Promosi Keganasan Di Media Sosial: Remaja Mengaku Tidak Bersalah

Desmond Davidson
2017.02.14
Kuching, Sarawak
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
170214-my-IS-sabah-620.jpg Foto yang dikaburkan oleh polis menunjukkan pegawai anti-keganasan Malaysia menangkap seorang penganggur yang dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas Negara Islam di Kuala Lumpur, 29 Jan, 2017.
[Ihsan PDRM/Anis Natasha]

Seorang remaja dari negeri Sabah telah didakwa di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Selasa atas lima tuduhan menyokong dan mempromosikan kumpulan militan Negara Islam (IS) melalui laman Facebook dan aplikasi dalam talian bernama Telegram.

Remaja berusia 18 tahun yang tidak dinamakan itu mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di antara Disember 2015 dan Ogos 4 tahun lepas di Blok 7, Yii Villa Apartment, Jalan Buli Sim-Sim, Sandakan, Sabah.

Hakim Ravinthran Paramaguru menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes tersebut.

Tertuduh diwakili peguam Majnah Abdillah dan pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menggalakkan kelakuan ganas dan juga mempromosikan keahlian IS.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga dan keempat, remaja itu juga didakwa menyokong kumpulan IS.
Pertuduhan pertama sehingga keempat telah dilakukan oleh tertuduh melalui akaun Facebook dan Telegram.

Bagi pertuduhan kelima, remaja itu dituduh memiliki peralatan berkaitan kumpulan IS dalam telefon bimbitnya.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 271 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dimana 66 individu telah pun dibebaskan, menurut angka terbaru daripada kerajaan.

Ramai dikalangan anggota baru yang direkrut di Malaysia mempercepatkan upacara angkat sumpah menyertai kumpulan pelampau Negara Islam (IS) melalui aplikasi dalam talian, kata Ketua Anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Sumpah kesetiaan dikenali sebagai "Bai'ah", dalam Bahasa Arab bermaksud "kesetiaan" - hanya mengambil masa kira-kira seminit melalui aplikasi seperti Telegram, dan ini membolehkan IS  meningkatkan jumlah anggota barunya dengan lebih cepat kerana mereka tidak perlu lagi mengangkat sumpah secara tradisional di hadapan seorang pemimpin IS, kata Ayob Khan Mydin Pitchay.

Kebanyakan mereka yang menyertai kumpulan dan telah ditangkap oleh cawangan khas PDRM, dipercayai telah bersumpah dalam talian tanpa menemui pemimpin IS, kata pegawai kanan polis itu.

"Pada masa dahulu, anggota baru perlu menghadiri satu majlis dan bersalaman dengan pemimpin. Hari ini, mereka boleh melakukannya dalam talian, dengan hanya menggunakan aplikasi, " kata Ayob tanpa memberi angka berapa ramai anggota IS Malaysia telah berbuat demikian.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh