Kemelut 1MDB: PM Malaysia Ulas Mengenai Tindakan Undang-undang AS
2016.07.21
Kuala Lumpur

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Khamis berkata pentadbiran beliau sememangnya "serius tentang tadbir urus yang baik", ketika sekurang-kurangnya dua negara mula merampas aset yang dikaitkan dengan wang disalahgunakan daripada dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bermasalah.
Najib berkata demikian di Kuala Lumpur, sehari selepas Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan 12 tindakan undang-undang bagi merampas dan mendapatkan kembali lebih $1 bilion dalam aset-aset yang didakwa dibayar dengan wang 1MDB yang dicuri.
Walaupun tindakan undang-undang AS itu tidak menamakan Najib, tetapi beliau menjadi pemerhatian sejak setahun yang lalu berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan dana negara itu. Perdana Menteri menerajui 1MDB, yang dilancarkan pada 2009 sebagai satu instrumen pelaburan untuk memacu pembangunan di Malaysia. Beliau mempengerusikan lembaga penasihat dana itu sehinggalah pembubarannya pada dua bulan lalu.
Pihak berkuasa AS mengaitkan Najib secara tidak langsung dengan urusan yang dipersoalkan berhubung dengan apa yang mereka namakan sebagai "konspirasi global" untuk mengubah wang yang dicuri daripada 1MDB.
Seorang yang terlibat dengan penyiasatan AS itu memberitahu Wall Street Journal (WSJ) pada Rabu bahawa Najib adalah sebenarnya "Pegawai Malaysia 1" (MO1) yang digambarkan dengan jelas dalam dokumen mahkamah yang difailkan oleh DOJ.
Hampir $ 700 juta daripada jualan bon oleh 1MDB pada 2013 telah dipindahkan ke akaun bank milik "Pegawai Malaysia 1," menurut dokumen mahkamah itu.
Pada Khamis, Perdana Menteri itu menggesa rakyatnya supaya tidak membuat sebarang kesimpulan, sambil menambah kata bahawa adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa tindakan undang-undang itu adalah sivil, dan tidak ada tuduhan jenayah yang difailkan.
"Mereka yang terlibat akan membela diri melalui proses itu di Amerika Syarikat," kata Najib kepada pemberita. "Saya ingin menyatakan secara khususnya bahawa kita serius mengenai tadbir urus yang baik, oleh itu apa-apa yang menyalahi undang-undang, kita mahu proses itu dilaksanakan.”
Sementara itu, pihak berkuasa di Singapura pada Khamis mengumumkan bahawa mereka telah menyita aset berjumlah $240 juta (AS$177 juta) - di mana $120 juta adalah daripada sekutu rapat Najib, Low Taek Jho dan ahli keluarganya yang terdekat.
"Tindakan yang sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang Singapura," kata Jabatan Peguam Negara Singapura, Jabatan Hal Ehwal Komersil Polis Singapura dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura dalam satu kenyataan bersama.
Di Switzerland, Pejabat Keadilan Persekutuan Switzerland mengumumkan bahawa ia mempunyai beberapa karya seni yang telah dikenal pasti dalam tindakan undang-undang AS yang dikaitkan dengan pengubahan wang 1MDB, lapor Reuters. Karya seni yang dirampas oleh pihak berkuasa Switzerland itu termasuklah lukisan oleh Van Gogh bernilai $ 5.4 juta dan dua lukisan oleh Monet bernilai $92.5 juta.
'Malaysia sentiasa mendukung kedaulatan undang-undang'
Di Kuala Lumpur, jurucakap Najib berkata kerajaan Malaysia akan memberi kerjasama dalam siasatan antarabangsa terhadap kes 1MDB.
"Seperti yang Perdana Menteri sentiasa nyatakan, jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian," kata Tengku Sariffuddin dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Peguam Negara Malaysia Mohamed Apandi Ali tampil mempertahankan Najib.
"Saya ingin menjelaskan bahawa tindakan sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat langsung tidak menamakan Perdana Menteri sebagai defendan atau dikatakan telah melakukan salah laku jenayah," katanya.
Pada Januari, Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku lebih $681 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri pada Mac 2013.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Apandi, beliau turut "memandang berat terhadap sindiran dan tuduhan yang telah dibuat terhadap Perdana Menteri mengenai apa yang dikatakan salah laku jenayah” berhubung dengan tindakan undang-undang Amerika Syarikat, sambil menambah kata bahawa siasatan polis Malaysia terhadap dakwaan salah urus 1MDB masih dijalankan.
Sebagai Pendakwa Raya, Peguam Negara tidak teragak-agak untuk memulakan prosiding terhadap pelaku perlakuan jenayah jika ada bukti yang mencukupi untuk berbuat demikian. Sebarang salah laku mesti dan akan dihukum. Malaysia sentiasa mendukung prinsip kedaulatan undang-undang," kata kenyataan Pejabat Peguam Negara.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, yang mengetuai satu pasukan petugas khas bagi menyiasat 1MDB, enggan mengulas mengenai tindakan undang-undang itu tetapi berkata polis telah hampir selesai menjalankan fasa pertama siasatan mereka, termasuk mengambil kenyataan daripada lebih 25 orang.
"Untuk fasa kedua, kita akan menghantar pegawai-pegawai kita di luar negara untuk mendapatkan dokumen, untuk merekodkan kenyataan daripada saksi-saksi yang berada di luar negara dan ia akan mengambil masa," kata Khalid pada sidang media di Kuala Lumpur.
Bagi pihaknya, 1MDB mengeluarkan kenyataan media menyatakan bahawa pegawai kehakiman AS dan penyiasat dari agensi-agensi luar negara yang lain tidak menghubunginya berhubung siasatan mereka, tetapi akan "memberi kerjasama sepenuhnya" dengan mereka "tertakluk kepada protokol antarabangsa."
Antara dakwaan yang terkandung di dalam tindakan undang-undang AS itu, DOJ berkata ia telah mengesan aliran dana di antara akaun yang dipegang oleh MO1 dan Tan Kim Loong, rakan perniagaan Low. Turut dikenal pasti dalam tindakan undang-undang itu adalah anak tiri Najib, Riza Aziz, pengasas syarikat filem Red Granite Gambar.
"Berdasarkan pengetahuan Red Granite, tidak ada pembiayaan yang diterimanya empat tahun lalu yang tidak sah dalam apa cara pun dan tiada apa yang dinyatakan dalam tuntutan undang-undang itu hari ini yang mendakwa perkara sebaliknya seperti yang diketahui Red Granite," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
"Red Granite terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua pertanyaan dan yakin, apabila semua fakta didedahkan, ia akan jelas menunjukkan bahawa Riza Aziz dan Red Granite tidak melakukan sebarang kesalahan."
Kerajaan Switzerland berkata ia telah merampas karya lukisan Monet ini, yang bernilai AS$57.5 juta, dan dua karya seni lain berikutan pengumuman bahawa kerajaan AS berusaha untuk mendapatkan semula aset bernilai lebih daripada AS$ 1 bilion, yang didakwa dibayar dengan wang dicuri dari 1MDB Malaysia. [Ihsan Jabatan Kehakiman AS]
Reaksi Rakyat Malaysia
Para pemimpin pembangkang Malaysia pada Khamis menarik perhatian dengan mengulas berita mengenai tindakan undang-undang yang difailkan oleh kerajaan AS.
Pengkritik Najib yang paling lantang, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, menggesa supaya diadakan referendum dan perhimpunan bagi menuntut penyingkiran Najib daripada jawatan kerana, katanya, pemimpin semasa Malaysia itu enggan tunduk kepada gesaan popular itu sejak 12 bulan lalu.
"Rakyat Malaysia takut. Di negara-negara lain, pasti berjuta-juta orang akan berhimpun di jalanan, " kata Mahathir pada sidang berita. "Saya rasa kita perlu adakan satu perhimpunan aman untuk menuntut penyingkiran beliau."
Ketua Pembangkang Wan Azizah Wan Ismail pula menggesa Kabinet Malaysia untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memerintahkan penubuhan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat dakwaan berkaitan 1MDB.
"Saya percaya rakyat Malaysia mahu Najib mengambil cuti sebagai Perdana Menteri bagi mengelak daripada mewujudkan tanggapan tentang penyalahgunaan kuasa atau proses untuk menghentikan atau menghalang siasatan penuh dan telus mengenai isu yang amat serius ini," kata Wan Azizah, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan isteri kepada pemimpin pembangkang dipenjarakan Anwar Ibrahim.
Gesaan untuk menyingkirkan Najib terus meningkat sejak Wall Street Journal mendedahkan berita itu pada Julai 2015 mengenai kira-kira $681 juta wang berkaitan 1MDB dimasukkan ke dalam akaun peribadi bank Perdana Menteri Najib. Sejak itu, WSJ dan media lain telah melaporkan perbelanjaan mewah yang dikaitkan dengan perdana menteri itu.
Najib terus menafikan ada melakukan sebarang salah laku.
Bersih 2.0, gabungan akar umbi yang mahukan kerajaan yang bersih, pula menggesa Najib untuk segera meletakkan jawatan bagi membolehkan siasatan bebas diadakan tanpa gangguan pemerintah.
Dzulkefly Ahmad, pengarah strategi untuk Parti Amanah Nasional, menggesa Majlis Tertinggi parti Najib, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, untuk menyelamatkan UMNO "yang mereka dakwa sayang" dan menyelamatkan negara dengan memecat Perdana Menteri.
"Jika anda terus mengecewakan negara, yakinlah bahawa anda akan dilonggokkan dalam tong sampah sejarah sebagai pengkhianat negara," kata Dzulkefly kepada BeritaBenar. "Majlis Tertinggi adalah benteng terakhir yang boleh menyingkirkan Najib, orang yang secara bersendirian merampas semua kuasa dan bertanggungjawab membawa negara yang gagal ini ke dalam junaman dan jurang kemusnahan diri."