Parlimen Eropah Bimbang Sekatan Hak Asasi Di Malaysia
2015.12.18
Parlimen Eropah pada Khamis telah mengeluarkan resolusi 14 perkara, menyatakan kebimbangan mengenai tekanan terhadap perbahasan awam dan kebebasan bersuara di Malaysia, susulan tindakan kerajaan menggunakan tafsiran undang-undang longgar untuk menekan para pengkritiknya.
Resolusi itu juga menyentuh mengenai siasatan berhubung derma politik RM2.6 bilion dan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan Perdana Menteri Najib Razak.
Menurut resolusi yang dimuat naik di laman web rasmi Parlimen Eropah, yang dianggotai oleh 751 anggota Parlimen dari 28 negara Kesatuan Eropah, mereka turut menyuarakan kebimbangan mendalam tentang rekod hak asasi Malaysia yang menyekat suara pembangkang dan gerakan masyarakat sivil sejak 2014.
Resolusi itu dijangka akan mempengaruhi rundingan Perjanjian Usahasama dan Kerjasama (PCA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU).
Resolusi itu antara lain melahirkan kebimbangan tentang "ruang untuk perbahasan awam dan kebebasan bersuara" yang semakin pantas menjadi sempit berikutan tindakan kerajaan menggunakan undang-undang jenayah yang longgar untuk menutup mulut para pengkritik dan mematahkan bantahan awam dan kebebasan bersuara.
Kenyataan itu merujuk kepada penggunaan undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Cetak dan Akta Penerbitan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Perhimpunan Aman.
‘Beri kuasa’
Parlimen Eropah turut melahirkan kebimbangan terhadap Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Nasional (NSC) yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 3 Dis lalu, yang memberi kuasa penuh kepada Perdana Menteri untuk mengisyhtiharkan darurat di kawasan yang dianggap mempunyai risiko keselamatan, kuasa lebih besar untuk menahan suspek serta mencari dan merampas tanpa waran.
"Justeru itu, Parlimen Eropah menggesa supaya Rang Undang-Undang NSC itu ditarik balik sambil menyeru kerajaan untuk mengekalkan keseimbangan di antara keperluan untuk menjaga keselamatan negara dan kepentingan melindungi hak sivil dan hak politik," menurut resolusi itu.
Resolusi itu juga menyentuh mengenai tindakan dan tekanan ke atas para aktivis gerakan sivil, ahli-ahli akademik, media dan para aktivis politik.
Parlimen Eropah turut menggesa kerajaan Malaysia untuk membebaskan semua tahanan politik, termasuk bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, selain memastikan mereka mendapat rawatan perubatan seperti yang sepatutnya.
"Kerajaan Malaysia perlu membebaskan mereka yang didakwa dengan pertuduhan yang berbaur politik, termasuk kartunis Zulkiflee Anwar Haque (Zunar), blogger Khalid Ismath, pensyarah Universiti Malaya Azmi Sharom, pengkritik Najib Khairuddin Abu Hassan and Matthias Chang, serta aktivis hak asasi Lena Hendry dan Maria Chin Abdullah,” menurut resolusi itu.
Selain itu, resolusi berkenaan juga menggesa kerajaan Malaysia untuk memansuhkan Akta Hasutan selain meminda Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Akta Mesin Cetak dan Akta Penerbitan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman, dan beberapa lagi undang-undang di bawah Kanun Keseksaan, supaya selari dengan standard antarabangsa.
Resolusi Parlimen Eropah itu turut menyentuh mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap derma politik RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun peribadi Najib tanpa menjelaskan sumber dan kegunaannya, serta dakwaan kehilangan ratusan juta ringgit dalam perjanjian kerjasama oleh 1MDB.
"Pihak media juga berdepan dengan kekangan di bawah Akta Cetak dan Akta Penerbitan dalam membuat liputan berhubung kes 1MDB manakala ahli politik Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang telah ditahan kerana cuba menyelidik dakwaan-dakwaan tersebut,” kata resolusi itu.