Malaysia Serah Lapan Anggota Abu Sayyaf Kepada Filipina

Proses penyerahan kepada pihak berkuasa Filipina itu dibuat di sempadan perairan antarabangsa antara Sandakan dan Taganak.
Noah Lee & Ken Chang
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu
2021-05-28
Share
Malaysia Serah Lapan Anggota Abu Sayyaf Kepada Filipina Pegawai penguatkuasa Malaysia menyerahkan dokumen deportasi lapan lelaki disyaki ahli kumpulan Abu Sayyaf kepada komander pasukan petugas khas Tawi Tawi dari Filipina, Brigadier Jeneral Arturo G Rojas, di perairan antarabangsa antara Sabah dan Filipina, 28 Mei, 2021.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia Sabah]

Pasukan keselamatan Malaysia pada Jumaat menyerahkan lapan individu yang disyaki anggota militan Kumpulan Abu Sayyaf kepada tentera Filipina dengan penyerahan itu dibuat di persempadanan perairan antarabangsa antara kedua-dua negara, demikian disahkan pegawai kepada BenarNews.

Kumpulan lelaki tersebut yang menyusup masuk ke dalam Malaysia sebelum ini telah ditangkap kira-kira tiga minggu lalu selepas pihak berkuasa Filipina memaklumkan polis Malaysia mengenai keberadaan mereka di dalam Sabah.

Ketua Polis Sabah Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan bahawa kelapan-lapan individu berkenaan telah diserahkan dalam satu pertemuan antara pihak berkuasa kedua-dua negara di sempadan perairan negara berhampiran Sandakan kira-kira jam 8 pagi Jumaat.

"Ya, kesemua suspek telah diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina hari ini susulan permintaan dibuat negara itu dan mereka dihantar pulang ke negara asal mengikut Seksyen 32(1) Akta Imigresen Malaysia," tambah beliau lagi.

Pengusiran mengikut Akta Imigresen itu boleh dibuat dengan arahan Ketua Pengarah selepas tertuduh disabitkan kesalahan mengikut beberapa subseksyen yang dikenalpasti.

Lapan supsek yang diusir keluar itu dikenalpasti sebagai Sansibar Bencio, Hamzah Faizal, Ladin Faizal, Munimar Binda, Firdaus Omar, Sansis Mohamad, Halim Akhir dan Yusof Akram.

Kesemua mereka disyaki menganggotai kumpulan Abu Sayyaf, yang mempunyai pertalian dengan organisasi pengganas antarabangsa Negara Islam [IS].

BenarNews telah dimaklumkan bahawa penyerahan kesemua suspek berkenaan dibuat di perairan antarabangsa yang memisahkan antara Sandakan di Sabah dan Taganak, di Filipina.

Delegasi pasukan keselamatan Malaysia diketuai oleh Hazani sendiri, yang diiringi oleh komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Ahmad Fuad Othman serta beberapa pegawai dari pasukan polis dan ESSCom.

Delegasi Filipina pula diketuai oleh Brigadier Jeneral Arturo G Rojas, iaitu komander pasukan petugas khas Tawi Tawi dengan diiringi Kolonel Hernanie Sungano dari Briged Ke-4 Marin Sulu, bersama beberapa pegawai tentera Filipina dan polis negara tersebut.

Sementara itu, Imigresen Filipina menyatakan bahawa mereka telah menerima penyerahan lapan suspek berkenaan melalui satu proses yang berjalan lancar.

BenarNews baru-baru ini melaporkan bahawa pasukan keselamatan di Sabah memberkas lapan suspek militan Kumpulan Abu Sayyaf bersama lapan wanita dan 21 kanak-kanak selepas mereka ditemukan bersembunyi di sebuah kawasan paya pada 8 Mei lalu.

Kesemua mereka dipercayai bersembunyi di Malaysia lebih setahun lalu dengan serbuan itu dibuat susulan perkongsian maklumat antara pegawai Filipina dan Malaysia manakala baki tahanan yang lain pula masih ditempatkan di Pusat Tahanan Imigresen di Kota Kinabalu.

Selepas penahanan kesemua mereka, pada 17 Mei lalu, anggota keselamatan Sabah telah menembak mati lima anggota Kumpulan Abu Sayyaf dalam satu kejadian berbalas tembak di kawasan Taman Sri Arjuna di Beaufort.

Antara mereka yang terbunuh termasuk pemimpin kecil kumpulan tersebut bernama Mabar Binda, dan ahli biasa Jurakhdam Binda @ Jura @ Abu Jura, Alsimar Sukarno, Abhirham Samsula @ Samsed, dan seorang lagi yang identitinya belum dikenalpasti.

Kesemua mereka terbunuh selepas berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi susulan bagi menangkap saki baki kumpulan tersebut, susulan serbuan pada 8 Mei.

Ekoran kejadian tersebut, pasukan keselamatan di Sabah telah diarahkan supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan serangan balas oleh elemen-elemen berkaitan Kumpulan Abu Sayyaf yang berada di negeri pantai timur Kepulauan Borneo yang bersempadanan dengan Filipina.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh