1MDB: Seorang Lagi Pengarah Ditahan Dan Singapura Beku Akaun
2015.07.22
Pasukan Petugas Khas telah menahan seorang lagi pengarah sebuah firma yang mempunyai kaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana syarikat pelaburan negara sarat hutang itu, pada Rabu.
Lelaki bergelar ‘Datuk’ itu dipercayai Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn. Bhd., yang ditahan pada petang Selasa di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya sebelum dibawa ke Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoalsiasat.
Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairy ketika ditemui berkata, lelaki berusia 54 tahun merupakan seorang pengarah urusan sebuah firma ditahan di bawah Seksyen 17 (a), Akta SPRM.
Ahmad Sazilee berkata SPRM memohon lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari daripada Mahkamah Majistret Putrajaya, bagaimanapun Majistret Eric Lau hanya membenarkan penahanan selama lima hari, iaitu sehingga Ahad ini.
Ihsan Perdana adalah syarikat yang mengendalikan program tanggungjawab korporat bagi Yayasan 1MDB, telah dikaitkan dengan laporan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai lepas mengenai siasatan ke atas syarikat pelaburan negara kerana didakwa telah menyalurkan hampir AS$700 juta (RM2.64 bilion) ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.
Najib pantas menafikan dakwaan itu, dan menyifatkannya sebagai "tuduhan palsu," serta "sebahagian daripada kempen bersepadu sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik."
Pada 3 Julai lepas, syarikat Ihsan Perdana menafikan ada memindahkan wang ke dalam sebarang akaun individu termasuk milik Perdana Menteri Najib Razak.
"Dakwaan itu adalah tidak berasas dan merupakan pembohongan ... saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang pemindahan wang ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri seperti didakwa dalam laporan media," kata pengarah urusannya Dr Shamsul Anwar Sulaiman dalam satu kenyataan kepada media.
Pada Isnin, SPRM turut menahan seorang pengarah syarikat berusia 39 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik sebelum berlepas ke Taiwan.
Beliau ditahan bagi membantu siasatan mengenai dakwaan menerima rasuah bernilai RM5 juta melibatkan syarikat SRC International Sdn. Bhd.
Beku akaun
Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Polis Singapura sebagai berkata, mereka telah membekukan dua akaun bank berhubung siasatan berkaitan 1MDB kerana siasatan menjurus kepada kemungkinan pengubahan wang haram dijalankan mengikut Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Perampasan Faedah).
Bernama memetik kenyataan media yang dikeluarkan oleh Polis Singapura pada Rabu sebagai berkata, "Pada 15 Julai 2015, kami mengeluarkan perintah mengikut Kanun Tatacara Jenayah untuk menghalang sebarang urusan membabitkan wang dalam dua akaun bank yang mempunyai kaitan dengan siasatan ini."
“Polis Singapura bagaimanapun tidak mendedahkan butiran tentang bank atau akaun terbabit disebabkan siasatan masih berjalan. Sebaliknya mereka berjanji akan terus memberi bantuan serta berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa di Malaysia - "dalam lingkungan undang-undang dan tanggungjawab antarabangsa kami" .
"Pihak Berkuasa Kewangan Singapura turut berhubung rapat dengan institusi kewangan yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Jatuhkan kerajaan
Sementara itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam satu sidang media pada Rabu berkata polis melancarkan siasatan mengenai dakwaan terdapat pihak tertentu yang cuba menjatuhkan kerajaan Malaysia melalui cara yang tidak demokratik hasil dari pendedahan yang dibuat oleh Polis Thailand.
Pada 22 Jun lepas, Polis Thailand telah menahan bekas Eksekutif PetroSaudi International Ltd. Xaxier Andre Justo, 49, setelah firma itu membuat laporan yang mendakwa lelaki berkenaan telah memeras ugut syarikat yang menjadi rakan usahasama 1MDB itu.
Semasa dalam tahanan Polis Thailand, lelaki dengan kerakyatan Switzerland itu mendakwa pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Malaysia untuk membeli maklumat daripada beliau bagi memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.
Pada Isnin lepas, bekas Pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi yang juga pernah bertugas sebagai pengarang dengan Sarawak Report, tampil memberitahu akhbar The Star bahawa beliau telah berjumpa Justo yang mengakui telah menemui beberapa pemimpin pembangkang yang ingin membeli maklumat untuk memburukkan kerajaan berkaitan 1MDB di London dua atau tiga kali pada 2012 dan 2013.
Lelaki dari Sarawak itu turut mendakwa hampir 90 peratus kandungan laporan Sarawak Report mengenai 1MDB, diubah suai oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan Najib Razak.
Larang keluar negara
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli telah dilarang untuk keluar negara dipercayai untuk ditahan bagi membantu siasatan polis berkaitan usaha menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokratik.
Tony hanya mengetahui mengenai larangan itu semasa hendak berlepas ke Jogjakarta, Indonesia pada petang Rabu oleh pegawai-pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2.
Ketua Publisiti DAP itu berkata, "Pegawai Imigresen berkata mereka tidak tahu kenapa saya dilarang keluar, kecuali mengatakan ia adalah arahan 'pegawai peringkat tertinggi’. Setahu saya, saya tidak melakukan jenayah dan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti haram dalam sebarang isu berkaitan dengan 1MDB.
"Saya akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan memfailkan saman terhadap kerajaan kerana menghalang saya daripada meninggalkan negara tanpa proses yang sewajarnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP pada Rabu.
Rafizi turut membuat pemeriksaan ke atas statusnya di laman web Jabatan Imigresen dan mendapati bahawa beliau turut tidak dibenarkan untuk keluar negara.
Sementara itu, seorang pegawai perhubungan awam Jabatan Imigresen dalam menjawab soalan BeritaBenar melalui sistem pesanan ringkas berhubung penahanan kedua-dua Ahli Parlimen itu berkata “Kedua-dua Ahli Parlimen itu kemungkinan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen, dan diisytiharkan bankrap atau terlibat di dalam kes jenayah”
“Kedua-duanya boleh menghubungi Bahagian Keselamatan di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya,” kata pegawai berkenaan dalam pesanan ringkas itu.