Malaysia Hadkan Kehadiran Ahli Parlimen Semasa Pembentangan Belanjawaan 2021

Noah Lee
2020.11.05
Kuala Lumpur, Malaysia
201105-MY-Parlimen1000.jpg Anggota Parlimen Malaysia bersiap sedia menghadiri sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, 2 Nov, 2020.
[BeritaBenar]

Penggubal undang-undang Malaysia bersetuju dengan langkah mengehadkan 80 daripada kesemua 222 Ahli Parlimen menghadiri sidang Parlimen, bermula Jumaat sehingga berakhirnya sesi pembentangan Belanjawan 2021, bagi meminimumkan risiko pendedahan terhadap COVID-19, kata Speaker Dewan Rakyat pada Khamis, tetapi mendapat kritikan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang berkata kehadiran wakil rakyat semasa pembentangan itu penting untuk kepentingan rakyat.

Azhar Azizan Harun dalam teks pemasyhuran olehnya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata langkah pengehadkan itu tidak akan membawa sebarang kesan terhadap pembentangan Belanjawan 2021 atau sesi pengundian untuk meluluskannya, kerana kesemua Ahli Parlimen dibenarkan untuk memasuki dewan bagi menyatakan undi mereka.

Keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan Wabak COVID-19 yang dihadiri 10 ketua Whip parti pada Rabu, dua hari sebelum Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz membentangkan Belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional [PN] di Parlimen pada Jumaat.

"Dengan mengambil kira nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan, serta syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, ahli-ahli mesyuarat telah bersetuju dengan ketetapan seperti berikut.

“Kehadiran ahli-ahli Yang Berhormat sepanjang tempoh persidangan Mesyuarat Ketiga (termasuk Pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini) adalah dihadkan kepada 80 orang sahaja pada satu-satu masa di dalam Dewan Rakyat (termasuk ahli yang akan berbahas), dengan pecahan pembahagian 41 pihak kerajaan dan 39 dari pihak pembangkang dan Bebas," kata Azhar.

Keputusan berkenaan bagaimanapun mendapat kritikan daripada kumpulan empat Ahli Parlimen bebas yang diketuai Mahathir,mewakili Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), yang kini sedang menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan selepas mendaftar parti baharunya itu dua bulan lalu.

PEJUANG dalam satu kenyataan membantah keputusan mengehadkan jumlah Ahli Parlimen dengan berkata, wakil daripada parti itu tidak dijemput untuk membincangkan mengenai langkah terkini yang mahu diambil oleh Speaker Dewan Rakyat.

"Alasan yang diberi adalah untuk membendung wabak COVID-19 dilihat tidak berasas. Malahan, ini bukan kali pertama Dewan Rakyat bersidang sewaktu tempoh pandemik. Terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang telah dilaksanakan di dalam dewan seperti pemasangan penghadang lut sinar dan aturan kerusi secara penjarakan sosial bagi sidang-sidang sebelum ini," kata kenyataan bertarikh 5 November yang ditandatangani oleh Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, anaknya Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Kenyataan daripada wakil PERJUANG itu juga berkata, "Keterlibatan penuh Ahli Parlimen dalam sesi Belanjawan 2021 adalah cukup penting bagi memastikan belanjawan Negara dapat diperhalusi mengikut keperluan rakyat tanpa ruang salah guna dan penyelewengan,"

Azhar dalam teks pemasyhuran yang dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon sebaik persidangan bermula pada Khamis turut berkata, pemilihan Ahli Parlimen yang akan berada di dalam dewan ditentukan oleh parti masing-masing dengan sejumlah 80 kad khas diperuntukkan bagi merekodkan kehadiran mereka menggunakan komputer riba masing-masing.
my-
Beliau juga memaklumkan bahawa waktu persidangan Dewan Rakyat turut dihadkan kepada antara jam 10 pagi dan 2 petang, bermula dari Isnin, 9 Nov ini sehingga 15 Disember dengan penambahan sidang Mesyuarat Ketiga Parlimen itu ditambah sebanyak dua hari iaitu pada 16 dan 17 Disember sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Pengumuman itu dibuat ketika Malaysia masih bergelut dengan peningkatan kes harian positif COVID-19 yang berterusan sejak September dengan lokasi bangunan Parlimen terletak di tengah ibukota Kuala Lumpur, yang merupakan salah satu daripada kawasan yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana merekodkan jumlah kes yang tinggi.

Pada Isnin lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM] memaklumkan yang seramai enam kakitangan yang bertugas di Parlimen disahkan positif COVID-19 yang melibatkan empat anggota polis bantuan manakala dua kes lagi masing-masing melibatkan seorang individu yang berurusan dengan media dan pegawai khas kepada seorang ahli Dewan Negara.

KKM pada lewat petang Khamis turut memberitahu yang negara itu telah merekodkan 1,009 kes harian baharu dalam tempoh 24 jam, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif jangkitan adalah sebanyak 36,434, dengan enam kematian terkini dicatatkan dan membawa kepada 277 fataliti di seluruh negara.

Untuk rekod, semasa persidangan Dewan Rakyat bagi sesi yang bermula pada Julai lepas, kesemua 222 ahli parlimen dibenarkan untuk berada di dalam dewan, dengan beberapa langkah telah diambil bagi memastikan penjarakkan fizikal serta prosedur yang ketat untuk mengelakkan penularan jangkitan koronavirus di mana pada masa itu Malaysia berada dalam gelombang kedua penularan jangkitan COVID-19.

Pembentangan Belanjawan negara dan perbahasan mengenainya adalah agenda terpenting dalam persidangan parlimen dan bagi sesi pembentangan Belanjawan 2021, ia merupakan perbentangan pertama bagi kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang memerintah tanpa mendapat mandat rakyat sejak lapan bulan lepas dan dibuat pada pasca pandemik COVID-19.

Belanjawan 2021 juga di nanti-nantikan oleh rakyat, selain terkesan dengan pandemik, situasi politik negara yang kurang stabil juga adalah antara sebab kerana jika sekiranya belanjawan kerajaan Muhyiddin yang mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen tipis ditolak, ia boleh menyebabkan kejatuhan kerajaan PN.

KKM sambut baik langkah pengehadkan


Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah semasa sidang media di Putrajaya pada Khamis menyatakan bahawa langkah diambil Parlimen itu adalah satu penambahbaikan kepada prosedur sedia ada bagi mengelakkan penularan wabak di Dewan Rakyat.

Katanya bilangan pegawai yang bertugas untuk membantu Ahli Parlimen ketika dewan bersidang juga diambil kira, selain petugas parlimen sendiri.

"Kalau setiap Ahli Parlimen ada seorang pembantu, bilangannya sudah lebih 400 orang. Ditambah lagi dengan petugas parlimen, kuantiti itu ramai. Walaupun SOP itu ada, tapi kita pertingkatkan lagi SOP tersebut.

"Kebimbangan kita kerana ahli-ahli parlimen ini datang dari seluruh negara. Walaupun mereka sudah jalani saringan tiga hari sebelum persidangan, tetapi mereka masih terdedah kepada jangkitan di dalam komuniti," kata beliau.

Oleh itu, tambah Noor Hisham, KKM telah mengesyorkan supaya semua Ahli Parlimen serta pegawai yang bertugas di bangunan tersebut mengambil ujian swab COVID-19 setiap dua minggu bagi memastikan mereka benar-benar bebas dari pandemik berkenaan yang turut melibatkan staf kementerian yang perlu hadir ke Parlimen atas dasar tugasan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.