankan bekas perdana menteri itu secara salah kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee berkata ahli politik itu memfailkan saman tersebut kerana Ambank dan bekas pengurus perhubungannya, Joanna Yu Ging Ping, telah mematuhi arahan Jho Low dalam menjalankan urusan berkaitan tiga akaun bank Najib di Ambank.

Najib, yang merupakan Ahli Parlimen Pekan, Pahang, telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salahguna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta milik SRC International, dan dihukum penjara 12 tahun serta denda sebanyak RM210 juta.

Beliau bagaimanapun sedang dalam proses merayu keputusan itu di mahkamah lebih tinggi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.