Malaysia Keluarkan Senarai Penculik Abu Sayyaf
2015.08.07

Pihak berkuasa Malaysia mengeluarkan senarai nama lapan orang lelaki yang dipercayai menganggotai kumpulan Abu Sayyaf yang sangat dikehendaki kerana terlibat dalam jenayah rentas sempadan dan penculikan di Sabah.
Lapan orang lelaki itu ialah Nelson @ Nikson, Braun @ Brown, Badong, Bocoi @ Black dan Khadafi, Salip Sosong @ Mohammad Apsa Abdulla, Ali@ Brown dan Manajan @ Marajan.
Kesemua mereka itu dipercayai dari Kumpulan Muktadil Bersaudara dan senarai nama berkenaan dikeluarkan oleh pentadbiran Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) pada Jumaat.
Senarai yang sama juga telah dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Jalaluddin Abd Rahman awal tahun ini.
ESSCom, sebuah ejen penguatkuasaan keselamatan bagi Zon Selamat Timur Sabah (ESSZOne), telah diwujudkan pada 1 April 2013 selepas berlakunya insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu awal tahun yang sama.
Pencerobohan di Tanduo oleh kumpulan bersenjata yang mendakwa sebagai tentera Diraja Kesultanan Sulu, merupakan satu peristiwa hitam dalam sejarah Malaysia. Lapan anggota polis dan dua anggota tentera terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan penjenayah semasa pencerobohan itu berlaku.
Sejak it, kerajaan Malaysia mengambil langkah memperkenalkan ESSCom sebagai ejen penguatkuasa bagi EssZOne, kawasan merangkumi 10 daerah meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Komander ESSCom, Abdul Rashid Harun meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kesemua lelaki itu supaya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi melancarkan operasi penangkapan.
Menurut polis, Nikson dipercayai tinggal di Kampung Bangau-Bangau, Semporna dan terlibat dalam penculikan pelancong China, Gao Huayun, 29 dan pekerja dari Filipina, Marcy Darawan, 40, di Singamata Resort, pada 2 April tahun lalu.
Manakala adiknya, Badong@Adzmil Muktadil dipercayai mengarahkan lebih 40 orang lelaki untuk menculik bagi mendapatkan wang tebusan. Beliau mempunyai empat bot yang dilengkapi enjin sangkut dengan 40 dan 70 kuasa kuda.
Pada 20 Mei lepas, Polis Filipina menembak mati ketua kumpulan Muktadil Bersaudara yang dipercayai mempunyai hubungan dengan Abu Sayyaf dan terlibat dalam penculikan dua rakyat Malaysia dan beberapa warga asing.
Mindas Manda @ Muktadil, dibunuh dalam satu insiden berbalas tembakan dengan pegawai keselamatan di Wilayah Jolo, Kepulauan Sulu di selatan Filipina, menurut laporan tentera Filipina.
Komander Pasukan Petugas Bersama Sulu, Kolonel Allan Arrojano berkata, Mindas dipercayai enggan menyerah diri selepas beliau dikepung di pasar Jolo dalam insiden tembak menembak dengan pihak berkuasa negara itu.
Arrojano berkata Mindas dan adiknya, Kadafy dipercayai terlibat dalam kes penculikan pengurus restoran Ocean King Seafood, Thien Nyuk Fun, 50 dan Bernard Then Ted Fen, 39, yang bekerja sebagai jurutera di negeri Sabah pada 14 Mei lepas.
Dalam insiden itu empat lelaki dipercayai kumpulan Abu Sayyaf telah menculik dua rakyat Malaysia di sebuah restoran makanan laut di Sandakan.
Kedua-dua mangsa itu masih berada di dalam tahanan kumpulan itu, dan penculikan berkenaan dipercayai didalangi oleh pendatang tanpa izin yang telah lama berada di Sabah serta diambil bekerja.
Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha pelancongan supaya tidak mengambil pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah bagi memastikan insiden penculikan tidak berulang di kawasan lain di ESSZone.
"Sebab itu, saya minta pengusaha pelancongan khususnya di daerah Semporna ini supaya sentiasa berwaspada, insiden penculikan di Ocean King Seafood menjadi pengajaran kepada kita semua," katanya.
Sementara itu pada Rabu lepas, Jalaluddin berkata, kumpulan Muktadil Bersaudara telah menuntut RM30 juta bagi pembebasan dua rakyat Malaysia yang diculik itu.
Katanya, rundingan masih diteruskan dengan penculik untuk mengurangkan wang tebusan yang pada mulanya meminta sebanyak RM60 juta.
Lebih daripada 20 orang termasuk pelancong telah dijadikan tebusan oleh Abu Sayyaf di sebuah pusat peranginan di Sipadan pada tahun 2000.