Kemalangan Bas Di Thailand Ragut 13 Nyawa Rakyat Malaysia

S. Adie Zul
2015.12.21
151221-MY-ACCIDENT620 Pasukan penyelamat Thailand cuba mencari mangsa kemalangan bas di daerah Doi Saket, 30 kilometer (18 batu) dari bandar utara Chiang Mai, Thailand. 20 Disember 2015
AFP

Seramai 13 rakyat Malaysia maut dan sembilan yang lain cedera  dalam satu kemalangan ngeri membabitkan bas yang dinaiki mereka di daerah Doi Saket, utara Chiang Mai, Thailand pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, bas yang membawa 22 pelancong Malaysia yang bercuti di wilayah itu, dipercayai terbabas  ke dalam curam selepas bertembung dengan sebuah kenderaan pikap di daerah itu, yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari Chiang Mai.

Kebanyakan mereka adalah warga tua dari Johor, yang sedang mengikuti pakej pelancongan lima hari yang dikendalikan sebuah syarikat Malaysia,  Chiu Travel Sdn Bhd ,  sejak 17 Dis lepas.

Mengulas mengenai kejadian itu, Perdana Menteri Najib Razak berkata, Malaysia akan menghantar sebuah pesawat khas untuk membawa pulang kesemua 13 jenazah rakyatnya yang terkorban itu.

"Saya telah mengarahkan pesawat C-130 dihantar ke Thailand untuk bawa pulang jenazah rakyat Malaysia yang terkorban akibat kemalangan di Chiang Mai," kata Najib dalam laman Facebook beliau pada lewat petang Isnin.

Pada masa yang sama, katanya, pegawai Malaysia dari Kedutaan Besar di Bangkok telah berada di daerah tempat kejadian bagi memberikan bantuan kepada mangsa serta ahli keluarga.

“Saya berkongsi kesedihan ahli keluarga mangsa,” kata Perdana Menteri.

Pihak berkuasa Thailand berkata, sejumlah 14 orang terbunuh dalam kemalangan itu dengan 13 daripadanya adalah rakyat Malaysia dan seorang dari Thailand yang dipercayai operator pelancongan.

Dalam pada itu, Duta Malaysia ke Thailand Nazirah Hussin berkata, mayat kesemua 13 mangsa kini ditempatkan di Hospital Maharaj Nakorn, Chiang Mai.

Katanya, sembilan mangsa yang cedera pula sedang dirawat di beberapa hospital termasuk Hospital Bangkok di Chiang Mai.

"Seorang daripada mereka yang mengalami kecederaan parah telah menjalani pembedahan dan identitinya akan dimaklumkan kemudian," katanya dalam satu kenyataan di Bangkok pada Isnin, yang turut menyenaraikan nama mangsa yang terbunuh.

Menurut Nazirah, proses bedah siasat akan mengambil masa berikutan  jumlah mangsa korban yang ramai.

Terdahulu itu, Kementerian Luar  Malaysia dalam kenyataanya pada Isnin berkata, seramai 15 waris keluarga mangsa dari Malaysia telah berlepas ke Bangkok dari Kuala Lumpur pada awal Isnin sebelum dibawa ke Chiang Mai.

Sementara itu Agence France-Presse (AFP)  melaporkan Pengurus Besar Chiu Travel Sdn Bhd, Terence Yung sebagai berkata, syarikat itu sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat lanjut bagaimana kemalangan itu berlaku dan berdasarkan apa yang dimaklumkan oleh pihak berkuasa Thailand setakat ini, pemandu bas berkenaan cuba memotong kenderaan lain.

“Satu-satunya cara untuk menghentikan kemalangan seperti ini daripada berulang adalah dengan  operator pelancongan memastikan pemandu tempatan (Thai) tidak memandu secara melulu,” kata pengurus syarikat itu, yang bertanggungjawab menyediakan pakej pelancongan ke Chiang Mai,  kepada agensi berita berkenaan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Isnin turut menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa, yang kesemuanya adalah dari negeri di selatan Malaysia itu.

"Saya ingin mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat ketika masa yang sedih ini, dan saya berharap para penumpang yang lain selamat sampai di rumah masing-masing, insya-Allah," titah baginda dalam laman Facebook rasmi baginda.

‘Tiga sekeluarga terkorban’

Dalam pada itu, seorang wanita, anak lelaki dan cucunya adalah antara 13 mangsa yang terkorban dalam tragedi itu,  lapor agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Mereka adalah antara enam sekeluarga, yang berasal dari Batu Pahat, yang menyertai pakej itu.

Low Chee Lan, 85, menyertai rombongan itu dengan anak lelakinya Tan Yang Soon, 64, dan anak perempuan bongsunya Tan Sui Heng, 54, dan suami Ker Boon Kwang, 57, bersama–sama anak mereka Ker Shin Hui, 28, serta anak perempuan bongsu Yang Soon, Tan Thin Thin, 36,

Chee Lan, Yang Soon serta Shin Hui terkorban dalam kemalangan itu manakala tiga lagi ahli keluarga malang itu mengalami kecederaan.

Seorang daripada waris keluarga itu, Lim Poh Teot, memaklumkan wakil media di Batu Pahat bahawa kakaknya yang juga  isteri Yang Soon masih terkejut dengan tragedi tersebut.

"Kami berharap akan mendapat maklumat lebih lanjut apabila tiba di Chiang Mai pada malam ini (Isnin)," katanya.

Tragedi itu turut mengorbankan seorang kakitangan Chiu Travel yang menguruskan lawatan ke Chiang Mai iaitu Png Ee Ting, 23, yang juga ahli keluarga pengurus besar syarikat pelancongan itu.

Terence berkata, Ee Ting telah berkhidmat dengan syarikat itu sejak lima tahun lalu dan kali terakhir mereka bertemu adalah dua hari sebelum rombongan itu berlepas ke Chiang Mai iaitu ketika majlis taklimatnya.

Menurutnya semua 22 rakyat Malaysia yang terlibat dalam kemalangan itu akan menerima pampasan bernilai sehingga RM100,000 setiap seorang dan syarikat itu sedang berurusan dengan syarikat insuran untuk membantu proses pembayaran pampasan.

Terence juga dilaporkan berkata, proses membawa pulang kesemua mayat mangsa ke Malaysia dijangka  mengambil masa antara empat hingga tujuh hari.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.