1MDB saman bekas eksekutif Petrosaudi, tuntut kembali dana AS$1.83 bilion

1MDB selaku plaintif mendakwa Mahoney secara tidak jujur telah membantu bekas Perdana Menteri Najib Razak dan beberapa individu untuk menipu dana negara itu.
Noah Lee
2024.05.23
Kuala Lumpur
1MDB saman bekas eksekutif Petrosaudi, tuntut kembali dana AS$1.83 bilion Pekerja binaan sedang berbual di hadapan papan iklan dana pelaburan negara 1MDB di tapak pembangunan Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur, 14 Mei, 2015.
[Joshua Paul/AP]

Syarikat dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengalami kerugian berbilion dolar akibat penipuan telah memfailkan saman terhadap seorang bekas eksekutif Petrosaudi International Ltd (PSI) dan sebuah firma guaman British pada awal bulan ini, di mana ia mendakwa dua entiti tersebut telah menyebabkan 1MDB kehilangan sejumlah AS$1.83 bilion kepada satu projek usahasama palsu pada 2009.

Patrick Mahony, yang merupakan bekas ketua pegawai pelaburan PSI, dan firma White and Case LLP, dikatakan telah mengelirukan 1MDB dengan membuatkan ia mempercayai bahawa Raja Arab Saudi merupakan pemilik PSI sehingga menyebabkan 1MDB bersetuju untuk menyertai usahama dengan syarikat tersebut, yang akhirnya didapati merupakan satu pembohongan.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat BenarNews, 1MDB menamakan Mahony dan firma guaman itu sebagai defendan pertama dan kedua, dan memohon mahkamah memerintahkan mereka mengembalikan sejumlah AS$1.83 bilion yang telah dilaburkan 1MDB ke dalam projek usahasama palsu itu serta ganti rugi lain yang dirasakan sesuai.

"Secara ringkasnya, tuntutan plaintif terhadap defendan (pertama dan kedua) termasuk satu perintah bahawa defendan membayar kepada plaintif jumlah sebanyak AS$1,830,000,000 atau jumlah lain yang mana mahkamah anggap sesuai atas alasan bantuan tidak jujur," kata writ saman yang difailkan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Mei lepas.

Di dalam kenyataan tuntutannya, 1MDB mendakwa bahawa kedua-dua defendan telah terbabit dalam satu konspirasi bersama beberapa individu lain, termasuk bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak yang kini sedang dipenjarakan dan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, untuk membuatkan syarikat itu bersetuju menyertai kerjasama palsu dengan PSI.

Ia mendakwa bahawa Lembaga Pengarah 1MDB telah diberikan kenyataan yang salah bahawa PSI adalah akhirnya dimiliki oleh Raja Abdullah dan Arab Saudi, dan PSI akan menyuntikkan aset bernilai AS$1.5 bilion ke dalam syarikat usahasama JVCo bersama 1MDB, manakala 1MDB pula akan melabur sejumlah AS$1 bilion.

"Sebenarnya, PSI bukan dimiliki oleh Raja Abdullah dan Kerajaan Arab Saudi, dan PSI tidak pernah mempunyai niat untuk menyuntikkan aset bernilai AS$1.5 bilion ke dalam JVCo tersebut," kata dokumen tuntutan itu.

Plaintif menyatakan bahawa pada semua masa yang material, Mahony mengetahui bahawa usahasama itu dirancang untuk menyeleweng wang daripada 1MDB.

Mengenai White and Case pula, 1MDB mendakwa bahawa firma guaman itu telah memberikan bantuan tidak jujur dengan mendrafkan dokumen-dokumen perjanjian palsu serta mempunyai pengetahuan mengenai transaksi yang dirancang untuk menipu 1MDB, antara lain.

Menurut laporan media tempatan, peguam Kwan Will Sen yang mewakili 1MDB menyatakan bahawa syarikat itu akan cuba menyerahkan surat saman kepada kedua-dua defendan.

Perlucutan harta

Pihak pendakwaan di Malaysia dan Amerika Syarikat percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 billion telah diseleweng dari 1MDB, sekaligus menjadikannya sebagai "skandal kleptokrasi terburuk" di dunia.

Pada Feb lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ia telah berjaya memperoleh semula sejumlah RM23.9 juta wang dan aset 1MDB melalui pemulihan aset dana itu di dalam dan luar negara dari 2023 sehingga Feb 2024.

Wang dan aset berkenaan berjaya diperoleh menerusi proses lucuthak, kata agensi itu dalam satu kenyataan, serta penyerahan secara sukarela oleh lima individu.

"Secara keseluruhannya dari tahun 2019 dan sehingga kini, sebanyak RM29.03 bilion aset 1MDB telah berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara," kata SPRM.

Bekas perdana menteri Najib Razak telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkait rasuah membabitkan sebuah syarikat berkait 1MDB. Beliau mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengenepikan rayuan peringkat terakhirnya dalam kes SRC International.

Najib juga masih berdepan beberapa perbicaraan jenayah lain membabitkan 1MDB, yang ditubuhkan dengan tujuan merangsang ekonomi negara. Antara kes tersebut termasuk perbicaraan mengenai kehilangan sejumlah RM2.3 bilion (AS$487 juta) dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun-akaun bank bekas PM itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.