Bekas Penyelia Kilang Dipenjara Lapan Tahun Mahu Ke Syria Sertai IS

Hata Wahari
2018.01.22
Kuala Lumpur
P180122-ISfactorysupervisor620.jpg Mohamad Awang (kanan) menutup muka ketika didakwa bersama seorang rakyat Indonesia, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 17 November 2017.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap seorang bekas penyelia sebuah kilang kerana didapati mahu ke Syria bagi menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) pada Februari tahun lalu.

Mohamad Awang, 42 yang didakwa pada 13 November tahun lepas, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah, telah mengubah pengakuan kepada bersalah pada Isnin ketika dihadapkan ke mahkamah berkenaan.

Hakim Azman Abdullah memerintahkan Mohamad untuk menjalani hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 21 Februari 2017.

Hakim Azman ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, “Kamu memilih untuk berjihad dan kamu meninggalkan isteri dan anak-anak serta membiarkan isteri kamu mengambil tanggungjawab kamu, dan ini merupakan satu tindakan yang salah,”

Azman berharap keluarga tertuduh dapat memaafkan kesalahan yang telah dilakukan olehnya.

Mengikut fakta kes, tertuduh cuba untuk memasuki Syria melalui Tehran, Iran,  dengan  menjual tanah lot rumahnya bagi menampung perbelanjaan untuk berhijrah di negara tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Hotel Crystal Crown, No 3 Jalan Jambu Mawar, Jalan Kepong Utama pada pukul 12 tengahari 21 Februari tahun lepas.

Mohamad didakwa di bawah Seksyen Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda, jika didapati bersalah

Mohamad yang diwakili peguam Shahredzan Johan meminta hukuman yang ringan kerana beliau menyesal dengan tindakannya.

Pendakwaan dijalankan oleh Nurfaida Mohd Rashidee.

Pada 23 Okt tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Parlimen bahawa 53 rakyat Malaysia bersembunyi di medan pertempuran Iraq dan Syria, selepas pihak tentera yang disokong Amerika Syarikat mengesan para pejuang IS dan merampas Raqqa, yang dikenali sebagai ibu negeri de fakto kumpulan ekstremis itu. Beliau berkata, 34 rakyat Malaysia juga telah terbunuh dalam pertempuran di kedua-dua negara tersebut.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun memberitahu, 53 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak - masih berada di Syria dan mungkin telah melarikan diri dari bandar-bandar di mana pertempuran sengit berlaku.

Pegawai-pegawai lain sebelum itu mendakwa bahawa rakyat Malaysia mungkin mendapatkan perlindungan di kem-kem di sempadan Jordan dan Turki.

Dalam tempoh empat tahun lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 371 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas termasuklah IS.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 19.5 juta umat Islam yang membentuk lebih daripada 60 peratus penduduknya, telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman berkaitan IS sejak 2013, kata pegawai-pegawai keselamatan.

Bagaimanapun, serangan bom tangan yang dikaitkan dengan IS pada tahun lalu di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur, telah mencederakan lapan orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.