Agong baharu Malaysia dijangka main peranan lebih aktif dalam urusan negara
2024.01.26
Kuala Lumpur
Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, yang terkenal sebagai pemerintah bersuara lantang dan mempunyai minat mendalam terhadap kereta sport, akan menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-17 minggu depan selepas dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut sistem penggiliran negara itu yang unik.
Sebagai seorang monarki yang mengambil bahagian secara aktif dalam urusan negara, beberapa pakar politik menjangka pemasyhuran Sultan Ibrahim Iskandar pada 31 Jan depan akan dapat membantu mempercepat polisi reformasi institusi yang ingin dibawa oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun, pemerhati berkata perkara itu juga mungkin boleh mengundang perselisihan di antara mereka.
Meskipun peranan raja di Malaysia lebih kepada acara yang berbentuk adat istiadat, penganalisis percaya Sultan Johor yang berusia 65 tahun itu mungkin meneruskan peranan aktif dalam politik negara seperti yang diamalkan Yang di-Pertuan Agong sebelum baginda sejak beberapa tahun lepas.
"Sultan Ibrahim adalah seorang yang dilihat lebih praktikal berbanding raja-raja yang lain. Ini boleh dilihat daripada kritikan terbuka yang dizahirkan oleh baginda dalam sesetengah isu," kata Tunku Mohar Mokhtar, pembantu profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.
"Setakat ini, kita nampak bahawa Sultan dan Anwar boleh bersetuju dalam sekurang-kurangnya dua isu penting iaitu menghapuskan rasuah serta memulihkan ekonomi. Bagi Anwar, ini dapat memberikan suntikan kepada usaha reformasi yang dibawa oleh beliau."
Akan tetapi memiliki dua pemimpin yang aktif secara praktikal, seorang ketua kerajaan manakala seorang lagi ketua negara, juga mampu mencetuskan ketegangan sekiranya mereka tidak dapat bekerjasama, kata beliau.
"Ia hanya akan berjaya sekiranya kedua-dua pihak faham batasan kuasa masing-masing," kata Tunku Mohar.
Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British pada 1957, negara itu telah mengamalkan satu sistem beraja iaitu Yang di-Pertuan Agong dipilih setiap lima tahun berdasarkan giliran yang ditentukan oleh Majlis Raja-Raja dianggotai sultan dari sembilan negeri.
Sultan Ibrahim akan mengambil alih takhta daripada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dari Pahang. Ketika era pemerintahan Sultan Abdullah, negara berdepan ketidakstabilan politik yang menyaksikan pelantikan tiga Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun dan situasi Parlimen tergantung.
Aktif isu politik
Dilahirkan pada 22 Nov 1958, Sultan Ibrahim akan menjadi sultan kedua dari Johor yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, atau singkatannya Agong.
Ayahanda Sultan Ibrahim, Sultan Iskandar Sultan Ismail, telah memegang jawatan tertinggi negara itu dari 1984 hingga 1989 serta dinobat sebagai Sultan Johor sejak 1981 sehingga kemangkatan baginda pada 2010.
Sultan Ibrahim mendapat pendidikan awal di dalam dan luar negara. Baginda kemudian mengikuti latihan ketenteraan termasuk di Amerika Syarikat sebelum bekerja di pelbagai jabatan dalam Kerajaan Negeri Johor termasuk Jabatan Perhutanan dan perbendaharaan.
Baginda turut memiliki kepentingan perniagaan yang meluas termasuk pegangan dalam projek Forest City bernilai AS$100 bilion serta penyedia perkhidmatan Internet REDtone International.
Pada 2015, Sultan Ibrahim telah membeli sebuah kediaman mewah bernilai AS$8.5 juta (RM24.21 juta) di Perth, Australia.
Sultan Ibrahim turut diketahui umum memiliki koleksi peribadi kereta mewah dan satu-satunya Sultan di Malaysia yang mempunyai pasukan tentera persendirian, satu amalan yang diteruskan sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan British ketika zaman penjajahan.
Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula menyifatkan ayahanda baginda itu sebagai penyokong kuat kepentingan Malaysia yang tidak takut untuk masuk campur dalam isu politik.
"Beta rasa baginda akan lakukan perkara sama di peringkat Persekutuan. Perhubungan tertentu dengan Perdana Menteri untuk berkongsi maklumat apa yang baginda rasa betul dan tidak," titah Tunku Ismail dalam audio siar yang dihoskan oleh bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Oktober lepas.
"... saya rasa Perdana Menteri akan berdepan kesukaran," titah baginda.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (kiri) mengesat air mata di samping adinda baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong berikutnya di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 27 Okt 2023. [Mohd Rasfan/AP]
Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan sebagai Ketua Negara di Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam dan bertindak atas nasihat Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Agong masih diberikan beberapa tanggungjawab dan keistimewaan di bawah Perlembagaan termasuk kuasa melantik Perdana Menteri yang mempunyai sokongan Ahli-Ahli Parlimen.
"Walaupun institusi raja berperlembagaan dilihat lebih kepada bersifat 'pak turut, adalah penting untuk memahami bahawa kuasa Eksekutif termasuk Perdana Menteri serta Kabinet masih berada di bawah bidang kuasa Agong," kata pakar perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang Wan Ahmad Fauzi kepada BenarNews.
Beliau berkata sebagai contoh, situasi Parlimen tergantung pada November 2022 telah memaksa Sultan Abdullah untuk masuk campur dan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.
Ketidakstabilan politik juga telah memaksa baginda memilih Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan pada Februari 2020 dan Ismail Sabri Yaakob pada Ogos 2021.
"Raja-Raja terpaksa mengambil bahagian secara lebih proaktif dalam politik," kata Tunku Mohar.
Walaupun tindakan itu dikatakan masih terletak dalam lingkungan batasan yang ditetapkan oleh Perlembagaan, beliau berkata adalah lebih baik untuk institusi diraja menjarakkan diri daripada politik.
"Sekiranya terdapat pertikaian mengenai komposisi ahli kerajaan, perkara itu mesti diselesaikan melalui badan perundangan dan institusi diraja kemudian hanya mengesahkan keputusan Legislatif, menurut semangat Perlembagaan yang sebenar," kata beliau.
'Mahu banteras rasuah'
Sultan Ibrahim sebelum ini telah menunjukkan kesediaan untuk terbabit dalam politik Malaysia.
Tahun lepas, baginda telah mengeluarkan kenyataan keras selepas gabungan pembangkang iaitu Perikatan Nasional dilaporkan cuba menjatuhkan kerajaan Anwar dengan memecahkan persepakatan politik antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
"Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini? Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan," titah Sultan Ibrahim.
Menerusi satu temu bual pada Disember lepas, Sultan Ibrahim menzahirkan hasrat agar agensi antirasuah dan syarikat petroleum negara iaitu Petronas melapor terus kepada baginda, bukannya Parlimen.
Anwar dalam respons kepada kenyataan itu mengambil sikap berhati-hati. Beliau berkata perkara itu boleh dibincangkan tetapi prinsip Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan akan dipertahan.
Kelihatan replika kenderaan milik karektor kartun Fred Flintstone yang dihadiahkan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di dalam gambar tidak bertarikh ini yang diedarkan pada 17 Jan 2018. [Edaran Royal Press Office/AFP]
Melihat ke hadapan, penganalisis berkata minda proreformasi Anwar dan Sultan Ibrahim mampu membentuk kerjasama yang dinamik.
"Ia akan menjadi sesuatu yang menarik kerana Anwar dan Sultan Ibrahim tidak ragu-ragu dalam menyuarakan pendapat masing-masing. Anwar sebagai Perdana Menteri yang memimpin kuasa Eksekutif boleh mendapat manfaat daripada perkara ini namun Sultan Ibrahim, sebagai seorang raja berperlembagaan, mempunyai batasan," kata penganalisis Akademi Kajian Strategik Nusantara Azmi Hassan kepada BenarNews.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.