1MDB Fail Saman Namakan Riza Aziz Dalam Tuntutan AS$250 Juta

Riza Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri Najib Razak didakwa menggunakan wang diseleweng untuk kepentingan peribadi.
S. Adie Zul & Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-06-08
Share
1MDB Fail Saman Namakan Riza Aziz Dalam Tuntutan AS$250 Juta Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak tiba di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur, 5 Julai 2019.
[Reuters]

Firma pelaburan Malaysia yang terpalit dengan kemelut, 1MDB serta tiga anak syarikatnya telah memfailkan saman ke atas anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak bagi menuntut semula RM1 bilion (AS$250 juta) yang didakwa diselewengkan dari dana itu untuk membiayai penerbitan filem dan membeli pelbagai hartanah, menurut dokumen mahkamah yang diperolehi pihak media pada Selasa.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Noordura Mohamed Zin dalam satu sidang maya melibatkan pengurusan kes tersebut telah menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya terhadap Riza Aziz dan tiga plaintif yang dinamakan dalam saman berkenaan.

Berdasarkan saman yang difailkan pada 7 Mei itu, 1Malaysia Development Berhad dan tiga anak syarikatnya 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited telah menamakan Riza Shahriz Abdul Aziz serta tiga pihak lagi iaitu Red Granite Pictures Incorporated, Red Granite Capital Limited dan sebuah firma guaman Shearman & Sterling yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat sebagai defendan.

“Pada tahun 2011 dan 2012, defendan pertama sehingga ke-3 telah menerima kira-kira AS$250 juta dalam dana yang dilesapkan daripada plaintif-plaintif oleh pegawai-pegawai plaintif-plaintif dan sekutu mereka. Defendan pertama (Riza Aziz) yang mengawal defendan-defendan ke-2 dan ke-3, mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa dana tersebut telah dilesapkan.

“Defendan-defendan Pertama sehingga ke-3 menggunakan dana tersebut bagi kepentingan diri mereka dan kepentingan sekutu mereka, termasuk bagi tujuan pembiayaan produksi filem dan pembelian pelbagai hartanah,” menurut kandungan saman itu yang difailkan melalui firma guaman Shearn Delamore & Co merujuk kepada Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited.

Dalam saman itu, 1MDB turut mendakwa firma guaman Shearman and Sterling membenarkan Riza serta ‘sekutunya’ iaitu ahli perniagaan Malaysia dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) untuk menggunakan akaun klien di firma itu bagi mengubah sejumlah besar dana yang telah diselewengkan.

“Defendan ke-4 membenarkan defendan pertama dan Taek Jho Low (Jho Low), seorang sekutu kepada defendan pertama yang terlibat secara langsung dalam pelesapan tersebut, untuk menggunakan Akaun-Akaun Faedah Kepada Peguam (Interest on Lawyers Accounts) defendan ke-4 untuk mengubah (launder) sebahagian besar dari dana yang dilesapkan dan diterima oleh defendan-defendan pertama sehingga ketiga diatas, serta dana yang dilesapkan dan diterima oleh Jho Low daripada plaintif-plaintif ke dalam Amerika Syarikat dan mewakili defendan pertama dan Jho Low dalam pelbagai pembelian dan urus niaga yang melibatkan dana yang dilesapkan.

“Defendan Ke-4 mempunyai pengetahuan, sama ada pengetahuan secara sebenar atau pengetahuan yang disimpulkan daripada kebutaan sengaja (wilfil blindness) atau sikap tidak peduli yang cuai (reckless indifference), atau secara alternatifnya telah diletakkan kewajipan untuk membuat inkuiri dan gagal membuat inkuiri yang diperlukan, bahawa dana tersebut adalah hasil jenayah.”

Susulan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa Riza Aziz bertanggungjawab kepada plaintif bagi dana yang dilesapkan dan diterima atas alasan penerimaan berpengetahuan atau secara alternatifnya penolongan tidak jujur.

Plaintif-plaintif juga menuntut deklarasi supaya kesemua empat defendan dipertanggungjawabkan bagi dana yang diselewengkan itu, selain memohon deklarasi supaya dana yang telah dilesapkan dipulangkan kepada defendan pertama atas alasan defendan-defendan menjadi kaya secara tidak adil (unjust enrichment).

Riza Aziz dilepas tanpa dibebaskan

Pada Mei tahun lepas, Riza Aziz yang juga penerbit filem The Wolf of Wall Street yang dibarisi oleh beberapa bintang Hollywood, telah dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan berkaitan penyelewengan dana 1MDB bernilai RM1.25 bilion (AS$248 juta).

Keputusan berkenaan dibuat selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan bahawa Kerajaan Malaysia akan menerima sejumlah wang bernilai jutaan ringgit daripada tertuduh.

Menurut pihak pendakwaan, keputusan itu dibuat setelah meneliti dan menimbangkan representasi yang dikemukakan oleh Riza Aziz yang juga pemilik Red Granite Pictures, kepada Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwa berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu.

Pada 5 Julai 2019, Riza Aziz, anak kepada Rosmah Mansor dari perkahwinan terdahulu, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan, Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Malaysia dan pihak pendakwaraya di AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri dari 1MDB dan diselewengkan melalui pembelian hartanah, lukisan dan aset mewah oleh bekas perdana menteri Najib dan rakan sekutunya.

Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan dengan penubuhan itu sebagai satu langkah inisiatif strategik untuk mewujudkan dana kekayaan negara.

Najib menafikan salah laku berkaitan 1MDB dan sekarang ini memfailkan rayuan selepas didapati bersalah menerima RM42 juta (AS$9.67 juta) dari anak syarikat 1MDB-SRC.

Kerajaan AS jual hartanah mewah

Pada 5 Jun lalu, akhbar The New York Times (NYT) melaporkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah menjual sebuah apartmen mewah milik Riza Aziz di Kotaraya New York pada harga AS$16.8 juta.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha pihak pendakwa raya AS untuk mendapatkan semula wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

NYT menyenaraikan penjualan itu sebagai salah satu daripada penjualan kediaman termahal di kotaraya New York, malah dipercayai sebagai antara penjualan yang mampu menjana keuntungan selepas jualan semula yang tertinggi di dunia.

Sebelum itu, pada Ogos 2019, Reuters melaporkan pihak pendakwa raya AS dalam proses untuk menjual tiga buah kediaman mewah milik Riza bagi mendapatkan semula wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Hartanah itu termasuk sebuah kediaman bandar di London bernilai AS$27.97 juta (RM113 juta), kediaman bernilai AS$17.5 juta (RM74 juta) juta di Beverly Hills, dan kondominium AS$35.5 juta (RM147 juta) di New York.

Media turut melaporkan yang Riza didakwa membeli hartanah berkenaan daripada Jho Low menggunakan dana yang telah diseleweng dari 1MDB.

Sejak 2016, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) memfailkan tindakan undang-undang perlucuthakan kira-kira AS$1.7 bilion dalam aset yang didakwa dibeli dengan wang dicuri daripada 1MDB.

Pada September tahun lalu, Jabatan Kehakiman (DOJ) AS berkata ia telah berjaya mendapatkan semula lebih AS$60 juta (RM248.55 juta) selepas mencapai penyelesaian kes pelucutan hak sivilnya terhadap aset milik Riza yang dibeli menggunakan dana yang didakwa digelapkan daripada 1MDB.

Dalam kenyataan disiarkan di laman sesawangnya itu, DOJ berkata pengubahan wang haram bagi dana itu dilakukan menerusi institusi kewangan di beberapa negara termasuk AS, Switzerland, Singapura dan Luxembourg.

"Dengan pencapaian penyelesaian ini, bersama-sama dengan selesainya kes pelucutan hak lain yang berkaitan sebelum ini, AS sudah mendapatkan semula atau membantu mendapatkan semula aset bernilai hampir AS$1.1 bilion (RM4.6 bilion) berkaitan dengan pengubahan wang haram antarabangsa dan rasuah 1MDB.

"Ini mewakili jumlah terbesar yang berjaya didapatkan semula setakat ini di bawah Inisiatif Mendapatkan Semula Aset Kleptokrasi oleh jabatan dan pelucutan hak sivil terbesar pernah dilakukan oleh DOJ," menurut kenyataan DOJ lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh