Follow us

1MDB: Penerbit ‘Wolf of Wall Street’ Didakwa di Mahkamah Malaysia

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-07-05
E-mel
Komen
Share
Riza Aziz (tidak memakai tali leher) bersama peguamnya Azrul Zulkilfli Stork (kanan) selepas pendakwaan di Mahkamah Kuala Lumpur, Malaysia, 5 Julai, 2019.
Riza Aziz (tidak memakai tali leher) bersama peguamnya Azrul Zulkilfli Stork (kanan) selepas pendakwaan di Mahkamah Kuala Lumpur, Malaysia, 5 Julai, 2019.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Anak tiri bekas Perdana Menteri Najib Razak yang juga penerbit terkenal filem Hollywood Riza Shahriz Abdul Aziz pada Jumaat didakwa di sebuah mahkamah Malaysia dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah kira-kira AS$248.17 juta (1.06 bilion ringgit) hasil daripada dana 1Malaysia Development Berhad(1MDB) lapan tahun lepas.

Penerbit filem Wolf of Wall Street yang memenangi Anugerah Academy itu mengaku tidak bersalah keatas semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayub.

“Saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” kata Riza, 43, pengasas Red Granite Pictures yang menerbitkan beberapa filem Hollywood antaranya “Dumb and Dumber Two” dan “ Daddy’s Home” bersama rakannya Joel McFarland sejak 2010.

Beliau yang hadir di mahkamah ditemani oleh adik-adik tirinya, Nor Ashman dan Nooryana Najwa Najib, didakwa di bawah Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama di mana setiap kesalahan boleh dikenakan penalti tidak melebihi 5 juta ringgit (AS$1.2 juta), lima tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut kertas pertuduhan, Riza yang merupakan anak daripada perkahwinan pertama isteri Najib, Rosmah Mansor didakwa menerima imbuhan hasil aktiviti yang melanggari undang-undang daripada 1MDB melalui dua buah akaun bank milik syarikat Red Granite Pictures di Los Angeles, Amerika Syarikat dan Singapura antara April 2011 dan November 2012.

Daripada jumlah AS$248.17 juta (1.06 bilion ringgit), sebanyak tiga bahagian besar iaitu AS$133 juta (549.9 juta ringgit), AS$60 juta (248 juta ringgit) dan AS$45 juta (186 juta ringgit) datangnya daripada Aabar Investment PJS Limited melalui sebuah bank BSI SA di Lugano, Switzerland yang kemudiannya dimasukkan ke akaun BSI Singapura milik Red Granite Pictures.

Selebih dua lagi bahagian AS$9 juta (37.2 juta ringgit) dan AS$1.173 juta (4.84 juta ringgit) diterima oleh akaun Red Granite Pictures yang berdaftar di bank City National di Los Angeles daripada akaun bank syarikat Good Star Limited, di RBS Coutts, di Switzerland, yang dimiliki oleh Jho Low, pembiaya kewangan dalam buruan.

Menurut laporan The Wall Street Journal dalam siasatan mereka berkenaan skandal kewangan 1MDB pada 2015, ‘Aabar Investments PJS Ltd’ yang dikatakan didaftar di Kepulauan British Virgin, merupakan sebuah syarikat palsu yang dibuat menyamai nama anak syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC) iaitu Aabar Investments PJS milik Abu Dhabi untuk menyeleweng wang dari 1MDB.

Hakim Rozina kemudiannya menetapkan 1 juta ringgit (AS$241,865) sebagai wang ikat jamin serta mengarahkan Riza menyerahkan passport beliau bagi simpanan mahkamah walaupun passport berkenaan telah tamat tempoh.

Hakim berkenaan turut menolak permohonan peguam K. Kumaraendran yang mewakili Riza yang meminta supaya jumlah jaminan itu dibayar secara berperingkat.

“Hari ini Jumaat, Yang Arif, mungkin pembayaran boleh dibuat separuh pada hari ini dan separuh lagi pada Isnin atau Selasa,” kata Kumaraendran.

Hakim tersebut bagaimanapun minta supaya jumlah penuh dijelaskan pada hari yang sama.

“Hari masih muda, anda punya masa untuk menyelesaikannya,” kata hakim dengan menetapkan 9 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Riza membayar penuh wang jaminan pada jam 11.30 pagi, dua jam selepas sidang mahkamah tamat.

Ditahan SPRM

Penerbit itu ditahan di Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) di Putrajaya pada Khamis dan dilepaskan selepas empat jam dengan diminta untuk hadir di mahkamah bagi pertuduhan pada Jumaat.

Penahanan Riza berlaku setahun selepas bapa tirinya Najib ditahan pihak berkuasa yang sama atas sabitan rasuah juga berhubung 1MBD.

Sebelum ditahan pada Khamis, Riza pernah menghadirkan diri ke Ibu pejabat SPRM itu sebanyak empat kali untuk diambil keterangan berhubung siasatan 1MDB dengan yang terakhir adalah pada 3 Julai tahun lepas, iaitu hari yang sama bapa tiri beliau ditangkap pihak berkuasa.

Tahun lepas, Red Granite Picture telah bersetuju membayar AS$60 juta (234 juta ringgit) kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebagai penyelesaian terhadap tuntutan pelucutan hak sivil tanpa mengakui sebarang liabiliti atau salah laku ke atas filem The Wolf of Wall Street.

Jabatan Kehakiman AS telah memfailkan saman sivil bagi melucut hak harta milik Red Granite itu pada Julai 2016 sebagai salah satu langkah untuk mendapatkan semula lebih AS$1 billion (3.89 billion ringgit) yang telah diseleweng dari syarikat pelaburan kerajaan Malaysia, 1MDB.

Pada 4 Julai 2018, Najib didakwa dengan pelbagai pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan imbuhan melibatkan sejumlah 42 juta ringgit milik SRC International iaitu anak syarikat 1MDB.

Pendakwaan ke atas Najib bermula tiga bulan selepas kerajaan Pakatan Harapan dipimpin Mahathir Mohamad memegang kuasa apabila mengalahkan Barisan Nasional yang dipimpin Najib dalam PilihanRaya Umum yang lalu.

Najib kini berdepan dengan 42 pertuduhan berkaitan kehilangan berbilion ringgit wang milik 1MDB. Beliau mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Sementara itu, Rosmah, 67 juga berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mana pada 15 Nov lalu, isteri bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap dua pertuduhan meminta rasuah sebanyak 187.5 juta ringgit dan menerima 1.5 juta ringgit lagi berhubung satu projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah turut menghadapi 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah 7.1 juta ringgit dan lima pertuduhan lain kerana gagal mengemukakan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Okt 2018.

Selain dikaitkan dengan skandal 1MDB melalui orang tuanya, Riza juga merupakan rakan rapat kepada ahli perniagaan Jho Low yang menghilangkan diri dan berdepan dengan pertuduhan jenayah di Malaysia dan Amerika Syarikat terhadap peranannya dalam skandal 1MDB.

Lihat Laman Penuh