Pekebun Dipenjara 11 Tahun Beri Sokongan, Simpan Gambar, Video IS

Ray Sherman
2018.01.17
Kuala Lumpur
ISphoto.jpeg Bendera kumpulan militan Negara Islam (IS) berkibar di atas bukit berhampiran wilayah Sanliurfa Turki, yang bersempadanan dengan Syria. 23 Okt 2014.
AFP

Sebuah mahkamah di Kuala Lumpur pada Rabu telah menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun ke atas seorang pekebun atas dua pertuduhan, iaitu memberi sokongan dan memiliki lebih 200 keping gambar dan rakaman video berkaitan kumpulan militan Negara Islam (IS) dan kumpulan Abu Sayyaf pada tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Zefrul Hashim, 40, selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah ketika sebutan kes itu dijalankan pada Rabu.

Zefrul mengaku tidak bersalah semasa dituduh di mahkamah yang sama, pada 17 November, tahun lalu.

Lelaki berkenaan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan menyokong IS, manakala bagi pertuduhan memiliki bahan berkaitan dua kumpulan tersebut, beliau dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun.

Bagaimanapun, Hakim Azman memerintahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak dari tarikh Zefrul ditangkap, iaitu pada 16 Mac, 2017.

Menurut kertas pertuduhan, Zefrul memberi sokongan kepada IS dan Abu Sayyaf dengan menggalakkan atau mendorong seorang individu dikenali sebagai ‘Zahra Alisha’ yang dipercayai teman wanitanya meninggalkan Malaysia untuk menyertai kumpulan pengganas berkenaan, melalui perbualan antara mereka dalam aplikasi media sosial Facebook Messenger dengan menggunakan nama ‘Abu Qaqa’.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Tingkat Perpaduan 22, Taman Perpaduan, Ulu Kinta, Perak, antara 18 Feb dan 9 Mac 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, Zefrul didakwa memiliki sebanyak 109 keping gambar dan 116 rakaman video berkaitan perlakuan dan perbuatan pengganas IS, di dalam telefon bimbit miliknya, pada jam 3.50 petang, 6 Mac 2017, di tempat sama.

Bagi pertuduhan pertama, Zefrul didakwa mengikut Seksyen130J (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun, atau denda atau boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau dengan niat untuk melakukan kesalahan tersebut.

Manakala, bagi pertuduhan kedua pula, Zefrul didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan tersebut.

'Jagalah ibu bapa'

Dalam penghakimannya, Hakim Azman berkata mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman, kerana kesalahan yang dilakukan oleh Zefrul adalah serius, termasuk menyimpan gambar orang disembelih dan ditembak hingga pecah kepala.

Beliau juga memesan Zefrul untuk menjaga ibu-bapanya dengan baik.

"Kalau ada ibu bapa dan keluarga, jangan bagi alasan hendak pergi berjihad, jagalah mereka kerana itulah yang amat penting. Allah janji siapa yang jaga ibu bapa dan keluarga dijamin masuk syurga,” katanya.

Terdahulu, Zefrul yang tidak diwakili peguam, meminta dijatuh hukuman ringan atas alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor pula memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan oleh tertuduh.

Menurut keterangan saksi terlindung, Zefrul telah berhasrat untuk berhijrah ke Syria bagi menyertai kumpulan IS di sana, namun menukar fikiran untuk ke Basilan, Filipina kerana kos perjalanan lebih rendah dan ingin mati syahid cepat susulan berlaku peperangan antara tentera Filipina dan Abu Sayyaf.

Dalam tempoh empat tahun yang lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan kira-kira 370 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas termasuk IS.

Selain itu, seramai 34 rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh semasa berjuang untuk IS di Iraq dan Syria manakala 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak dipercayai masih berada di Syria, tetapi mungkin telah melarikan diri dari bandar-bandar di mana berlaku pertempuran.

Para pegawai berkata, rakyat Malaysia itu mungkin mendapatkan perlindungan di kem-kem yang berada di sempadan Jordan dan Turki.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta penduduk termasuk 19.5 juta umat Islam, telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman yang berkaitan dengan IS sejak 2013, kata pegawai keselamatan. Satu serangan berkaitan IS berlaku di sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada Jun 2016 yang mengakibatkan lapan orang cedera.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.