Tindakan Taliban Rampas Afghanistan Disambut Kegembiraan, Kebimbangan Di Asia Tenggara

Ramai memuji kemenangan Taliban di Kabul; pakar keselamatan memberi amaran bahawa ia boleh bangkitkan semangat ekstremis.
Subel Rai Bhandari
Kathmandu
2021-08-20
Share
Tindakan Taliban Rampas Afghanistan Disambut Kegembiraan, Kebimbangan Di Asia Tenggara Seorang pejuang Taliban melintasi salon kecantikan di mana poster-poster wanita dipadamkan dengan semburan cat di Kabul, 18 Ogos 2021.
[AFP]

Tindakan Taliban merampas Afghanistan dengan mudah disambut baik oleh beberapa kumpulan dan politik Islam di negara-negara Asia Tenggara, selain pakar dan pegawai keselamatan memberi amaran bahawa ia mungkin mencetuskan keberanian militan tempatan.

Kerajaan Afghanistan tumbang pada hujung minggu lalu apabila Presiden Ashraf Ghani melarikan diri ke luar negara dan membolehkan pemberontak Taliban merampas ibu negara itu. Para pejuang Islam memasuki Kabul tanpa tentangan bersenjata selepas Amerika Syarikat menarik balik pasukan tenteranya yang merupakan sebahagian daripada gabungan antarabangsa yang membantu menyokong kerajaan Afghanistan.

Di Malaysia, ketua Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism Polis Diraja Malaysia memberitahu bahawa adalah masih terlalu awal untuk membuat penilaian mengenai ancaman keganasan yang berpunca daripada peristiwa di Afghanistan "kerana Taliban masih menawarkan kedamaian kepada semua pihak."

"Masanya berbeza, situasinya berbeza dan hasilnya juga pasti berbeza," kata Normah Ishak kepada BenarNews ketika ditanya sama ada tindakan Taliban mengambil alih Afghanistan akan membangkitkan semangat kumpulan atau sel ekstremis tempatan di Malaysia.

Bekas ketua Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism polis Ayob Khan Mydin Pitchay pula memberi peringatan bahawa penubuhan kerajaan Taliban yang baru boleh mencetuskan semangat sel-sel keganasan yang tidak aktif di negara-negara Asia Tenggara termasuklah di Malaysia.

"Taliban mungkin mengubah pendekatannya dalam memperoleh kuasa dan menyuarakan pendiriannya secara lembut terhadap isu-isu tertentu," katanya kepada BenarNews.

"Tetapi, mereka yang telah menganalisis organisasi pengganas dan kumpulan ekstremis akan tahu bahawa agenda dan propaganda mereka masih sama. Mereka mahu menubuhkan Negara Islam. "

Beliau berkata beberapa rakyat Malaysia mungkin sanggup berhijrah untuk berjuang bersama Taliban kerana "mereka bersedia berkorban atas nama agama."

Sementara itu, sumber keselamatan kerajaan berkata bekas anggota kumpulan militan Muslim Malaysia seperti Jemaah Islamiyah dan Negara Islam telah menyuarakan rasa gembira mereka "dengan perkembangan terbaru" di Afghanistan.

"Mereka menyatakan bahawa akhirnya sebuah Negara Islam telah ditubuhkan. Mereka akhirnya berjaya memerangi penjajah. Mereka nampak amat bersemangat,” kata sumber itu kepada BenarNews dengan syarat namanya tidak dinyatakan kerana beliau tidak dibenarkan bercakap dengan wartawan mengenai perkara itu.

"Ada kemungkinan Afghanistan menjadi medan latihan. Pejuang asing mungkin akan berhijrah ke sana juga,” tambahnya lagi.

Di selatan Filipina, di mana kumpulan ekstremis yang ganas telah beroperasi sejak bertahun-tahun lalu, Pengerusi Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF) Muslimin Sema berkata bahawa "tekad, kegigihan dan ketegasan Taliban telah dapat mengalahkan kemunafikan dan oportunisme di Afghanistan. "

MNLF adalah pasukan pemisah Islam yang menandatangani perjanjian damai dengan Manila pada 1996.

Jurucakap Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) - cabang MNLF – pula menyatakan harapan agar semua pihak di Afghanistan dapat berkompromi untuk mengelak negara itu daripada terjebak dalam konflik yang lebih besar setelah beberapa tahun terlibat dalam peperangan.

"Kami memilih untuk berunding demi kepentingan rakyat," kata jurucakap MILF Von Al Haq kepada BenarNews, yang merujuk kepada perbincangan yang membawa kepada penyelesaian damai kumpulan itu pada 2014.

Satu daripada kumpulan Islam yang paling ganas di selatan Filipina, Abu Sayyaf, telah diasaskan oleh seorang rakyat Filipina yang pernah berperang di Afghanistan semasa penjajahan Soviet pada 1980-an.

Pemimpin Abu Sayyaf seterusnya, Isnilon Hapilon, menjadi ketua kumpulan yang kononnya Negara Islam itu di Asia Tenggara dan telah menerajui tindakan mengepung Marawi.

Selepas serangan pada 9/11 di Amerika Syarikat kira-kira 20 tahun lalu, selatan Filipina menjadi pentas Asia dalam perang global terhadap keganasan dengan sebahagian besarnya kerana kehadiran Abu Sayyaf.

Kumpulan pengganas antarabangsa al-Qaeda melancarkan serangan 9/11 dari kubu selamatnya di Afghanistan, ketika Taliban memerintah buat pertama kalinya di negara itu.

210820-MY-AF-inside.jpg

Ulama radikal Islam Indonesia Abu Bakar Bashir memasuki ruang kamar mahkamah pada hari pertama perbicaraan kes rayuannhya di Cilacap, Jawa Tengah, 12 Januari 2016. [Reuters]

Kemenangan 'mencetuskan semangat jihad'

Di Indonesia, veteran tempatan dalam perang menentang Rusia di Afghanistan adalah antara ekstremis yang bergabung dengan Jemaah Islamiyah, iaitu anggota sekutu al-Qaeda Asia Tenggara.
Pihak berkuasa Indonesia menyalahkan JI atas pengeboman Bali pada Oktober 2002 - serangan pengganas yang mengorbankan paling banyak nyawa dalam sejarah Indonesia.

Kemenangan Taliban di Kabul "akan mencetuskan semangat jihad di Indonesia," kata Sofyan Tsauri yang merupakan bekas anggota Jemaah Islamiyah.

Sofyan mempertahankan Taliban dengan membandingkannya dengan kumpulan Negara Islam.

"Taliban tidak meminta pengikutnya untuk melafaz sumpah dan mereka juga tidak membunuh orang tidak bersalah dengan begitu sahaja," kata Sofyan, bekas anggota polis yang meringkuk selama lima tahun dalam penjara kerana kesalahan yang berkaitan dengan keganasan.

Sementara itu, Abu Bakar Bashir yang merupakan ulama radikal berusia 83 tahun dengan khutbahnya dipercayai memberi inspirasi kepada pengeboman Bali, turut meraikan kemenangan Taliban, menurut anaknya Abdul Rohim.

Abu Bakar, yang juga pengasas bersama JI, dibebaskan pada Januari lalu setelah menjalani hukuman selama 10 tahun daripada 15 tahun yang diperintahkan.

"Ustaz Abu gembira kerana Taliban berjaya membebaskan negara mereka selepas 20 tahun," kata Abdul Rohim.

"Apa yang telah dilakukan Taliban sejak sekian lama adalah satu teladan. Ketekunan mereka dalam berjuang di jalan Allah dan perjuangan mereka akhirnya berbalas. Mereka juga terus mematuhi undang-undang Islam. Malah mereka tidak membunuh pegawai kerajaan yang korup dan membenarkan mereka terus berada di negara itu, "kata anak lelaki Bashir.

Sejak 2002, Indonesia telah menyaksikan peningkatan kes radikalisasi yang ada kalanya diselangi serangan pengganas. Puluhan rakyat Indonesia pergi ke Timur Tengah untuk menyertai Negara Islam selepas ia merampas sebahagian Syria dan Iraq pada 2014.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh