Polis: Roger Ng Akan Diekstradisi Ke AS, Januari Ini

Ali Nufael & Hadi Azmi
2018.11.14
Kuala Lumpur, Malaysia
171031-my-1mdb-620.jpeg Seorang wanita Malaysia berjalan melepasi papan iklan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di tapak pembinaan Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur, 22 September 2015.
[AFP]

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng yang ditahan pada minggu lepas akan diletakkan dalam tahanan pihak berkuasa Malaysia itu dan  diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) pada Januari, iaitu selepas tempoh tahanan reman selama 60 harinya tamat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh berkata perintah reman itu dikeluarkan oleh mahkamah Malaysia selepas penyiasat memohon untuk menahan Ng.

Bagaimanapun Amar Singh tidak menolak kemungkinan Ng akan dihantar lebih awal jika proses ekstradisi tidak mengambil masa terlalu lama.

“Kita sedang membantu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) selepas permohonan reman dibenarkan pada 1 November.  Pihak DoJ perlu melengkapkan segala dokumentasi dan segala urusan berkaitan proses ekstradisi itu dalam tempoh 60 hari,” kata Amar pada satu sidang media selepas perasmian balai polis Hartamas pada Rabu.

Ng merupakan antara individu terawal yang akan didakwa di Amerika Syarikat [AS] berkait skandal 1Malaysia Development Berhad [1MDB]. Sebelum itu AS telah mendakwa seorang lagi bekas pegawai tinggi Goldman Sachs, Tim Leissner.

Ng atau nama penuhnya Ng Chong Hwa ditahan oleh polis dalam satu operasi khas Khamis lepas, sehari selepas waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.

Di New York pada awal November, kerajaan Amerika Syarikat mengemukakan  tiga pertuduhan ke atas Ng dan Jho Low (juga dikenali sebagai Low Taek Jho), dan mengumumkan bahawa Leissner, telah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan  pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

Jho Low, yang masih menyembunyikan diri dan dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia melalui jurucakapnya menyiarkan satu kenyataan bahawa pembiaya kewangan itu tidak bersalah dalam laman web beliau.

Kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak Jho Low menyatakan bahawa beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi di 1MDB dan tidak pernah bekerja dengan Goldman Sachs.

Dalam dokumen pertuduhannya, Jabatan Keadilan AS (DOJ) tidak menyatakan nama Goldman Sachs tetapi mendakwa bahawa Ng dan Leissner menyembunyikan tentang hubungan mereka sebagai rakan kongsi Jho Low daripada institusi kewangan, setelah pegawai-pegawai pematuhan dan risikan enggan memperakui hubungan perniagaan itu berikutan kebimbangan mengenai sumber kekayaannya.

Dalam pertuduhan itu juga AS mendakwa bahawa Jho Low, Ng, Leissner dan lain-lain telah berkomplot untuk menyalahgunakan lebih daripada $2.7 bilion (RM11.28 bilion) daripada 1MBD, yang ditubuhkan pada 2009 untuk membiayai program pembangunan Malaysia.

Suspek-suspek "berkomplot untuk mengubah wang itu melalui sistem kewangan AS bagi membayar rasuah kepada para pegawai asing dan untuk faedah peribadi diri sendiri dan sanak saudara mereka," kata DOJ dalam satu kenyataan media bagi mengumumkan tentang pendakwaan tersebut.

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad  baru-baru ini turut berkata kedua-dua kerajaan mahu pelarian yang bernama Jho Low itu ditangkap.

Bekas perdana menteri Najib Razak yang menubuhkan dana kekayaan negara Malaysia itu pada 2009 dan isterinya Rosmah Mansor telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dihadapkan dengan beberapa pertuduhan berkaitan skandal 1MDB selepas penyiasatan keatas 1MDB dibuka semula oleh kerajaan baru Pakatan Harapan.

Selain itu, dokumen pertuduhan AS itu menyatakan bahawa Pegawai Malaysia No.1 (MO1) dan isterinya "Madam" turut menerima pembayaran. MO1, yang telah disenaraikan dalam dokumen AS sebelum ini, telah dikenal pasti oleh sumber sebagai Najib.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.