Agong Minta Ahli Politik Ketepikan Perbezaan Susulan Lonjakan Kes COVID-19

Lebih banyak parti politik mempersoalkan perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada minggu lalu yang dibuat atas nasihat perdana menteri.
Hadi Azmi & Noah Lee
2021.01.19
Kuala Lumpur
Agong Minta Ahli Politik Ketepikan Perbezaan Susulan Lonjakan Kes COVID-19 Yang di-Pertuan Agong Malaysia Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memeriksa kawalan kehormatan semasa sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62 di Putrajaya, Malaysia, 31 Ogos 2019.
[Reuters]

Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Selasa meminta ahli politik di negara itu supaya mengetepikan perbezaan mereka selepas para penggubal undang-undang mempersoalkan keputusan Seri Paduk untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara bagi membendung penularan kes koronavirus yang semakin meningkat.

Sementara itu, Malaysia memperluaskan perintah kawalan pergerakan di hampir seluruh negara itu susulan lonjakan kes COVID-19 setiap hari, selepas perdana menteri mengumumkan pakej rangsangan bernilai berbelas bilion dolar untuk menyokong ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik tersebut.

"Inilah masanya bagi kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengetepikan perbezaan politik, bangsa dan agama serta menunjukkan kesetiaan, kemanusiaan dan solidariti dalam memerangi pandemik ini," titah Yang di-Pertuan Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu kenyataan.

"Dengan sokongan dan kerjasama dari semua pihak, kita mampu melandaikan keluk jangkitan dan meringankan beban yang dipikul petugas barisan hadapan. Insya Allah, kita akan dapat memutuskan rantaian jangkitan ini dengan berkesan di negara kita, ”titah Seri Paduka.

Pada 12 Jan, Seri Paduka mengisytiharkan darurat di negara itu - atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin – berikutan lonjakan kes COVID-19.

Pada Selasa, kerajaan memperluaskan perintah kawalan pergerakan ke hampir seluruh negara selepas Malaysia melaporkan 3,631 kes jangkitan koronavirus baru dan 14 kematian berkaitan virus itu.

Sehari sebelum itu, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan bernilai AS$3.7 bilion untuk mengurangkan kesan ekonomi berikutan perintah kawalan pergerakan itu dan peningkatan kes jangkitan koronavirus.

Kritikan mengenai darurat bertambah

Perisytiharan darurat itu disambut dengan kritikan oleh parti-parti politik, yang kebanyakannya berpendapat darurat tidak perlu dilaksanakan bagi membendung lonjakan kes koronavirus. Muhyiddin menggunakan pandemik yang semakin buruk itu sebagai dalih untuk terus menyandang kuasa setelah beliau kehilangan sokongan majoriti di Parlimen, kata pihak lain pula.

Pada Isnin, bekas ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) iaitu rakan utama dalam gabungan kerajaan, menyatakan bahawa beliau memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana memohon Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat.

"Tujuan utama saya memfailkan... [saman] ini adalah untuk mendapatkan pandangan badan kehakiman sama ada seorang perdana menteri yang telah kehilangan sokongan majoriti mempunyai 'locus standi' untuk menasihati Seri Paduka supaya mengisytiharkan darurat di negara kita," kata Khairuddin Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kerajaan Muhyiddin kehilangan majoriti setelah dua ahli parlimen UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan pada awal bulan ini.

Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada hari sama sokongan kepada kerajaan gabungan Muhyiddin merosot kepada 109 daripada 220 Ahli Parlimen. Darurat dijadualkan berakhir pada 1 Ogos kecuali jika Yang di-Pertuan Agong berpendapat ia perlu ditamatkan lebih awal.

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Isnin menyatakan bahawa darurat itu sendiri telah "membatalkan hak demokratik terakhir rakyat."

“Kerajaan ini sekarang telah kehilangan majoritinya dan berikutan itu, hak untuk memerintah. … melalui perisytiharan darurat, kerajaan minoriti ini memperoleh kuasa mutlak untuk memerintah,” kata beliau dalam catatan blognya.

Kumpulan bukan politik turut mengkritik pengisytiharan darurat itu.

Pada Ahad, seramai 10 bekas presiden Majlis Peguam Malaysia menyatakan bahawa pandemik itu bukanlah alasan untuk mengisytiharkan darurat.

"[Adalah] membimbangkan apabila kerajaan melakukan duluan dengan menggunakan Proklamasi Darurat sedangkan syarat-syarat yang diperlukan itu tidak dipenuhi mengikut Perlembagaan… Oleh itu, adalah amat penting agar Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat dibentangkan di Parlimen dengan secepat mungkin, ” menurut surat mereka yang disiarkan akhbar Malay Mail.

Minggu lalu, dua persatuan perubatan menyatakan bahawa perisytiharan darurat perlulah dibbuat dengan penuh tanggungjawab dan memastikan sistem kesihatan tidak dipolitikkan.

Penganalisis: Kuasa Agong tidak boleh dicabar

Sementara itu, pakar perlembagaan Shamrahayu Aziz berkata penggubal undang-undang tidak mempunyai hak perlembagaan untuk memohon Yang di-Pertuan Agong supaya memperkenankan Parlimen bersidang semula.

Menurut Perlembagaan, "adalah jelas bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengkaji semula proklamasi darurat, yan secara harfiahnya bermaksud Ahli Parlimen juga tidak berhak menekan Yang di-Pertuan Agong supaya memastikan Parlimen bersidang," kata Shamrahayu dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BeritaBenar.

“Selain itu, Parlimen masih digantung mengikut Seksyen 14 Ordinan Darurat, oleh itu Ordinan Darurat melarang Parlimen daripada bersidang. Pada pendapat saya, tidak ada asas bagi Ahli Parlimen untuk memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya memperkenankan Parlimen bersidang.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.