Malaysia minta Afghanistan timbang semula keputusan larang wanita lanjut pengajian

Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata sepucuk surat telah dihantar kepada rakan sejawatannya mengenai perkara itu.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2022.12.27
Kuala Lumpur
Malaysia minta Afghanistan timbang semula keputusan larang wanita lanjut pengajian Wanita Afghanistan melaungkan slogan sebagai protes terhadap penutupan universiti terhadap wanita oleh Kerajaan Taliban di Kabul, Afghanistan, 22 Disember 2022.
[Reuters]

Malaysia pada Selasa menyuarakan rasa "sedih" ke atas tindakan pentadbiran Afghanistan yang melarang wanita negara tersebut daripada mendapatkan pendidikan di universiti, dan menyatakan bahawa kaum wanita mampu menjadi aset yang berharga bagi memberikan kestabilan serta pembinaan negara bergolak berkenaan.

Dalam satu kenyataan meminta supaya kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban mempertimbangkan semula keputusan itu, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam berkata beliau telah menulis kepada rakan sejawatan di Afghanistan menceritakan bagaimana wanita di Malaysia telah membantu memacu ekonomi dan reputasi negara disebabkan peluang pendidikan yang diberikan kepada mereka.

Sementara itu, penganalisis pula berkata negara-negara Islam di seluruh dunia perlu memberikan tekanan kepada Kerajaan Taliban berkenaan isu pendidikan kepada wanita, dan Malaysia boleh menjadi pencetus kepada proses dialog.

"Saya berasa amat sedih apabila mendapat tahu mengenai keputusan Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan baru-baru ini yang melarang wanita daripada menerima pendidikan di pusat pendidikan tinggi negara itu," kata Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia yang baru dilantik ke jawatan tersebut pada awal Disember.

"Saya telah menulis surat kepada rakan sejawat, Menteri Neda Mohammad Nadeem, dan menyampaikan perkara yang sama melalui Duta Afghanistan ke Malaysia, Moheb Rahman Spinghar, supaya keputusan itu dilihat semula kerana ia memudaratkan perkembangan pendidikan umat Islam di masa depan," tambah Khaled.

Menurut laporan media antarabangsa, Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan yang dipimpin Taliban telah mengarahkan penggantungan akses kepada kaum wanita negara berkenaan untuk mendapatkan pendidikan tinggi pada 20 Disember.

Keputusan berkenaan telah dibuat oleh Kabinet Afghanistan, lapor agensi berita Reuters, dengan kementerian tersebut telah mengeluarkan surat kepada semua universiti awam dan swasta di Afghanistan berkaitan larangan yang berkuatkuasa serta merta.

Mengulas lanjut mengenai suratnya kepada menteri Neda, Khaled berkata beliau turut berkongsi pengalaman Malaysia yang memberikan penghormatan kepada wanita yang menyumbang kepada agenda kepentingan negara.

Kata Khaled, Malaysia telah menyaksikan bagaimana wanita berjaya menambahbaik reputasi negara melalui pendidikan.

"Dengan memanfaatkan kebolehan dan kemahiran wanita Islam Malaysia sebagai rakan yang setara dalam pelbagai industri, ia telah membantu menjana ekonomi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Saya percaya pendidikan untuk wanita Afghan akan menjadikan mereka aset berharga kepada negara itu dan akan membantu membina daya tahan, kestabilan dan perpaduan sosial yang kukuh ke arah pembinaan negara," kata Khaled lagi

Beri tekanan

Sementara itu, penganalisis dan aktivis hak wanita di Malaysia yang dihubungi BenarNews berkata dunia perlu memberikan tekanan kepada Afghanistan supaya ia melihat semula larangan pendidikan tinggi kepada wanitanya.

Glorene Das, pengarah eksekutif Tenaganita, sebuah organisasi yang memperjuangkan hak asasi dan wanita di Malaysia, berkata Malaysia mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi Afghanistan supaya menyedari kepentingan pendidikan.

"Sudah tentu Malaysia boleh mempengaruhi Afghanistan untuk memikirkan semula keputusan mereka. Ini kerana Malaysia mempunyai pengalaman, maklumat dan ilmu sejak berdekad lamanya yang boleh dikongsikan dengan mereka, dan seterusnya membolehkan mereka memahami kepentingan memberikan pendidikan," kata Das kepada BenarNews.

"Banyak kerja dan diplomasi perlu dibuat bagi mendapatkan perhatian Afghanistan, tetapi Malaysia boleh cuba memulakan dialog," tambah aktivis itu lagi.

Bridget Welsh dari Institut Kajian Asia, Universiti Nottingham Malaysia pula menyatakan bahawa tekanan perlu diberikan oleh negara-negara Islam supaya Afghanistan faham bahawa cara mereka melayan wanita adalah tidak betul.

"Tekanan perlu diberikan, kerana negara Islam perlu menyatakan dengan jelas bahawa apa yang mereka (Afghanistan) lakukan terhadap wanita adalah sesuatu yang tidak boleh diterima," kata Welsh kepada BenarNews.

Akan tetapi, penganalisis itu tidak optimistik terhadap usaha mendesak kerajaan Taliban, menyatakan bahawa "tetapi tidak boleh meletakkan harapan tinggi daripada dialog."

Seorang lagi aktivis, Ivy Josiah pula menyambut baik kenyataan Malaysia mengenai larangan pendidikan tinggi kepada wanita di Afghanistan, dan percaya bahawa dunia perlu mengambil pendirian tegas dalam isu akses pendidikan kepada kaum wanita.

"Kerajaan Taliban Afghanistan mungkin tidak menghiraukan nasihat Malaysia, tetapi warga Afghanistan akan merasakan sokongan dan dorongan kepada mereka, terutama sekali kerana ia datang daripada sebuah negara Islam.

"Apa pun, tekanan dari dalam negara itu sendiri yang akan dapat membawa perubahan," kata bekas presiden Pertubuhan Pertolongan Wanita itu.

Taliban mengambil alih kuasa pemerintahan Afghanistan pada bulan Ogos 2021 selepas Amerika Syarikat mengeluarkan saki baki tenteranya di negara bergolak tersebut.

Pada masa itu, pengasas bersama dan pemimpin politik kumpulan Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar berjanji akan menjalin hubungan baik dengan negara luar dan menghormati hak-hak wanita di Afghanistan, lapor akhbar Arab News.

Itu adalah antara aku janji pihak Taliban dalam rundingan di Doha, Qatar dan menandatangani perjanjian damai dengan Amerika Syarikat (AS) pada Februari tahun yang sama.

Bagaimanapun Kerajaan Taliban gagal mematuhinya apabila ada laporan yang menyatakan Afghanistan telah melarang wanita daripada bekerja untuk pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa, selain tidak membenarkan akses kepada pendidikan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.