Agong Malaysia Amat Dukacita Kerajaan Kelirukan Parlimen

Teguran Yang di-Pertuan Agong itu mendorong Ahli-ahli Parlimen mendesak Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Ray Sherman, Hadi Azmi & S. Adie Zul
2021.07.29
Kuala Lumpur
Agong Malaysia Amat Dukacita Kerajaan Kelirukan Parlimen Ahli-ahli Parlimen dilihat berdiri sebagai tanda membantah pihak kerajaan selepas Istana Negara menegur kerajaan kerana membuat kenyataan yang mengelirukan badan perundangan itu, di Kuala Lumpur, 29 Julai 2012.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia/BenarNews]

KEMASKINI pada 8 malam waktu tempatan ETS - 2021-07-29

Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Khamis secara terbuka menegur kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana membuat pengumuman yang mengelirukan Parlimen, dengan ia dilihat memberi tamparan besar kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang sedang menghadapi cabaran kepemimpinan.

Teguran seumpama itu, yang pertama dizahirkan Seri Paduka berhubung pembatalan Ordinan Darurat, telah menimbulkan kekecohan pada sidang khas Parlimen, dengan para penggubal undang-undang mendesak Muhyiddin supaya meletakkan jawatan sebagai perdana Menteri.

Muhyiddin kemudian mengeluarkan satu kenyataan panjang lebar bagi memperjelaskan bahawa kerajaannya telah mengambil tindakan secara teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) menyatakan pada Isnin bahawa ordinan-ordinan darurat itu telah dibatalkan beberapa hari sebelum itu, tetapi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah bahawa baginda belum memperkenankan pembatalan ordinan berkenaan, menurut kenyataan Istana Negara.

"Seri Paduka menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat kerana pembatalan itu belum mendapat perkenan Seri Paduka.

"Perkara 150(28) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubahan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak kepada Seri Paduka...Kenyataan Yang Berhormat Menteri (Takiyuddin) di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat," kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara pada Khamis.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dalam majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa sebarang cadangan pembatalan Ordinan Darurat perlulah dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

"Pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen, dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan Istana Negara itu.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong sedia maklum akan perlunya baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri mengenai perkara berkaitan hal ehwal negara, namun Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak.

Malaysia merupakan negara raja berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Walaupun kedudukan Seri Paduka sebahagian besarnya bersifat istiadat kerana baginda mesti bertindak mengikut kehendak kerajaan, namun kebanyakan rakyat Malaysia menghormati istana sebagai sebuah institusi. Takhta Yang di-Pertuan Agong disandang secara penggiliran di antara sembilan sultan di Malaysia.

210729-MY-Agong-Muh.jpg

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, di Kuala Lumpur, 28 Oktober, 2020. [Edaran Istana Negara melalui AFP]

Ketika ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, membacakan kenyataan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, para penggubal undang-undang yang marah mula bangkit dan berdiri di tempat masing-masing sambil mendesak peletakan jawatan Muhyiddin.

"Pagoh, letak jawatan anda," teriak Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP), Gobind Singh Deo, yang merujuk kepada Muhyiddin dengan nama kawasan Parlimen beliau.

"Ya, saya setuju, letak jawatan hari ini," teriak Ahli Parlimen lain yang tidak dapat dikenal pasti ketika kekecohan itu dan beberapa Ahli Parlimen lain pula melaungkan "pengkhianat dan derhaka”.

Timbalan Speaker menangguhkan sidang khas Dewan Rakyat itu sebanyak tiga kali berturut-turut – yang dianggap Ahli Parlimen pembangkang sebagai satu helah - dan pada 5.30 petang mengumumkan bahawa sesi itu akan bersambung pada Isnin.

Pada Isnin lalu, kerajaan mengumumkan bahawa ia tidak akan melanjutkan darurat selepas tamat pada 1 Ogos. Ia mengejutkan para penggubal undang-undang kerana mereka yakin yang isu itu akan dibincangkan di Parlimen.

Tetapi, pengumuman kerajaan bahawa ia telah membatalkan semua Ordinan Darurat pada 21 Julai, iaitu lima hari sebelum itu, yang menyebabkan - dan terus menimbulkan - kekeliruan dalam kalangan rakyat dan Ahli Parlimen.

Ramai yang tertanya-tanya sama ada penguatkuasaan di bawah ordinan itu masih sah atau sebaliknya selepas 21 Julai.

Rakyat semakin marah terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin yang tidak dipilih, yang dipersalahkan bagi lonjakan besar dalam catatan kes baru jangkitan COVID-19. Protokol perintah kawalan pergerakan yang mengelirukan dan keputusan membenarkan beberapa sektor perniagaan terus dibuka adalah punca, yang ramai percaya, penularan pandemik yang semakin buruk.

Selain itu, nasihat perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong supaya melaksanakan darurat pada Januari, yang kononnya untuk membendung penularan pandemik itu, juga telah membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia. Ramai yang menyatakan bahawa langkah itu adalah muslihat politik Muhyiddin untuk terus menyandang kuasa kerana beliau mungkin kehilangan majoriti paling tipis di Parlimen.

Agong 'mesti bertindak mengikut nasihat kabinet'

Beberapa jam selepas kenyataan Istana Negara itu, Muhyiddin pula mengeluarkan kenyataan menerusi Pejabat Perdana Menteri bagi memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan. Beliau berkata kerajaan tidak melakukan kesilapan dan bertindak mengikut undang-undang dan Perlembagaan.

"Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan," menurut kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa ia telah mengutuskan warkah bertarikh 21 Julai kepada Yang di-Pertuan Agong pada 23 Julai untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan. Perdana Menteri dan Peguam Negara telah memohon menghadap Seri Paduka pada tengah hari Selasa untuk menjelaskan kedudukan perkara itu.

“Perdana Menteri telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati Seri Paduka untuk membatalkannya,” menurut kenyataan itu.

Pada Khamis di Parlimen, Anwar mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin selepas membacakan kenyataan Yang di-Pertuan Agong.

“Bahawa Dewan Rakyat mengambil ketetapan untuk hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri…dan dimakzulkan daripada jawatan Perdana Menteri dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan,” kata Anwar.

Beliau memberitahu wartawan bahawa Muhyiddin perlu dipersalahkan kerana kegagalannya mematuhi peraturan undang-undang serta menghina fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti terbesar dalam gabungan kerajaan PN, juga menggesa perdana menteri dan menteri undang-undang supaya meletak jawatan kerana tindakan mereka berhubung Ordinan Darurat itu "jelas merupakan satu bentuk penderhakaan" terhadap Yang di-Pertuan Agong.

UMNO telah mengumumkan pada 8 Jun bahawa mereka menarik sokongan terhadap kerajaan tetapi anggota-anggota parti di dalam Kabinet pula mengumumkan sokongan mereka kepada Muhyiddin.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis sekali lagi mendesak Ahli-ahli Parlimen UMNO supaya menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan Muhyiddin seperti yang telah diputuskan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu pada 7 Julai.

Penganalisis politik, Bridget Welsh, dari University of Nottingham Malaysia, berkata gesaan orang ramai supaya Muhyiddin meletakkan jawatan semakin meningkat.

"Meletak jawatan atau bertahan? Gesaan supaya meletak jawatan dan khabar angin ditujukan kepada semua pihak yang terlibat dalam mengendalikan Ordinan Darurat dalam krisis perlembagaan/keabsahan Malaysia,” catat Welsh dalam Twitter beliau.

"Soalan utama ialah JIKA peletakan jawatan berlaku, apa pula yang menyusul?"

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.