1MDB: Putrajaya Saman Firma Audit AS$5.6 Bilion

Saman tuntutan adalah berkaitan kerja pengauditan bagi 1MDB antara tahun 2010 hingga 2012.
Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-07-09
Share
1MDB: Putrajaya Saman Firma Audit AS$5.6 Bilion Kotak-kotak dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, 28 Ogos 2019.
[Reuters]

Putrajaya telah menfailkan saman terhadap firma audit terkemuka KPMG Malaysia dan menuntut AS$5.6 bilion, Kementerian Kewangan mengesahkan mengenainya pada Jumaat, satu lagi tindakan diambil terhadap usaha mendapatkan semula berbilion dolar dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang hilang akibat rasuah.

Dalam dokumen Pernyataan Tuntutan oleh Kementerian Kewangan yang telah dilihat BenarNews, kerajaan, Menteri Kewangan (Diperbadankan), 1MDB dan empat anak syarikatnya telah menfailkan saman melalui sistem e-filing mahkamah pada Selasa, terhadap KPMG bersama 44 rakan kongsi firma yang dilantik sebagai juruaudit 1MDB bagi tahun kewangan 2010 sehingga 2012.

Firma itu didakwa gagal mengenalpasti penyelewengan sebanyak AS$5.6 bilion dari syarikat dana negara 1MDB ketika melaksanakan audit dengan penyelewengan didakwa telah dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak untuk kepentingan peribadi beliau.

KPMG Malaysia bagaimanapun menafikan dakwaan kerajaan bahawa firma itu cuai dan melakukan pelanggaran kewajipan undang-undang, dan memberitahu BenarNews bahawa mereka akan menentang saman yang telah difailkan awal minggu itu.

"Kementerian Kewangan dengan ini mengesahkan bahawa Writ dan Pernyataan Tuntutan telah difailkan terhadap 44 rakan-rakan kongsi KPMG pada 6 Julai 2021. Kerajaan Malaysia, Menteri Kewangan Inc, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikat 1MDB merupakan Plaintif di dalam perkara ini," kata seorang jurucakap kementerian berkenaan pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata "Oleh kerana kes ini sudahpun difailkan di Mahkamah, Kementerian Kewangan tidak dapat memberikan komen lebih lanjut bagi mengakuri peraturan sub judice,"

Dalam dokumen Pernyataan Tuntutan itu juga tercatat perenggan yang menyebut "Tidak ada transaksi memfraud dan pelesapan yang dilakukan di bawah arahan Najib Razak dan dilaksanakan oleh Pengurusan yang dikenal pasti oleh KPMG semasa tempoh pengambilannya sebagai juruaudit 1MDB.

"Sebaliknya, KPMG mengeluarkan pendapat audit tidak bersyarat terhadap Penyata Kewangan 1MDB bagi setiap satu Tahun-tahun Relevan.

Bertentangan dengan pendapat yang dinyatakan oleh KPMG dalam laporan auditnya, Penyata Kewangan Teraudit bagi Tahun-tahun Relevan tidak memberikan pandangan yang benar dan patut mengenai hal ehwal kewangan 1MDB," kata pernyataan tersebut.

Oleh itu, para plaintif menuntut gantirugi kerugian dan kerosakan berjumlah AS$5.64 bilion, berserta dengan faedah sekurang-kurangnya AS$1.43 bilion.

Selain daripada itu, kerajaan Malaysia selaku plaintif pertama turut menuntut sejumlah RM2.63 bilion (AS$630 juta) sebagai gantirugi kehilangan akibat daripada ia terpaksa menyelamatkan 1MDB serta anak-anak syarikatnya daripada hutang.

Kerajaan Malaysia juga turut menuntut RM131 juta (AS$31.2 juta) sebagai faedah.

KPMG nafi dakwaan

Dalam respon balas terhadap pemfailan saman terhadap mereka, KPMG dalam satu kenyataan menafikan semua dakwaan dan menyatakan bahawa mereka akan melawan segala dakwaan itu di mahkamah.

"Semua tuduhan seperti dilaporkan dalam berita adalah dinafikan, dan tuntutan tersebut akan ditentang dengan bersungguh-sungguh oleh semua rakan kongsi (KPMG).

"KPMG berasa kecewa dengan perkembangan ini. Firma ini akan terus komited dalam membina kepercayaan orang ramai, memberikan servis profesional berkualiti tinggi kepada para pelanggan, memegang nilai-nilai kami, dan menyediakan suasana kerja terbaik untuk pekerja kami," kata syarikat itu dalam emel kepada BenarNews.

Malaysia telah berusaha secara aktif untuk mendapatkan semula dana negara yang hilang dalam skandal 1MDB sejak Najib Razak dan parti pimpinannya dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2018.

Terbaharu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan media pada 2 Julai lalu berkata Akaun Pemulihan Aset 1MDB, yang ditubuhkan untuk mengumpul semula wang yang diselewengkan telah berjaya diperolehi sebanyak RM18.176 bilion (AS$4.34 bilion) dengan kesemuanya akan digunakan membayar hutang-hutang 1MDB.

"Bagaimanapun, baki semasa akaun amanah ini hanya cukup untuk membayar prinsipal dan faedah hutang 1MDB bagi 2021 dan 2022," demikian kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataannya itu.

Kata beliau, Putrajaya setakat ini telah membayar semula sejumlah RM12.54 bilion (AS$3 bilion) hutang 1MDB, dan RM3.8 bilion (AS$910 juta) hutang syarikat SRC International.

"Setakat 30 Jun, 2021, jumlah hutang yang masih belum diselesaikan adalah sebanyak RM39.66 bilion (AS$9.47 bilion) untuk 1MDB dan RM1.85 bilion (AS$440 juta) untuk SRC," kata menteri berkenaan.

Pada 10 Mei lalu, Malaysia telah mengambil tidakan yang sama dengan memfailkan saman terhadap bank J.P. Morgan, Deutsche Bank dan Coutts & Co. sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan semula dana 1MDB.

Tindakan tersebut, berjumlah 22 keseluruhannya, telah difailkan oleh 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC, bagi mendapatkan semula AS$23 bilion yang dibuat selepas kerajaan mendapat semula sekurang-kurangnya AS$5 bilion dari penyelesaian bersama Goldman Sachs dan syarikat-syarikat lain.

Pada Julai 2020, Najib telah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan jenayah berkait dengan SRC International, di mana beliau kini sedang dalam proses rayuan terhadap sabitan tersebut, dan pada masa sama menghadapi 25 pertuduhan lain termasuk penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang berkait dengan skandal 1MDB.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh