1MDB Ingkar Bayar Faedah Untuk Kali Ketiga
2016.05.11
Kuala Lumpur

International Petroleum Investment Co (IPIC), sebuah syarikat di Abu Dhabi pada Rabu telah membayar faedah bernilai AS$52.4 juta, selepas dana pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengingkari buat kali ketiga dalam menyelesaikan bayaran faedah kepada pemegang bon syarikat dan anak syarikatnya yang bernilai AS$1.75 bilion.
IPIC dalam kenyataannya kepada Bursa Saham London (BSL) memberitahu sebagai penanggung jamin bagi bon dana kerajaan Malaysia sarat hutang itu, ia telah membayar faedah yang sepatutnya dijelaskan oleh 1MDB.
1MDB sepatutnya membuat pembayaran faedah tersebut bagi bon kedua membabitkan nota bernilai AS$1.75 bilion yang diterbitkannya sebelum 5 petang waktu London pada hari Rabu.
Dalam kenyataan kepada BSL, IPIC juga memaklumkan bahawa syarikat itu akan memperhebatkan tuntutan bayaran dari 1MDB dan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).
Dalam pada itu, 1MDB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu berkata, pembayaran faedah itu tidak dibuat oleh dana pelaburan kerajaan tersebut kerana terdapat pertikaian antaranya dan IPIC.
"Walaupun 1MDB memiliki dana yang lebih daripada mencukupi untuk membuat bayaran faedah itu, ia setakat ini belum melakukannya untuk Nota Tenaga itu dan bagi bayaran faedah awal untuk nota US$1.75 bilion berkadar tetap 5.75 peratus yang matang pada 2022 dan diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (Nota Langat)," menurut kenyataan itu.
1MDB turut komited untuk bekerjasama secara terbuka dengan IPIC bagi menyelesaikan pertikaian tersebut, tambah kenyataan itu lagi.
Syarikat dana kerajaan itu juga memberi jaminan dengan berkata “Kesemua hak 1MDB adalah terpelihara berikutan pertikaian itu”.
1MDB juga memaklumkan bahawa ia sudah memulakan proses rundingan dengan para pemegang bonnya yang menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dan menggalakkan mereka untuk mendaftar di laman mikro yang disediakan syarikat berkenaan dengan satu pertemuan akan diadakan pada 23 Mei ini.
‘Kerajaan lunas hutang’
Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru dilantik, Muhammad Ibrahim pada Rabu memberitahu bahawa beliau yakin yang kerajaan Malaysia akan melunaskan hutang 1MDB.
"Saya yakin kerajaan akan melunaskan semua obligasi hutangnya," tambah beliau sambil menegaskan bahawa sentimen pasaran saham dan kewangan akan pulih sebaik saja isu melibatkan 1MDB selesai.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Najib Razak dalam temubual khas sambutan Ulang Tahun UMNO ke-70 yang disiarkan di TV1 menjelaskan bahawa faktor utama 1MDB berdepan dengan masalah serta kegagalannya dalam menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) adalah akibat "diserang".
Najib dilaporkan sebagai berkata, pendekatan 1MDB menggunakan kaedah pembiayaan hutang bagi perniagaannya memerlukan penerbitan IPO dalam masa singkat selain tidak mahu menggunakan dana kerajaan .
“Bagi 1MDB, kita gunakan 'debt funding' (pembiayaan hutang) tetapi dengan syarat kita boleh buat IPO secara cepat. Namun tidak dijangka bahawa 1MDB akan diserang sebegitu sekali. Apabila diserang, IPO tidak dapat dilakukan, maka timbullah masalah aliran tunai," kata Najib yang juga Menteri Kewangan seperti dilaporkan.
Lembaga pengarah 1MDB akan meletakkan jawatan masing-masing berkuat kuasa pada 31 Mei ini, kecuali Presidennya Arul Kanda yang kekal menyandang jawatan itu, demikian menurut kenyataan Kementerian Kewangan Malaysia yang dikeluarkan baru-baru ini.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam hasil laporannya mengenai 1MDB pada bulan lepas, mencadangkan siasatan jenayah dilakukan terhadap pengurusan kanan syarikat dana kerajaan itu, selepas siasatan mendapati adanya salah laku dalam pengurusan syarikat pelaburan strategik negara itu.