Individu Dinamakan Dalam Kemelut 1MDB Perlu Bersih Nama Sendiri: Najib
2016.07.25
Washington DC

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mahu individu yang telah dinamakan dalam tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam isu berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bertanggungjawab membersihkan nama mereka sendiri sambil memberi jaminan yang pentadbirannya tegas memastikan tiada wang rakyat disalahgunakan.
Perdana Menteri yang baru saja menyambut ulang tahun kelahiran ke-63, Sabtu lalu berkata, kerajaan Malaysia mengambil perhatian serius laporan DOJ itu dan terus mengulangi bahawa kerjasama akan terus diberikan supaya proses keadilan dapat dijalankan dengan baik
“Mana-mana individu yang telah dinamakan perlu membersihkan nama mereka sendiri, Kerajaan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam kes ini…, lambat laun kita akan tahu kebenarannya,” kata Najib dalam posting terbaru di laman media sosial Facebook rasmi beliau pada Isnin.
DOJ telah memfailkan 12 tindakan undang-undang bagi merampas dan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam aset-aset yang didakwa dibayar dengan wang 1MDB yang dicuri.
Tindakan undang-undang itu mengesan aliran dana di antara akaun "Pegawai Malaysia 1" dan tiga rakyat Malaysia yang lain, "Eric" Tan Kim Loong, rakan perniagaan pembiaya kewangan Malaysia Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dan seorang kenalan rapat Najib.
Juga dikenal pasti dalam tindakan undang-undang itu ialah anak tiri Najib, Riza Aziz, pengasas Red Granite yang menghasilkan filem yang dicalonkan untuk anugerah Oscar "The Wolf of Wall Street."
Walaupun tindakan undang-undang AS itu tidak menamakan Najib, tetapi beliau menjadi fokus pemerhatian sejak setahun yang lalu berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan dana negara itu.
Perdana Menteri itu telah menerajui 1MDB, yang dilancarkan pada 2009 sebagai satu instrumen pelaburan untuk memacu pembangunan di Malaysia. Beliau mempengerusikan lembaga penasihat dana itu sehinggalah pembubarannya pada dua bulan lalu.
Pihak berkuasa AS mengaitkan Najib secara tidak langsung dengan urusan yang dipersoalkan berhubung dengan apa yang mereka namakan sebagai "konspirasi global" untuk mengubah wang yang dicuri daripada 1MDB.
Seorang yang terlibat dengan penyiasatan AS itu memberitahu Wall Street Journal (WSJ) pada Rabu lepas berkata, bahawa Najib sebenarnya adalah "Pegawai Malaysia 1" (MO1) yang digambarkan dengan jelas dalam dokumen mahkamah yang difailkan oleh DOJ.
Hampir AS$700 juta daripada jualan bon oleh 1MDB pada 2013 telah dipindahkan ke akaun bank milik "Pegawai Malaysia 1," menurut dokumen mahkamah itu.
'Tindakan antarabangsa'
Sementara itu, Menteri Pertahanan Hishammuddin Tun Hussein pada Jumaat lalu berkata isu 1MDB adalah serius dan perlu ditangani tanpa menyebabkan orang tidak bersalah menjadi mangsa.
Beliau berkata tindakan sivil DOJ itu, merupakan satu proses tindakan undang-undang antarabangsa dan tidak ada mana-mana negara termasuk Malaysia boleh menghalangnya, sekiranya jabatan kehakiman itu mahu membuat siasatan kerana ia membuktikan akauntabiliti negara berkenaan
“Bagi saya, kalau mereka siasat dan boleh membantu kita cari penyelesaian, tidak ada masalah dan mereka yang dikenal pasti akan dibawa ke muka pengadilan nanti,” katanya seperti dilaporkan media tempatan Malaysia.
Beliau turut berpendapat isu berkenaan perlu ditangani mengikut tiga perkara utama iaitu akauntabiliti, rasionalisasi dan ketelusan dalam membantu Malaysia mencari penyelesaian berhubung kemelut yang melibatkan syarikat pelaburan strategik negara itu.
"Dalam mencari kebenaran, kita perlu rasional dan tidak bertindak mengikut emosi," katanya.
Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Malaysia itu menggesa rakyatnya supaya tidak membuat sebarang kesimpulan, sambil menambah kata bahawa adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa tindakan undang-undang itu adalah sivil, dan tidak ada tuduhan jenayah yang difailkan.
"Mereka yang terlibat akan membela diri melalui proses itu di Amerika Syarikat," kata Najib kepada pemberita. "Saya ingin menyatakan secara khususnya bahawa kita serius mengenai tadbir urus yang baik, oleh itu apa-apa yang menyalahi undang-undang, kita mahu proses itu dilaksanakan.”
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hanya akan mengambil tindakan jika terdapat unsur jenayah dalam kes saman sivil oleh DOJ itu.
Beliau seperti dilaporkan agensi berita nasional (Bernama) pada Isnin, dipetik sebagai berkata, pada ketika ini, PDRM tidak akan campur tangan dalam tindakan saman DOJ itu yang merupakan kes sivil.
"PDRM tidak campur tangan dalam kes sivil dan ini pendirian yang kita ambil buat masa ini… polis hanya menjalankan kerja-kerja untuk membanteras jenayah," katanya.
Sementara itu, dua rakyat Malaysia mengadakan demostrasi di hadapan pejabat Kedutaan Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, di Washington, dalam membantah mengenai isu terbaru berkaitan 1MDB yang kini berada dibawah tindakan sivil DOJ, pada Isnin.
Kedua-duanya membawa bendera Malaysia dan poster muka badut Perdana Menteri berdiri di hadapan pintu masuk pejabat kedutaan itu selama sejam bermula pada pukul 9 pagi.
Semasa dihubungi BeritaBenar, seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai K.P Teo berkata, demostrasi itu diadakan bertujuan menunjukkan bertapa rakyat Malaysia tanpa mengira di mana mereka berada berasa kecewa dengan pentadbiran yang tidak terurus serta tiada keikhlasan dalam kepimpinan kerajaan Malaysia.
"Kami mahu pengerusi 1MDB, Pegawai Malaysia 1, Najib Razak didakwa," katanya.