Dari Jakarta Ke Delhi, Pemimpin Asia Kutuk Serangan Hari Bastille Di Perancis

Staf BeritaBenar
2016.07.15
160715-SA-nice-reacts-620 Orang ramai meletakkan jambangan bunga di sebatang jalan di Nice, Perancis, sehari selepas seorang lelaki merempuh ke arah orang awam dengan sebuah lori semasa mereka sedang berpesta untuk menyambut Hari Bastille, sehingga menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 84 orang, 15 Julai 2016.
AFP

Pemimpin –pemimpin dari seluruh Asia Tenggara dan Asia Selatan pada Jumaat menyertai kutukan antarabangsa terhadap serangan sebuah trak di Riviera, Perancis yang membunuh sekurang-kurangnya 84 orang dan mencederakan lebih ramai lagi ketika Perancis sedang menyambut sambutan  Hari Bastille.

Pembunuhan beramai-ramai itu berlaku apabila seorang lelaki bersenjata dilaporkan merempuh ke arah orang ramai yang sedang berkumpul untuk menyaksikan pertunjukan bunga api pada malam Khamis di sepanjang pinggir pantai Promenade des Anglais di bandar Nice.

Dalam pada itu, Duta Malaysia ke Perancis, Ibrahim Abdullah berkata, seorang pelajar Malaysia cedera dalam serangan berkenaan dan kini sedang dirawat di Hospital Pasture di Nice.

“Pelajar Malaysia yang menuntut di Singapore University of Technology and Design itu sedang mengikuti program pertukaran di Perancis,” kata duta itu tanpa memaklumkan nama pelajar berkenaan.

Ibrahim semasa dihubungi BeritaBenar dari Washington berkata, "Keadaan di Paris adalah tenang dan, di Nice, kawalan keselamatan adalah sedikit ketat selepas kejadian serangan itu. Bagi rakyat Malaysia di Paris atau mereka yang merancang untuk melawat Paris, Pejabat Kedutaan akan terus mengingatkan mereka supaya sentiasa berhati-hati dan sedar akan keadaan sekitar”.

Selepas kejadian itu berlaku, presiden Perancis mengisytiharkan menerusi rangkaian televisyen nasional pada awal pagi Jumaat bahawa serangan itu merupakan tindakan keganasan.

Perdana Menteri India Narendra Modi meluahkan rasa terkejut dan marah terhadap serangan itu.

"Terkejut dengan serangan kejam di Nice. Saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan keganasan yang tidak wajar berlaku. Ingatan saya bersama keluarga mereka yang terbunuh, "kata Modi melalui Twitter. "India berkongsi kedukaan ini dan berdiri teguh bersama rakyat Perancis dalam kesedihan ini.

Presiden Indonesia Joko "Jowoki" Widodo juga menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Perancis melalui tweet.

"Serangan di Perancis itu sangat kejam. Indonesia bersatu dalam perpaduan, "katanya.

Dahnil Anzar Simanjuntak, Pengerusi Pemuda Muhammadiyah, salah satu kumpulan Islam terbesar dan paling berpengaruh di negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia – berkata kepada BeritaBenar pada Jumaat. "Pengganas telah membawa tamadun dunia ke dalam konflik. Itulah yang mereka tunggukan. "

'Perancis sedang menangis': Hollande

Serangan itu merupakan serangan pengganas yang ketiga terhadap Perancis dalam tempoh 18 bulan yang berlaku ketika rakyat Perancis sedang meraikan hari yang menandakan revolusi penggulingan sistem monarki dan penubuhkan sebuah republik yang berasaskan prinsip Kebebasan, Kesaksamaan dan Persaudaraan.

Prinsip tersebut dilambangkan melalui jalur merah, putih dan biru yang menghiasi bendera Perancis. Bendera tiga warna itu telah diturunkan separuh tiang pada Jumaat yang menandakan seluruh negara itu sedang berkabung, yang akan bermula pada Sabtu, menurut laporan.

"Perancis telah diserang pada Hari Kebangsaannya, 14 Julai, lambang kebebasan, kerana hak asasi manusia telah dinafikan oleh kumpulan fanatik, dan kerana jelas sekali Perancis menjadi sasaran mereka ..." Presiden Perancis Francois Hollande memberitahu yang penduduk negara yang kini dalam kesedihan.

"Perancis kini berkabung, tetapi ia kuat dan akan menjadi lebih teguh daripada fanatik yang berusaha untuk menyerang hari ini - itu jaminan saya kepada anda katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Perancis.

Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah antara badan antarabangsa yang turut mengutuk serangan itu.

Angka kematian kejadian itu termasuk sekurang-kurangnya 10 orang kanak-kanak sementara 202 orang lagi cedera, termasuk 52 dalam keadaan kritikal, lapor agensi berita BBC.

Pihak berkuasa Perancis telah mengenal pasti lelaki bersenjata itu, yang kemudiannya terbunuh selepas ditembak oleh polis, sebagai Mohamed Lahouaiej-Bouhlel, seorang lelaki kelahiran Tunisia, 31, yang bekerja menghantar barang dan tinggal di kawasan Nice. Polis mempunyai maklumat  mengenai beliau tetapi tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas sebelum ini, lapor agensi berita BBC.

Menurut laporan berita, tiada kumpulan militan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu. Bagaimanapun, penyokong kumpulan militan Negara Islam meraikan pembunuhan beramai-ramai di Nice melalui perbualan di internet, mengikut risikan SITE, sebuah laman web yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang memantau komunikasi dalam talian oleh pelampau.

'Serangan kejam'

Beberapa serangan berasingan telah berlaku sepanjang bulan Jun dan awal Julai yang menyasarkan kelab malam di Florida, Amerika Syarikat; Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turki; kawasan membeli-belah di Baghdad, Iraq; serangan di kota suci umat Islam di Madinah, Mekah; kafe Holey Artisan Bakery di kawasan diplomatik Dhaka, Bangladesh.

Manakala beberapa serangan berskala kecil dikaitkan dengan IS mengambil tempat di luar bar berhampiran Kuala Lumpur dan sebuah balai polis di Solo, di kawasan Jawa Tengah Indonesia.

Pegawai-pegawai kerajaan India dan Indonesia berkata, setakat ini, mereka tidak menerima laporan dari Perancis mengenai rakyat negara itu yang terbunuh atau cedera dalam serangan berkenaan.

Di Bangkok, Kementerian Luar Thailand mengeluarkan kenyataan yang menyatakan "Kementerian Luar Thai dimaklumkan oleh kedutaan di Paris bahawa ia sedang memantau keadaan, dan kami menasihatkan semua warga Thailand di Perancis serta mereka yang merancang untuk melawat negara itu supaya mengelakkan tempat awam dan perhimpunan besar-besaran," kata kementerian itu.

Tia Asmara di Jakarta, Razlan Rashid di Kuala Lumpur, Nani Yusof di Washington, Kamran Reza Chowdhury di Dhaka, Rohit Wadhwaney di New Delhi, dan Pimuk Rakkanam di Bangkok menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.