1MDB: Malaysia Fail Pendakwaan Jenayah Terhadap 17 Eksekutif Goldman Sachs

Hadi Azmi & Ray Sherman
2019.08.09
Kuala Lumpur, Malaysia
190809-MY-1mdb-620.jpg Lelaki berjalan melepasi papan iklan 1Malaysian Development Berhad di Kuala Lumpur, 1 Mac 2015.
[Reuters]

Malaysia pada Jumaat memfailkan pertuduhan jenayah terhadap 17 pengarah dan bekas pengarah bank pelaburan Goldman Sach termasuk bekas naib pengerusinya yang kini merupakan presiden syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba Group, sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah berjuta-juta dolar melibatkan dana 1Malaysian Development Berhad [1MDB], kata Peguam Negara, Tommy Thomas.

Goldman Sachs bertindak sebagai penanggung jamin bagi tiga penjualan bon berjumlah AS$6.5 bilion bagi 1MDB, menurut dokumen mahkamah yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), yang sebelum ini mendakwa lebih AS$ 2.7 bilion daripada hasil itu telah diseleweng oleh pegawai kanan syarikat dan rakan sekutu dana negara berkenaan antara 2009 dan 2014.

"Pertuduhan jenayah telah difailkan hari ini," kata Thomas dalam satu kenyataan, menjelaskan bahawa berdasarkan keseriusan penipuan dalam kes itu, "hukuman penjara dan denda akan dipohon dijatuhkan ke atas tertuduh."

Antara individu yang didakwa ialah Richard Gnodde, Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs International, dan John Michael Evans, yang merupakan naib pengerusinya sehingga bersara pada 2013. Dua tahun kemudian, Evans menyandang jawatan presiden syarikat e-dagang Beijing Alibaba, yang mengetuai pengembangan global syarikat di luar China.

Gnodde dan Evans adalah pengarah bagi anak syarikat Goldman Sachs di Malaysia.

“Kesemua 17 individu didakwa mengikut Akta Pasaran Modal and Perkhidmatan, undang-undang yang memperuntukkan bahawa mana-mana eksekutif kanan bertanggungjawab ke atas sebarang kesalahan yang mungkin dilakukan sepanjang tempoh mereka berkhidmat,” kata Thomas. Pertuduhan itu difailkan secara absentia [ketidakhadiran].

Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sekurang-kurangnya 1 juta ringgit (AS$239,000).

Thomas berkata pertuduhan terbaru itu serupa dengan yang difailkan pada Disember 2018 terhadap tiga anak syarikat Goldman Sachs dan eksekutif mereka iaitu Tim Leissner dan Roger Ng, yang didakwa bersama-sama pegawai 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, yang masih bebas, serta ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (lebih dikenali sebagai Jho Low).

Goldman Sachs, yang berpangkalan di Amerika Syarikat, memperoleh kira-kira AS$600 juta (2.5 bilion ringgit) melalui yuran yang dibayar oleh 1MDB daripada penjualan bon, menurut dokumen mahkamah. Bank pelaburan itu sebelum ini menafikan sebarang dakwaan salah laku.

"Kami percaya pendakwaan yang diumumkan hari ini, bersama-sama dengan yang dikenakan ke atas tiga entiti Goldman Sachs pada Disember tahun lepas, adalah tersalah arah dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membela diri," kata jurucakap Goldman kepada BBC News pada Jumaat.

Pada Mei, Malaysia mengekstradisi Ng ke Amerika Syarikat bagi tempoh 10 bulan untuk menghadapi pertuduhan jenayah yang dikaitkan dengan 1MDB, yang ditubuhkan pada 2009 oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak bagi memacu pembangunan ekonomi di negara itu.

Najib sendiri berdepan pelbagai pertuduhan jenayah rasuah, dengan pihak pendakwaan Malaysia menuduhnya menyeleweng AS$681 juta (2.85 bilion ringgit) daripada dana negara itu yang mana beliau mengaku tidak bersalah.

Ng, seorang rakyat Malaysia, telah ditahan di Kuala Lumpur sejak 1 Nov  2018, selepas DOJ mengumumkan pertuduhan terhadapnya bagi peranan beliau dalam pengubahan wang haram sehingga AS$4.5 bilion (18.8 bilion ringgit) daripada dana yang dialih daripada 1MDB dan disalurkan untuk membeli hartanah mewah di New York dan digunakan bagi memperoleh barang-barang lain yang luar biasa, termasuk sebuah kapal layar mewah serta karya seni mahal dan sebuah jet.

Ng telah didakwa di Amerika Syarikat atas peranannya dalam konspirasi yang dikatakan melibatkan pengubahan dana 1MDB. Beliau juga menghadapi pertuduhan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika.

Jho Low, yang masih dalam buruan dan tidak diketahui keberadaannya, dan Leissner sebelum ini didakwa di Amerika Syarikat. Leissner mengaku bersalah melanggar undang-undang antirasuah dan bersekongkol dalam pengubahan wang haram.

Thomas berkata Leissner, bekas pegawai Goldman Sachs di Asia, bersetuju untuk menyerahkan kembali AS$43.7 juta (182.9 juta ringgit) kepada pihak berkuasa.

Mengulas pendakwaan terbaru itu, peguam Malaysia Syahredzan Johan berkata Kuala Lumpur mempunyai pilihan untuk mendapatkan bantuan Interpol dalam usaha menahan 7 individu tersebut yang didakwa pada Jumaat.

Bagaimanapun, ia memerlukan kerjasama negara-negara di mana kesemua individu tersebut tinggal, kata Syahredzan.

"Ia tidak sepatutnya menjadi masalah kerana ada mekanisme untuk memudahkannya, tetapi sudah tentu kita perlu tahu di mana mereka berada, sebagai permulaan," kata beliau, "dan itu biasanya merupakan bahagian yang sukar."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.