IS: Anggota Polis Wanita Dipenjara Tujuh Tahun

Shuman Vasu
2016.12.06
Kuala Lumpur
161206-my-jusninwati-620.jpg Koperal Jusninawati Abdul Ghani dari Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor semasa ditahan anggota polis dari Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, 22 Mac 2016.
[Ihsan PDRM Bukit Aman]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap seorang anggota polis wanita berpangkat koperal selepas didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja tidak memberikan maklumat berkaitan kumpulan Negara Islam (IS) tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Nordin Hassan ketika menjatuhkan hukuman tersebut, memberitahu adalah tidak munasabah bagi pesalah Jusninawati Abdul Ghani, 35, yang merupakan seorang anggota polis menyimpan maklumat mengenai beberapa individu yang berjuang untuk IS di Syria.

“Tertuduh gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota polis dalam memberi maklumat bahawa Abu Kedah (Abd Ghani Yaacob, seorang militan Malaysia yang terbunuh di Syria) akan ke Syria untuk menyertai kumpulan Daesh,” kata Nordin yang menggunakan istilah Daesh bagi IS.

Nordin memutuskan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan dan berpendapat anggota polis itu melanggar undang-undang yang serius.

Hukuman penjara maksimum tujuh tahun dibawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan itu akan bermula dari tarikh ibu dua anak itu ditangkap pada 22 Mac lepas.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, antara Ogos 2015 dan Mac 2016.

Jusninawati juga membantu tiga militan IS untuk mendaftar akaun Facebook dan juga satu lagi akaun Facebook untuk merekrut militan IS.

Nordin juga menolak kenyataan Jusninawati dalam kandang tertuduh bahawa beliau berfikiran militan itu hanya “bercakap kosong” mengenai IS dan akan ke Syria, dan oleh itu, tidak melihat keperluan untuk melaporkan perkara itu kepada pihak atasan.

Pendakwaan dijalankan oleh Azlina Rasi manakala Nik Zarith Nik Moustapha mewakili tertuduh

Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bukit Aman ketika dihubungi memberitahu BeritaBenar bahawa pihak berkuasa Malaysia telah menahan tiga anggota polis yang terbabit dalam aktiviti IS sejak dua tahun lepas selain Jusninawati.

Jusninawati yang pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah mengaku tidak bersalah pada awal tahun ini.

Dalam pada itu, semasa rayuan kes, peguam tertuduh, Nik Zarith meminta hukuman yang ringan dikenakan keatas anak guamnya kerana ia merupakan kesalahan pertama bagi anggota polis itu.

Menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat, kira-kira 1,000 orang dari Malaysia dan tempat lain di Asia Tenggara telah menyertai IS di Syria dan Iraq pada akhir tahun lepas

"Semua orang terdedah kerana IS mempunyai propaganda yang kuat dan telah menembusi media yang membawa keuntungan kepada mereka," kata Ayob Khan kepada BeritaBenar.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli pada bulan Mei telah mendedahkan kes Jusninawati, yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membolehkan seseorang ditahan tanpa bicara selama 28 hari.

Rafizi pada ketika itu mendakwa Jusninawati tidak sepatutnya dituduh dan mendakwa wanita itu dilarang memakai hijab semasa dalam tahanan di Kajang.

"Saya bimbang masyarakat secara umumnya mempunyai stigma dengan kes-kes di bawah Sosma dan dengan mudah membuat kesimpulan bahawa mereka yang didakwa adalah pengganas," katanya sambil memberitahu Jusninawati ialah seorang ibu tunggal yang mempunyai dua anak kecil dan menanggung seorang ibu yang sudah berusia lanjut.

Pada Jun lepas, dua lelaki yang dikaitkan dengan IS telah membuat serangan di kelab malam Movida di Puchong pada Jun lepas – serangan pertama yang IS mendakwa berjaya dilakukan di bumi Malaysia. Kedua-dua suspek yang telah ditangkap itu sedang menunggu perbicaraan pada 14 Jan tahun hadapan.

Statistik rakyat Malaysia yang berada di Syria adalah seramai 56 orang iaitu 27 orang lelaki, 12 wanita , sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan.

“Seramai 27 orang telah meninggal dunia dan lapan orang sudah kembali ke Malaysia dengan 260 orang termasuk warga negara asing daripada pelbagai negara lain, ditahan PRDM kerana penglibatan dalam kumpulan militan sejak 2013.

Katanya, antara jumlah itu, 14 adalah anggota tentera dengan empat daripada mereka adalah komando,  imam masjid, pensyarah universiti dan juga pegawai kerajaan yang mempunyai gelaran “Datuk.”  

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.