Follow us

Malaysia Dijangka Bayar AS$1.21 Bilion Bagi Faedah Hutang 1MDB

Staf BeritaBenar
Washington
2019-10-22
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (kiri) dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika tiba pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Putrajaya, 27 Mei 2019.
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (kiri) dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika tiba pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Putrajaya, 27 Mei 2019.
(AP)

Malaysia akan membelanjakan sebanyak RM5.1 bilion (AS$1.21 bilion) bagi membayar hutang dana skandal negara, 1MDB, dan bekas subsidiarinya, SRC International, pada 2019 dan 2020, kata Menteri Kewangan negara itu pada Isnin, yang kenyataannya itu mendahului penghakiman penting berhubung kes itu di mahkamah.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan terpaksa membayar RM210.66 juta (AS$50.3 juta) pada minggu lepas untuk menampung faedah yang dikenakan ke atas bon 2012 yang dikeluarkan oleh anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala dua lagi pembayaran akan dibuat bulan depan.

Sebanyak RM219.2 juta (AS$52.3 juta) akan dibayar pada 11 Nov dan RM143.75 juta (AS$34.3 juta) pada 29 Nov untuk menampung bon-bon lain, katanya.

Menurut satu laporan, hutang dan liabiliti 1MDB - termasuk faedah – adalah berjumlah RM51 bilion pada masa ini.

"Kerajaan tetap komited untuk membayar semua kewajipan pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu," kata Lim, yang merujuk kepada kerajaan Perdana Menteri Najib Razak yang dicemari skandal dan kecundang dalam pilihan raya umum negara itu pada 2018.

Beliau berkata dana yang diperoleh daripada aset-aset 1MDB digunakan untuk membuat pembayaran itu, sambil memberitahu bahawa bahawa wang itu sepatutnya digunakan untuk memanfaatkan rakyat Malaysia.

Lim bercakap mengenai masalah itu pada hari sama bekas perdana menteri Najib Razak berada di Mahkamah Tinggi untuk mendengar penghujahan pihak pendakwaan berhubung kes di mana beliau menghadapi tujuh pertuduhan yang berkaitan dengan pengalihan secara haram dana sebanyak RM42 juta (AS$9.9 juta) daripada SRC International.

Pendakwa Raya V. Sithambaram memberitahu mahkamah bahawa Najib tahu bahawa dana itu telah didepositkan ke dalam akaun peribadinya, menurut laporan agensi berita nasional, Bernama, yang dikendalikan kerajaan.

"Penghujahan yang mendakwa tidak mengetahui tentang dana yang dikreditkan dan cek yang dikeluarkan dari akaun tertuduh oleh pihak pembelaan tidak dapat diterima sebagai boleh dipercayai terutamanya kerana beliau adalah menteri kewangan Malaysia ketika itu yang menguruskan kewangan negara ini," kata pendakwa itu semasa mengakhiri kes terhadap Najib.

Pasukan pembelaan Najib akan membentangkan kes itu pada Rabu bagi menyangkal semua pertuduhan terhadapnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 11 Nov sebagai tarikh bagi beliau untuk menentukan sama ada pihak pendakwaan mempunyai kes terhadap Najib dan jika pihak pembelaan perlu meneruskannya. Tarikh perbicaraan pada Disember telah dijadualkan, jika perlu.

Pada masa sama, Najib juga menghadapi perbicaraan bagi 25 pertuduhan berkaitan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung RM2.3 bilion (AS$681 juta) yang hilang daripada 1MDB.

'Kleptokrasi'

Selain itu, bekas perdana menteri itu dijangka menghadapi lebih banyak perbicaraan bagi sejumlah 42 pertuduhan yang berkaitan dengan kerugian berbilion-bilion ringgit yang dialami 1MDB. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, yang turut memfailkan kes-kes jenayah, telah menganggap 1MDB sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk sejak sekian lama."

Pihak pendakwaan dan penyiasat di Malaysia, Amerika Syarikat dan negara-negara lain mendakwa bahawa Najib, bersama-sama ahli keluarga dan sekutu beliau, menggunakan 1MDB untuk menampung kehidupan mereka dengan kemewahan wang tunai dan barangan berjenama. Antara mereka yang menghadapi pertuduhan bagi peranan masing-masing dalam kes itu ialah isteri Najib, Rosmah Mansor, dan pembiaya kewangan yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho (yang lebih dikenali sebagai Jho Low).

Najib mengasaskan 1MDB pada 2009 dengan tujuan untuk merangsang pembangunan ekonomi di Malaysia.

Lim berkata Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang menggantikan Najib selepas gabungan Pakatan Harapan pimpinannya meraih kemenangan yang menakjubkan pada pilihan raya Mei 2018, menyatakan bahawa adalah suatu keajaiban apabila Malaysia tidak muflis akibat 1MDB.

“Mahathir berkata bahawa satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim kleptokratik itu ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara kerana ia memerlukan banyak usaha, masa dan kewangan,” kata Lim.

Lihat Laman Penuh