Siapakah Arakan Rohingya Salvation Army?

Komentari oleh Zachary Abuza
2017.09.01
170831-MY-BD-ARSA-620.jpg Dalam gambar dirakam daripada video yang dimuat naik dalam YouTube, seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Ataullah Abu Jununi (tengah), ketua Arak Rohingya Salvation Army (ARSA), menyampaikan kenyataan kepada kerajaan Myanmar dan kumpulan etnik di negeri Rakhine, 28 Ogos, 2017.
[BeritaBenar]

Pemberontakan Rohingya mula meraih tarikan.

'Pogrom' atau penganiayaan terancang dan keganasan anti-Muslim peringkat rendah telah meletus pada 2012, semasa peralihan demokrasi Myanmar. Di sebahagian besar negara itu, perbuatan sedemikian dibenarkan berleluasa kerana komuniti antarabangsa cuba menyokong kerajaan demokrasi baru Aung San Suu Kyi.

Tidak hairanlah, selepas bertahun-tahun berlakunya pencabulan hak asasi manusia secara sistematik termasuk menolak hak kerakyatan atau perlindungan undang-undang lain selain kerajaan mengehadkan kemampuan orang Rohingya untuk bekerja atau mendapatkan makanan dan ubat-ubatan, pemberontakan yang lebih besar meletus.

Pemberontakan itu bermula pada 2016 dan separuh pertama 2017. Kumpulan itu bermula sebagai Harakah al-Yaqin (HaY) diketuai oleh Attullah Abu Ammar Jununi yang dilahirkan di Pakistan dan dibesarkan di Arab Saudi sebelum kembali untuk menerajui perjuangan itu.

Kumpulan ini secara umumnya merujuk dirinya sebagai Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA). Serangan peringkat rendah mula berlaku secara beransur-ansur pada 2016. Kebanyakan keganasan di negeri Rakhine dilakukan oleh para pengawal penganut Buddha yang disokong kerajaan, memandangkan pasukan keselamatan negara tidak mengambil langkah untuk membendungnya.

Namun, ARSA juga bertanggungjawab terhadap beberapa keganasan. Dan, nyata sekali, ia seolah-olah cuba membangkitkan tindak balas berat. Pada Oktober 2016, ARSA melakukan beberapa serangan terhadap pos-pos polis dengan parang dan senjata primitif lain.

Kerajaan bertindak balas dengan melakukan pogrom termasuk serangan terhadap orang awam dan membakar kampung-kampung Rohingya. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan keganasan yang berlaku dari Oktober hingga November 2016 menyebabkan kira-kira 87,000 pelarian Rohingya menyeberang masuk ke tenggara Bangladesh, yang sudah pun dibanjiri oleh kira-kira 400,000 orang Rohingya.

Awal bulan ini, dua hari selepas Wakil Khas PBB Kofi Annan mengeluarkan laporannya mengenai dakwaan salah laku kerajaan Myanmar terhadap 11 juta orang Rohingya, kira-kira 150 anggota militan ARSA menyerang 24 hingga 30 pos polis di negeri Rakhine. ARSA mendakwa serangan itu adalah serangan terlebih dahulu pihaknya sebagai langkah mempertahankan diri.

Serangan itu sebenarnya gagal dari segi taktikal: seramai 77 militan terbunuh, dan hanya 11 anggota polis maut dalam pertempuran itu. tetapi, serangan itu tidak dimaksudkan untuk berjaya dari segi taktikal. Ia sebenarnya mahu menjadi kemenangan strategik.

ARSA dengan jelasnya sedar bahawa tentera Myanmar (Tatmadaw) hanya boleh bertindak balas dengan satu cara: iaitu dengan "operasi pembersihan" secara besar-besaran serta tanpa menghiraukan tentang hak asasi manusia. Pada 28 Ogos, jumlah kematian meningkat kepada sekurang-kurangnya 104 orang.

Beberapa hari selepas kejadian itu, beribu-ribu pelarian menyeberang masuk ke Bangladesh dengan 20,000 orang lagi berada di kawasan tanpa milik di sepanjang sempadan. Terdahulu, kira-kira 6,000 pelarian yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak diserang oleh Tatmadaw ketika mereka cuba menyeberangi sempadan negara itu.

Beberapa pemerhati hak asasi manusia menyaksikan kampung-kampung Rohingya dibakar. Human Rights Watch (HRW) melaporkan bahawa dalam empat hari selepas serangan 25 Ogos, bilangan kampung yang dibakar adalah jauh lebih banyak daripada yang dilakukan oleh kerajaan pada Oktober dan November lalu.

'Apakah mereka mempunyai pilihan lain?'

Apa yang membimbangkan adalah dasar-dasar melampau kerajaan Myanmar akan menyebabkan lebih ramai yang direkrut masuk ke ARSA. Inilah amalan yang menggirangkan para ekstremis.

ARSA mendakwa bahawa ia ditubuhkan pada tiga tahun yang lalu. Dek kerana ia amat kecil dan ekstrem, tidak ramai yang mahu menyokongnya. Hanya orang yang tidak waras sanggup menyokong kumpulan kecil yang kurang mendapat pembiayaan untuk menentang tentera Myanmar, yang kini menduduki tempat ke-11 dunia bagi rekod penindasan manusia.

Tetapi, tanpa sebarang perlindungan undang-undang, ramai orang Rohingya yang merasa mereka terpaksa menyertai kumpulan pemberontak. Seperti yang dikatakan seorang pemimpin kampung Rohingya, kira-kira 30 orang pemuda baru sahaja menawarkan diri untuk menyertai ARSA.

"Apakah mereka mempunyai pilihan lain? Mereka memilih untuk bertempur dan mati daripada disembelih seperti kambing. "

Dan, dalam kem-kem pelarian yang menjelikkan di Bangladesh, tindakan menyertai ARSA kini diangap sebagai "farj" – tanggungjawab untuk agama.

Video yang muncul pada akhir Ogos di laman web pro-ARSA dan media sosial menunjukkan apa yang kelihatan sebagai bukti serangan yang sangat kejam oleh pasukan kerajaan dan anggota separa tentera.

Kerajaan  pemenang Hadiah Nobel, Daw Aung San Suu Kyi, secara rasminya melabel ARSA sebagai "pengganas ekstrem Bengali." Beberapa pegawai kerajaan turut menuduh ARSA menggunakan kekerasan untuk menubuhkan "Negara Islam." Nyata sekali, kumpulan itu berasal dari Arab Saudi, dan menggunakan nama Arab, yang mendorongnya untuk dijenama semula kepada ARSA pada 2017.

Memerangi 'penindasan menghapuskan manusia'

Dalam satu kenyataan video pada 18 Ogos, Ataullah Abu Ammar Jununi menjelaskan bahawa ARSA ditubuhkan hanya sebagai tindak balas terhadap penindasan kerajaan dan separa tentera terhadap komuniti Rohingya.

"Objektif utama kami di bawah ARSA ialah membebaskan orang kami  daripada penindasan yang dilakukan oleh semua rejim Myanmar," katanya.

Seterusnya, beliau menjelaskan bahawa kumpulan itu adalah bebas tanpa mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana organisasi pengganas antarabangsa. Beliau juga menyatakan bahawa ARSA tidak menerima pembiayaan daripada organisasi luar.

Sehubungan itu, beliau menyeru diaspora Rohingya untuk menyokong ARSA tetapi dengan "mematuhi & menuruti undang-undang" negara-negara yang didiami mereka. HaY diasaskan oleh sekumpulan 20 orang pelarian Rohingya di Timur Tengah. Nampaknya, mungkin sukar bagi mereka untuk menembusi rangkaian diaspora dan sumber kewangan yang lebih besar dari luar negara.

Dalam video berdurasi 19 minit itu, yang kini telah dikeluarkan daripada media sosial, di mana pemimpin ARSA itu diapit oleh enam lelaki bertopeng dan bersenjata, beliau merumuskan kenyataannya dengan membuat ancaman tersirat terhadap para penganut Buddha Rakhine. Beliau memberi amaran bahawa mereka berdepan tindakan balas jika terlibat sebagai pengawal atau menyokong Tatmadaw.

Walaupun beliau menafikan sebarang kaitan dengan kumpulan ekstremis Negara Islam (IS) (walaupun tidak dinamakan) dan menyeru kepada orang Rohingya supaya tidak terpengaruh untuk menyertai organisasi pengganas, hakikatnya kita tidak tahu sama ada terdapat sebarang hubungan material. Apa yang jelas, beliau mahu HaY/ARSA menjadi organisasi pelopor.

Dan, jelas sekali beliau mempunyai agenda nasionalis dan bukannya agenda transnasional.

Kaitan dengan IS?

Tetapi jika ditentang, bolehkah ia berubah? Atau, adakah ikatan rahsia sudah terjalin?

Kebimbangan yang lebih mendesak sama ada ARSA meminta sokongan daripada organisasi luar atau tidak, nampaknya ia sudah pun mendapatnya. Nasib orang Rohingya adalah berita besar dalam dunia Islam, dan perjuangan mereka dipertahankan oleh kalangan ahli politik, golongan kelas menengah hinggalah oleh golongan Islam yang tegas.

Pihak berkuasa Indonesia juga membongkar dua rancangan pengganas oleh militan yang menyokong Negara Islam untuk meletupkan kedutaan Myanmar di Jakarta, manakala IS mula merujuk kepada orang Rohingya dalam media (walaupun tidak banyak). Di seluruh rantau itu, meningkatnya tindakan menangkap rakyat Bangladesh yang berkaitan dengan kumpulan yang menyokong IS.

Dalam video 18 Ogos itu, Abu Ammar Jununi, turut memuji sokongan negara-negara yang menerima pelarian Rohingya khususnya Bangladesh. Beliau menyatakan bahawa dalam meneruskan usaha "mempertahan diri kita secara sah," ARSA akan "menghormati kepentingan Bangladesh."

Tetapi, ini sememangnya hanyalah suatu khayalan. Kesabaran Bangladesh terhadap kebanjiran pelarian itu, dengan negaranya sendiri dilanda kemiskinan bencana alam, nampaknya semakin menipis.

Apa yang mungkin mengejutkan ARSA kelak adalah pantasnya kerajaan Bangladesh menawarkan diri secara terbuka untuk terlibat dalam operasi ketenteraan bersama-sama dengan tentera Myanmar. Tanpa bantuan de facto daripada Bangladesh, ARSA mungkin terpaksa mencari bantuan daripada negeri-negeri kecil.

Membangkitkan tindak balas

Saya merasakan, seperti mana militan Melayu Patani di selatan Thailand, ARSA berusaha untuk terus memberi tumpuan dengan  menyasarkan kepada pasukan keselamatan atau organisasi-organisasi yang menjaga penganut Buddha, bagi membangkitkan serangan balas.

Itu akan membolehkan mereka untuk mengekalkan imej sebagai  "pejuang kebebasan" dan tidak meminggirkan penyokong utama dalam komuniti antarabangsa. Tetapi, jika serangan dilakukan atas nama Rohingya, dengan atau tanpa pengetahuan ARSA, dengan kelulusan atau sokongan, kumpulan itu akan selalu dikaitkan dengan keganasan.

Sekalipun jika ia tidak berlaku, operasi kerajaan terhadap ARSA dan penduduk Rohingya dijangka terus meningkat. Nasionalis yang menganuti Buddha berang dengan serangan-serangan yang dilakukan, dan menuntut pasukan keselamatan supaya mengambil tindakan selanjutnya. Dalam ceramah yang penuh membara, sami-sami Buddha seperti Ashin Wirathutelah meminta penganut Buddha supaya mempertahankan diri mereka.

Tentera Myanmar mempunyai sebab untuk mematuhi gesaan itu. Sementara itu, kerajaan Suu Kyi, sama ada dengan alasan politik  atau semata-mata enggan menentang tentera, telah mengutuk serangan tersebut. Langkah itu hanya akan menarik lebih banyak pemuda menyertai barisan ARSA, mendorong kumpulan itu untuk melakukan lebih banyak tindakan kekerasan dan serangan balas dendam.

Dalam satu temu bual pada 26 Ogos, seorang wakil ARSA memberitahu Asia Times bahawa selagi tuntutan Rohingya supaya hak mendapatkan kewarganegaraan penuh  Myanmar tidak dipenuhi, selagi itulah  "perang terbuka" dan "pertahanan [bersenjata] terus berlaku."

Kerajaan Myanmar dan pihak tentera tidak akan bersetuju dengan permintaan itu. Dan tanpa sebarang penyelesaian politik, ia hanya membawa lebih banyak keganasan.

"Mereka membesar dengan menyaksikan penghinaan dan penganiayaan, jadi apa yang dipersetujui oleh kalangan masyarakat Rohingya adalah selagi tidak bertempur, selagi itulah mereka tidak akan memberi hak-hak yang sepatutnya untuk kita," kata seorang aktivis Rohingya yang tinggal di Bangladesh kepada Agence France-Presse.

Zachary Abuza adalah seorang profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.”  Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan beliau sendiri dan bukan pandangan atau dasar Jabatan Pertahanan A.S, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.