Yang di-Pertuan Agong Titah Rakyat Jaga Hubungan Kaum, Tidak Main Isu Sensitif
2019.09.09
Kuala Lumpur, Malaysia

Yang di-Pertuan Agong Malaysia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titah ucapan semperna sambutan keputeraan baginda bertitah dengan meminta rakyat Malaysia yang berbilang bangsa tidak memainkan isu-isu sensitif dan memperalatkannya bagi kepentingan mana-mana pihak.
Baginda yang menyambut keputeraan yang ke 60 turut bertitah bahawa kejayaan Malaysia membentuk sebuah negara yang demokrasi selama 62 tahun adalah amat mengkagumkan kerana ia menunjukkan rakyat mahukan kehidupan yang aman makmur dan bersatu-padu.
“Oleh yang demikian, Beta ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa isu-isu yang sensitif tidak boleh diperalatkan bagi kepentingan mana-mana pihak. Setiap rakyat dijanjikan hak serta kebebasan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Namun, kebebasan tersebut mestilah tidak melangkaui nilai-nilai yang menjadi asas perpaduan negara,” titah baginda lagi.
Menurut statistik terkini populasi penduduk Malaysia berjumlah 32.6 juta. Majoriti populasi adalah dikalangan etnik Bumiputera dengan 69.3 peratus diikuti Cina dengan 22.8 peratus, India 6.9 peratus dan bangsa-bangsa lain mewakili peratusan yang selebihnya.
Hubungan antara kaum diuji baru-baru ini berikutan isu pengenalan tulisan Khat(jawi) di sekolah rendah yang ditentang hebat oleh beberapa pihak seperti Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina( Dong Zong) dan pihak-pihak yang mendakwa mewakili kaum India di Malaysia. Turut menghangatkan suasana adalah isu bendera terbalik ketika negara hendak menyambut hari kemerdekaan yang ke-62 pada 31 Ogos lalu.
Isu ucapan pendakwah India yang merupakan penduduk tetap Malaysia, Zakir Naik turut menjadi perhatian apabila sebahagian ucapan beliau yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum lain di dalam negara seperti Cina dan India turut mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan kaum kedua dan ketiga terbesar di Malaysia.
Menurut Ketua Polis Negara Abdul Hamid dalam satu temuramah eksklusif bersama BeritaBenar baru-baru ini, sejumlah 1,053 laporan polis yang berkaitan isu yang boleh mendatangkan ketegangan antara kaum diterima pihak berkuasa dengan sebahagian besarnya adalah berkisar tentang kenyataan Zakir Naik yang diucapkan beliau dalam siri ucapan ketika lawatan beliau ke Kelantan pada awal Ogos lalu.
Menurut Hamid, pihak beliau tidak lagi akan memberi nasihat kepada mereka-mereka yang mengeluarkan kata-kata atau komen yang berunsur provokasi tetapi tindakan yang tegas akan terus diambil ke atas mereka ini.
“Tiada lagi nasihat. Tindakan akan terus diambil ke atas individu-individu ini,” menurut Hamid.
Dalam titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin itu juga, baginda menyentuh berkenaan situasi politik negara dengan menasihati semua bahawa politik juga perlu ada batasan kerana perpaduan yang dibina sekian lama tidak mungkin dapat dikembalikan jika ia hilang dalam kemelut politik negara.
“Dalam agenda politik, mesti ada noktah dan batasan yang tidak harus kita langgar. Jika polemik politik dibiarkan berlarutan, lambat-laun rakyat juga yang akan mendapat padahnya.
“Percayalah, perpaduan dan keamanan yang telah terbina selama 62 tahun ini jika hilang, akan sukar untuk dikembalikan. Nasihat Beta, buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih. Mana-mana yang tercalar, rawatilah segera agar yang retak akan kembali bertaut,” titah baginda.
Baginda turut menyambut baik usaha kerajaan dalam menguruskan negara dan bertitah bahawa kerajaan perlu sentiasa berusaha dalam menangani isu kos sara hidup dan membasmi kemiskinan dan membantu golongan yang memerlukan.
Baginda turut menyarankan supaya diadakan program yang boleh menyemai nilai-nilai mulia, jati diri dan semangat patriotisme di seluruh negara.
“Melalui pendekatan ini, Beta berkeyakinan kita akan dapat membentuk sebuah masyarakat yang berintegriti.”
Komitmen kerajaan
Sementara itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad dalam ucapan beliau di Istana Negara pada Isnin turut menyatakan komitmen kerajaan dalam menghormati dan mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan serta kedudukan Islam sebagai agama persekutuan tanah air.
Mahathir turut berkata kerajaan juga komited terhadap mempertahankan keistimewaan orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan kaum-kaum lain seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang sentiasa dipertahan dan dipelihara.
Beliau berkata kerajaan juga komited untuk memulihkan negara supaya bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.
“Ia akan dilaksanakan dengan mengukuhkan pentadbiran negara berdasarkan kepada prinsip ‘rule of law’ dan pemisahan kuasa seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Patik berharap negara akan terus bebas daripada pelbagai bentuk penyelewengan untuk membolehkan Malaysia Baharu dapat dibangun dan dimajukan dengan lebih baik berbanding sebelum ini,” tambah Mahathir lagi.