Pegawai Risikan Malaysia: Video Abu Anas Terbunuh Adalah Benar
2016.02.17
Video yang dimuat naik menunjukkan saat terakhir sebelum kematian Mohd Najib Hussein, seorang anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) bekerakyatan Malaysia yang dipercayai terbunuh di selatan Filipina, pada 16 Disember lalu, disahkan benar oleh seorang pegawai risikan Malaysia kepada BeritaBenar.
Mohd Najib yang lebih dikenali sebagai Abu Anas Al-Muhajir yang dipercayai pakar membuat bom untuk kumpulan Abu Sayyaf, dilaporkan terbunuh dalam satu pertempuran dengan tentera Filipina di Pulau Basilan pada 16 Disember lepas, seperti dilaporkan media tempatan Malaysia.
Laman media IS berbahasa Rusia, Yayasan Media Al-Furat, telah memuat naik sebuah video di laman Youtube selama tujuh minit empat puluh saat yang menunjukkan saat-saat terakhir Abu Anas, 37 , sebelum dia menemui ajal beberapa hari lepas.
Video itu yang dipercayai dirakam menggunakan telefon mudah alih juga memaparkan tiga lelaki bersenjata dilihat memakai pakaian seragam dengan latar belakang bunyi tembak-menembak di antara militan dan tentera Filipina di kawasan hutan di selatan Filipina.
‘Video itu adalah benar’ kata pegawai risikan Malaysia itu, menjawab soalan aplikasi Whatsapp BeritaBenar, tanpa mengulas lanjut mengenainya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar semasa menjawab soalan mengenai pengesahan kematian Abu Anas itu menjawab soalan BeritaBenar menerusi aplikasi Whataspp dengan berkata "Saya tidak dapat mengesahkan perkara ini [kematian Abu Anas] kerana kita masih belum lagi menerima sebarang laporan daripada kerajaan Filipina,”
Bagaimanapun video itu, yang turut cuba menggambarkan Mohd Najib sebagai mati syahid telah dikeluarkan daripada siaran Youtube yang telah memaklumkan bahawa video tersebut telah melanggar syarat perkhidmatan laman berkenaan.
Emir Briged Ansar Al-Shariah
Video berkenaan yang mempunyai sarikata dalam Bahasa Inggeris menyiarkan gambarnya dan menggelarkan Abu Anas sebagai Emir Briged Ansar Al-Shariah.
BeritaBenar dalam satu laporan bulan lepas memaklumkan bahawa Abu Anas telah disahkan mengetuai briged tersebut dan dipertanggungjawabkan dengan pelbagai perkara termasuk melaksanakan undang-undang kumpulan berkenaan.
Laporan itu juga menyebut pada awal tahun ini, IS telah mengumumkan penyatuan empat briged di Filipina termasuk briged yang berada di bawah pimpinan Abu Anas.
Keempat-empat briged itu juga mengumumkan kesetiaan pemimpin-pemimpin mereka kepada khalifah IS yang melantik dirinya sendiri, Abu Bakr al-Baghdadi.
Tiga briged yang lain adalah Ma’rakah al-Ansar, Ansarul Khilafah Filipina dan al-Harakatul al-Islamiyyah yang berpangkalan di Basilan.
Laporan itu turut menyebut IS berkemungkinan mewujudkan cawangannya di Filipina dan mengisytiharkan pulau selatan Mindanao sebagai Wilayah (daerah) dengan melantik Isnilon Hapilon Totoni sebagai pemimpin keseluruhan cawangan IS di Filipina.
Sementara itu pada 16 Disember lalu, The Philippine Daily Inquirer melaporkan bahawa 13 militan Abu Sayyaf dan dua tentera terbunuh dalam pertempuran di Al Barka, Basilan, manakala 10 anggota tentera yang lain cedera.
Major Filemon Tan, seorang jurucakap Komander Mindanao Barat berkata, pertempuran pada Selasa [15 Disember] adalah pertempuran hari ketiga antara tentera kerajaan dan kumpulan pengganas.
“Ia adalah satu pertempuran dengan kumpulan Abu Sayyaf dan satu operasi fokus ketenteraan, sebelum ini, terdapat satu operasi perisikan yang membawa kepada pengenalpastian sarang kumpulan berkenaan, "kata Tan seperti dilaporkan oleh media Filipina itu.
Bagaimanapun, tambah beliau, tentera tidak menemui mayat anggota kumpulan Abu Sayyaf yang terbunuh itu.
Tokoh IS Black Flag
Abu Anas yang merupakan graduan Kejuruteraan Elektrik dikatakan mengembara ke Filipina dan bertemu dengan kumpulan militan. Beliau antara orang yang pertama mengangkat sumpah sebagai anggota IS.
Media tempatan Malaysia telah melaporkan Mohd Najib, seorang bekas penjual buku di Universiti Malaya, di antara 13 lelaki bersenjata Abu Sayyaf yang maut dalam pertempuran itu.
Abu Anas, bapa kepada lima orang anak juga dilaporkan antara tokoh utama dalam sel Bendera Hitam IS (IS Black Flag) yang dipimpin oleh Professor Universiti Malaya Dr Mahmud Ahmad atau dikenali sebagai Abu Handzalah.
Media tempatan negara itu juga melaporkan, Dr Mahmud seorang bekas pensyarah univerisiti di Malaysia terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan tentera Filipina pada Disember itu.
Abu Anas adalah orang kanan Dr Mahmud, dipercayai mengendali operasi kilang bom IS yang dikenali sebagai "IED SME" (Improvised Explosive Device, Small Medium Enterprise) di Filipina dan telah menggunakan tempat persembunyian Abu Sayyaf di Basilan dan Jolo sebagai pangkalan untuk operasi IS di Asia Tenggara.
Abu Anas bersama-sama Dr Mahmud serta beberapa orang pengganas IS dipercayai berlepas ke Filipina pada Julai 2014.