Follow us

Polis Malaysia Buru Empat Suspek IS Termasuk Rakyat Thailand

N. Nantha & Zam Yusa
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu
2018-04-16
E-mel
Komen
Share
Anggota-anggota tentera dan polis Malaysia meronda di luar sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, 25 Jan 2016.
Anggota-anggota tentera dan polis Malaysia meronda di luar sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, 25 Jan 2016.
[AP]

Seorang warganegara Thailand adalah antara empat suspek sel IS yang diburu oleh pihak berkuasa Malaysia kerana didakwa terlibat dengan  kegiatan pengganas, termasuk rancangan untuk mengebom rumah ibadat bukan Islam, kata ketua polis negara itu pada Isnin.

Empat suspek itu dapat meloloskan diri daripada serbuan polis manakala enam lagi ditahan semasa operasi penguatkuasaan undang-undang dijalankan antara 27 Feb dan 1 Mac, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan.

"Kami percaya bahawa empat individu itu adalah saki baki sel [IS] dan mereka masih bebas dan berbahaya," kata Fuzi.

Polis mengenal pasti suspek berkenaan sebagai Muhamad Faizal Muhamad Hanafi, 28, dan bapanya yang berusia 51 tahun, Muhamad Hanafi yang berasal dari Kelantan, Nor Farkhan Mohd Isa dari Johor dan Awae Wae-Eya, 37, warganegara Thailand yang dipercayai berasal dari Narathiwat, sebuah wilayah pemberontak di selatan negara itu.

Empat lelaki berkenaan dipercayai bersembunyi di selatan Thailand, satu sumber perisikan, yang enggan namanya disiarkan, memberitahu BeritaBenar.

Fuzi mengeluarkan kenyataan itu tiga minggu selepas Malaysia memfailkan pertuduhan terhadap dua suspek IS yang merancang mengebom rumah ibadat bukan Islam di negeri selatan, Johor. Seorang lagi suspek militan turut didakwa di Johor kerana menyimpan video pro-IS dalam telefon bimbit dan tablet miliknya, kata para pegawai.

Ketiga-tiga mereka dipercayai sebahagian daripada sel pengganas dan ditangkap oleh pegawai-pegawai anti-pengganas Malaysia dalam serbuan berasingan pada akhir Februari di negeri itu, kata Fuzi dalam kenyataan pada 26 Mac. Pihak berkuasa tidak menamakan rumah ibadat berkenaan dalam kertas pertuduhan.

Siasatan menunjukkan bahawa Awae telah ke negeri Pahang pada 2016  tetapi tidak jelas mengapa beliau mengunjungi kawasan itu, kata para pegawai.

Fuzi turut memberi amaran bahawa mereka yang menyembunyikan maklumat atau melindungi suspek pengganas itu boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan Malaysia.

180416-MY-TH-Thai-suspect-mug-200.JPG Awae Wae-Eya [Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Pakar: Ada penduduk Selatan Thailand Bersimpati dengan IS

Pada Februari, polis Malaysia menyatakan rasa curiganya bahawa beberapa militan pro-IS yang ditahan di negeri Kelantan telah menerima latihan pembuatan bom di beberapa negara, termasuk negara jiran, Thailand.

Sejak sekian lama, kerajaan Thailand menafikan kewujudan militan IS di buminya atau penyeludupan senjata api merentasi sempadan selatannya ke Malaysia untuk menyokong kegiatan keganasan.

Tetapi, Ahmad el-Muhammady, seorang pakar anti-keganasan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, beliau tidak terkejut bahawa seorang militan IS adalah dari wilayah Islam di selatan Thailand, di mana pemberontakan puak pemisah berlaku sejak beberapa dekad lalu.

"Saya boleh mengesahkan bahawa kumpulan yang bersimpati dengan IS itu ada di Selatan Thailand berdasarkan perbualan saya dengan penduduk di sana dan lawatan lapangan ke wilayah-wilayah selatan Thailand, serta penyelidikan di media sosial," kata el-Muhammady kepada BeritaBenar.

"Mereka sendiri memberitahu saya bahawa walaupun perjuangan mereka di selatan Thailand adalah berkaitan isu domestik yang tidak memerlukan penglibatan kumpulan militan asing namun, mereka bersimpati dengan perjuangan kumpulan IS," katanya. "Mereka memberitahu saya bahawa perjuangan mereka dan IS adalah berdasarkan perkara yang sama, iaitu untuk mewujudkan Daulah Islamiyah atau negara Islam. "

El-Muhammady, yang juga penasihat anti-ekstremisme ganas polis Malaysia dan pihak berkuasa penjara berkata, setakat ini, beliau tidak melihat bukti rangkaian operasi IS dalam kalangan penduduk Thailand.

“Tetapi apabila polis Malaysia menamakan seorang rakyat Thailand yang diburunya, saya berani menyatakan bahawa ada penduduk Thailand yang  bersimpati (dengan IS) ... ia telah diterjemahkan kepada operasi berbahaya oleh pengendali atau pelaksana operasi," katanya. "Kerajaan Thailand tidak boleh lagi menafikan kewujudan operasi IS di bumi mereka."

"Mereka perlu mula membanteras masalah ini," katanya, "sebelum ia berkembang  dari operasi beberapa individu IS ke rangkaian penuh yang mengancam keselamatan negara dan serantau."

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak memberitahu forum pertahanan pada Isnin bahawa 389 orang telah ditangkap di Malaysia sejak 2013 kerana disyaki terlibat dengan kegiatan berkaitan IS.

Beliau berkata, seramai 34 daripada 95 rakyat Malaysia yang diketahui  menyertai kumpulan IS di Syria dan Iraq, telah terbunuh di zon konflik.  Sembilan daripada mereka adalah pengebom bunuh diri, katanya.

Lihat Laman Penuh