Malaysia hormati perjanjian dengan Ericsson, terbuka bekerjasama dengan pihak lain
2023.05.03
Kuala Lumpur

Malaysia pada Rabu menegaskan ia akan memilih syarikat penyedia telekomunikasi 5G yang kedua “tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak”, selepas media melaporkan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran risiko ancaman terhadap keselamatan negara sekiranya kerajaan memilih Huawei Technologies dari China.
Pada April, para perwakilan AS dan EU mengutus surat kepada kerajaan Malaysia bagi menyatakan pembekal yang tidak diyakini akan mengancam pertahanan Malaysia dan mencetus kebimbangan di kalangan pelabur asing, lapor sebuah akhbar Britain minggu ini.
“Penting ditegaskan di sini bahawa sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia dan kerajaan mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan dasar sendiri tanpa kacau ganggu atau penglibatan mana-mana pihak lain,” kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam satu sidang media Inisiatif 5G di pusat pentadbiran Putrajaya pada Rabu.
Respon itu hadir selepas laporan media mendakwa Malaysia menerima tekanan diplomatik yang kuat dari AS dan EU untuk mengetepikan Huawei, konglomerat pembekal peralatan rangkaian daripada inisiatif jaringan 5G, tatkala negara itu sedang membuat keputusan akhir dalam semakan semula ke atas pelaksanaan inisiatif 5G.
Surat-surat dari Duta AS ke Malaysia yang dilihat oleh Financial Times yang menyatakan: “Para pegawai kanan di Washington bersetuju dengan pandangan saya bahawa mengubah model sedia ada bakal melemahkan daya saing industri-industri baharu, membantutkan pertubuhan 5G di Malaysia, serta mengancam imej Malaysia sebagai mesra-perniagaan di peringkat antarabangsa,” ujar Duta AS ke Malaysia, Brian McFeeters menerusi sepucuk surat kepada kerajaan Malaysia.
“AS dan negara-negara lain mementingkan proses semakan semula yang adil dan telus serta kedaulatan kontrak, begitu juga dengan komuniti perniagaan antarabangsa. Membenarkan penglibatan para pembekal yang tidak diyakini dalam mana-mana bahagian jaringan juga mendedahkan infrastruktur Malaysia kepada ancaman keselamatan,” menurut McFeeters dalam suratnya itu seperti dilaporkan media antarabangsa berkenaan.
Sebelum ini, Huawei, yang disenarai hitam oleh Washington, dilaporkan telah mengambil langkah-langkah signifikan bagi mendapatkan peluang untuk terlibat dalam pembangunan jaringan rangkaian di Malaysia.
Dalam pada itu, Michalis Rokas, ketua delegasi EU ke Malaysia memberi amaran bahawa sebarang perubahan kepada polisi 5G negara itu akan memberi kesan negatif ke atas terma-terma kontrak dan pelaburan Eropah dalam sektor berteknologi tinggi di Malaysia, menurut Financial Times lagi.
Tujuan surat-surat itu diutus difahamkan mempunyai kaitan dengan pendirian Malaysia mahu menyemak semula keputusan awal untuk melantik Ericsson, syarikat vendor dari Sweden, sebagai pembekal eksklusif infrastruktur rangkaian 5G negara itu.
Pada 2021, Malaysia telah menganugerahkan tender RM11 billion (AS$ 2.5 billion) kepada Ericsson, namun tahun lalu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengarahkan supaya kontrak yang dimenangi oleh Ericcson selepas menewaskan Huawei dan syarikat Nokia dari Finland, disemak semula.
Di sebalik langkah berkenaan, Fahmi pada Rabu mengesahkan yang kontrak tersebut telah melalui proses tender yang sepatutnya.
BenarNews cuba menghubungi kedua-dua duta bagi mendapatkan pencerahan berhubung laporan media mengenai surat-surat berkenaan, namun tidak mendapat jawapan segera.
Begitu juga dengan para wakil dari pihak Huawei dan Ericsson, tidak memberi maklumbalas.
Dalam sidang media berkenaan, Fahmi memaklumkan yang beliau telah mengarahkan pasukannya untuk mengaturkan pertemuan dengan perwakilan asing yang berminat bagi menjelaskan pendirian Malaysia dalam isu tersebut.
“Saya percaya sebarang keputusan oleh kerajaan hari ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga dalam keadaan yang harmoni dengan isu di peringkat antarabangsa.
“Saya percaya setelah kita mengadakan perbincangan, pertemuan dan memberikan penjelasan kepada pihak yang terbabit, mereka akan faham pendirian kerajaan Malaysia,” ujarnya lagi.
Malaysia dalam usaha terbaharu untuk beralih kepada model dwirangkaian bagi inisiatif 5G menjelang tahun hadapan, namun sehingga itu, syarikat kerajaan Digital Nasional Berhad (DNB) akan meneruskan pelaksanaan inisiatif itu sehingga mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk.
Fahmi menyatakan keyakinan bahawa Malaysia akan mencapai sasaran liputan berkenaan, memandangkan DNB telah mencapai 57.8 peratus liputan kawasan berpenduduk, sambil berkata hanya berbaki 2,000 lokasi lagi yang perlu diselesaikan bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Apabila ditanya oleh BenarNews pihak mana yang sedang menyasarkan tender-tender berkenaan, Fahmi menjawab negara itu akan kekal neutral berkaitan isu melibatkan syarikat-syarikat yang berminat dalam inisiatif 5G, dengan menekankan kepada kemampanan tanpa mengambil kira usaha melobi oleh mana-mana entiti tempatan atau asing.
“Ya, tanggungjawab kontrak yang dimeterai di antara DNB dan Ericsson kekal, dan kita akan menghormatinya. Sehinggalah entity B (mana-mana syarikat) memutuskan untuk melaksanakan inisiatif, kita akan bekerjasama dengan mereka untuk melaksanakannya. Bagaimanapun, kita berpegang kepada prinsip pasaran yang bebas dan terbuka. Tawaran yang terbaik akan menang.
“Sesiapa sahaja yang boleh menawarkan tawaran terbaik berkemungkinan akan menang. Adalah mustahil bagi mana-mana pihak mengubahnya. Kerajaan ini adalah neutral dan terbuka berkenaan perkara-perkara ini, memandangkan ia berkaitan dengan hubungan dagang,” ujarnya.
Semak dan imbang
Para penganalsis sektor telekomunikasi berpandangan Malaysia mengambil langkah yang wajar apabila memilih untuk beralih kepada model dwirangkaian dalam fasa kedua pelaksanaan inisiatif 5G.
Tharek Abd Rahman, Pengarah Pusat Komunikasi Tanpa Wayar di Universiti Teknologi Malaysia menyifatkan langkah beralih kepada dwirangkaian adalah halatuju yang betul.
“Ia adalah halatuju yang baik. Jika kita mempunyai dua (penyedia rangkaian), sekurang-kurangnya kita mampu melakukan semak dan imbang,” ujarnya kepada BenarNews.
Menurutnya, konflik AS-China dan kebimbangan mengenai isu keselamatan tidak akan terlalu menjejaskan inisiatif 5G Malaysia.
“Kita melihat kepada pihak mana yang mampu memberi tawaran terbaik atau teknologi terbaik. Kerajaan perlu menimbangkan berdasarkan kepada proses tender.
“Tidak kisah dari mana ia berasal. Jika timbul kebimbangan mengenai aspek keselamatan, saya fikir 5G menawarkan perlindungan keselamatan yang lebih baik. Ia terpulang kepada mana-mana vendor yang menawarkan pilihan yang lebih baik,” katanya lagi.
Saaidal Razalli Azzuhri, pensyarah kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya turut berkongsi pandangan bahawa pendirian kerajaan untuk mempunyai dua pembekal rangkaian akan memberi kelebihan kepada Malaysia.
“Sebenarnya memang bagus untuk melibatkan beberapa pembekal. Supaya rangkaian berbeza dapat diintegrasikan antara satu sama lain, semua protokol akan dapat dilihat.
“Kebergantungan kepada satu pembekal tunggal adalah tidak digalakkan, khususnya melibatkan aspek pemulihan bencana.
“Semak dan imbang sebenarnya memberi kelebihan kompeititif kepada Malaysia. Syarikat-syarikat yang berminat untuk melabur dalam industri 5G di Malaysia akan melihat ini sebagai sesuatu yang menarik,” katanya kepada BenarNews.
Ujar beliau lagi, langkah itu juga akan membolehkan Malaysia akses kepada kepakaran teknologi dari pelbagai syarikat sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pembekal tunggal, seterusnya mengurangkan risiko ancaman kepada keselamatan negara.
Begitupun, beliau mengakui pendekatan itu berkemungkinan akan melibatkan kos yang lebih tinggi memandangkan keperluan kepada beberapa penyedia infrastruktur, selain koordinasi yang kompleks di antara pengendali rangkaian yang berbeza.